Selasa, 4 Januari 2022 | 10:30am
gambar hiasan
gambar hiasan

Pelan induk tindakan mitigasi panduan penting urus bencana

Sudah sampai masanya setiap bandar di negara ini memerlukan pelan induk tindakan mitigasi banjir untuk mengenal pasti kawasan sensitif dengan air jika berlaku hujan lebat berterusan.

Pelan induk ini perlu diambil kira sebagai langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku fenomena alam seperti kesan Taufan Rai baru-baru ini dan musim tengkujuh dihadapi sekarang.

Dari segi geografi, Malaysia beriklim panas dan lembap sepanjang tahun dengan taburan hujan tinggi pada bulan tertentu, manakala musim tengkujuh berlaku setiap tahun.

Namun, fenomena alam seperti taufan dan angin kuat acap kali berlaku beberapa tahun kebelakangan ini tidak boleh dipandang ringan.

Malah, perancangan jangka panjang perlu dilakukan segera kerana kesiapsiagaan rapi adalah diperlukan bagi menghadapi fenomena alam luar biasa, termasuk musim tengkujuh luar biasa.

Pelan induk ini perlu diperincikan setiap bandar di negara ini mengikut sensitiviti geografi dan lokaliti. Selain Pantai Timur terdedah kepada angin monsun kuat, bandar lain perlu kepada perancangan jangka panjang terhadap kaedah mitigasi banjir berterusan.

Kebanyakan bandar di negara ini terbentuk di tepian, muara dan kuala sungai yang sangat terdedah kepada banjir kilat dan banjir besar jika hujan lebat serta berterusan

Dalam pada itu, proses urbanisasi biasanya diikuti penggunaan dan perubahan utama ke atas tanah, termasuk penyingkiran tumbuhan sedia ada, peningkatan kadar kedap air, pengurangan penyusupan dan pengekalan alam semula jadi serta perubahan lain dalam hidrologi bandar yang membawa ketidakseimbangan dalam kawasan tadahan diduduki.

Proses ini menghasilkan kapasiti larian hujan lebih besar mengalir lebih laju, meningkatkan luahan puncak dan memburukkan lagi banjir.

Bandar tahan banjir mesti dapat menahan dari semasa ke semasa, meminimumkan impak banjir, pulih dengan cepat daripada kerosakan dan mengekalkan fungsi bandar. Matlamat ini lebih mudah dicapai apabila hidrologi bandar boleh dipulihkan kepada corak semula jadi. Ini bermakna, terdapat ruang disediakan untuk memulihkan hidrologi diubah suai.

Memandangkan kerosakan sosial, ekonomi dan alam sekitar disebabkan banjir, fenomena ini perlu dikaji meluas serta evolusi pengurusan air hujan bandar perlu lebih diperincikan lagi sebagai tindakan jangka panjang dan berterusan.

Paradigma pengurusan air hujan ditakrifkan, dalam contoh pertama, dengan mengawal banjir tepat pada masanya.

Seterusnya, pengurusan banjir bandar dijalankan kawalan banjir secara teragih serta bersepadu di atas kawasan tadahan dan baru-baru ini, banjir ditangani dari perspektif pengurusan risiko banjir.

Dalam konteks ini, cadangan pelan induk ini harus dipertimbangkan untuk membina bandar tahan banjir, bukan sekadar mengurangkan kerosakan banjir.

Pembangunan yang berjaya bergantung kepada amalan pembandaran mampan, sebagai bandar harus menjamin keterangkuman, keselamatan dan daya tahan untuk semua rakyat setiap hari, walaupun ketika menghadapi situasi melampau.

Apabila mempertimbangkan daya tahan sebagai komponen kemampanan, daya tahan bandar harus menangani kedua-dua risiko semula jadi dan antropik.

Ia bukan sahaja bertujuan mengurangkan kelemahan orang dalam persekitaran bandar, bahkan meningkatkan keteguhan untuk proses membuat keputusan perancangan dan reka bentuk bandar tempatan.

Dalam pelan induk ini, setiap bandar dapat mengenal pasti dinamik banjir, memetakan dan berkomunikasi mengenai risiko banjir kepada masyarakat, sebagai langkah pertama dalam menguruskan risiko ini.

Secara praktikal dan wajar, risiko banjir boleh dikurangkan melalui pengenalan pelan induk yang akan menjadikannya amalan terbaik.

Ini mungkin menjadi penting untuk menambah langkah bukan struktur bagi menyokong dan melengkapkan langkah struktur dirancang pihak berwajib.

Oleh itu, setiap kategori bandar di negara ini perlu menyediakan pelan induk tindakan mitigasi banjir supaya lebih bersedia jika bencana seperti banjir melanda.

Selain mengekal dan memakmurkan sumber alam semula jadi dalam setiap perancangan dan reka bentuk baharu, pelan induk ini dapat bertindak sebagai panduan perancangan lebih sejahtera dan berterusan.

Profesor Madya Jabatan Senibina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X