Rabu, 5 Januari 2022 | 10:30am

'Kita bantu kita' kunci kekuatan hadapi musibah

Rentetan tragedi banjir melanda akhir tahun lalu, pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan turun padang membantu mangsa.

Ada menjadi sukarelawan di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir, manakala sebahagiannya membantu dalam pembersihan pasca banjir. Keprihatinan sebegini menebal dalam diri rakyat Malaysia.

Segala bantuan tenaga, makanan dan keperluan harian serta wang ringgit banyak disumbangkan kepada mangsa.

Ada tidak mempunyai keupayaan membantu dari segi tenaga, justeru sumbangan wang ringgit dihulurkan.

Bagi yang mempunyai tenaga dan keupayaan, mereka turun padang membantu memindahkan mangsa banjir dan membersihkan kediaman mangsa. Ini menunjukkan kita semua boleh membantu mengikut apa yang kita mampu.

Selain PPS, bantuan dalam bentuk tempat penginapan sementara kepada mangsa banjir juga disediakan. Contohnya, masjid, surau dan rumah ibadat agama lain dibuka kepada mereka yang terkesan akibat bencana banjir untuk penginapan sementara tanpa mengira bangsa serta agama.

Ia sifat amat terpuji dan sehingga kini, pelbagai bantuan dan sokongan masih disalurkan kepada mereka yang terkesan akibat bencana banjir. Dari utara sampai selatan, semuanya turun padang membantu.

Semangat 'kita bantu kita' sememangnya tersemat dalam jati diri rakyat Malaysia. Kita semua umpama satu keluarga besar seperti selalu dilaungkan Perdana Menteri, iaitu Keluarga Malaysia.

Namun, bencana banjir kali ini juga memperlihatkan lompong koordinasi antara agensi bertanggungjawab. Kelewatan bantuan sememangnya menambah derita kepada ramai mangsa banjir.

Bagaimanapun, tindakan pantas Perdana Menteri menangani perkara ini memperlihatkan kemampuan kita sebenarnya berada pada tahap paling optimum.

Selain itu, sudah menjadi keperluan untuk kita menggunakan analisis data raya dalam menangani bencana seperti banjir. Dalam semangat kita bantu kita, ramai menggunakan media sosial untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan mendapat perhatian sewajarnya.

Penggunaan analitik data raya ini dijangka dapat mempertingkatkan kecekapan kita dalam menangani bencana pada magnitud seperti yang sedang kita lalui ini. Malah, mungkin ia dapat memastikan setiap kepedulian kita untuk membantu dalam proses menyalurkan bantuan digunakan sebaiknya. Diharapkan ia juga dapat mengelak sebarang bentuk pembaziran.

Sesungguhnya, bencana banjir memberi pengajaran besar untuk semua. Penyampaian maklumat yang berkesan untuk perkara seserius ini perlu diberi perhatian sewajarnya.

Kelihatan juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kerap berkongsi ciapan ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Dengan jutaan pengikut beliau di Twitter, diharapkan lebih ramai mengambil maklum berkenaan ramalan kaji cuaca ini.

Kita bantu kita adalah kekuatan Keluarga Malaysia. Ia sesuatu sikap positif yang dapat membantu kita menangani situasi pahit ketika ini.

Pada masa sama, harus kita insaf dengan semangat saudara Azwan Omar atau lebih dikenali 'Abang Viva' yang tular, jelas sekali mencapai tahap afektif tertinggi.

Kecaknaan beliau membantu insan lain yang memerlukan dengan sumber terhad adalah lantunan kemungkinan bahawa kita semua boleh dan mampu untuk membantu sesama kita.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X