Sabtu, 1 Januari 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Konsep pendidikan berasas video wajar diperkayakan

KETIKA pandemik memuncak, sistem pendidikan turut dilanda masalah serius dengan kelemahan dikesan dalam jaringan telekomunikasi hingga memberi impak besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagaimanapun, pujian perlu diberikan kepada kerajaan kerana mengaktifkan kembali DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai antara wadah utama menampung kekurangan itu.

Kini, pandemik semakin dapat dikawal, manakala proses PdP bersemuka diaktifkan semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Bagaimanapun, konsep pendidikan berasaskan video tidak harus diketepikan, sebaliknya diperkayakan dari sekolah hingga universiti. Teknologi

video bukan sahaja efektif untuk PdP, malah tidak terlalu mahal dan cepat dikuasai pendidik.

Sebenarnya, cabaran paling besar memperkayakan teknologi video dalam PdP adalah kekurangan kandungan pendidikan berkualiti sama ada dari sudut pedagogi atau produksi hingga guru dan pensyarah perlu belajar menjadi pencipta kandungan.

Memang banyak kandungan video PdP dapat diakses dalam DidikTV KPM atau platform seperti YouTube, tetapi video terbaik seharusnya datang daripada guru atau pensyarah kepada pelajar mereka.

Bagi memperbanyakkan kandungan video PdP sesuai untuk pelajar di negara ini hingga mudah difahami, guru dan pensyarah perlu menguasai kemahiran pembikinan video PdP.

Realitinya, teknologi video kini tidak serumit dahulu. Malah, dengan hanya beberapa jam dalam seminggu, pendidik mampu menghasilkan kandungan video dapat menyokong proses PdP.

Banyak aplikasi pembikinan video boleh dipelajari sama ada percuma atau berbayar, bahkan ada sudah lama wujud dalam komputer peribadi kita, tetapi tidak dimanfaatkan.

Apabila kemahiran pembikinan video PdP berpedagogi dan produksi berkualiti tinggi dikuasai, ada beberapa cara video terbabit boleh digunakan dalam proses PdP.

Bagi aktiviti sebelum kelas atau kuliah, video 'penjelasan' berdurasi 1 hingga 2 minit dapat membantu pelajar bersedia sebelum ke kelas bersemuka atau secara dalam talian.

Data penyelidikan empirikal membuktikan video penjelasan ditonton dan diamati pelajar dapat membantu untuk belajar sebelum aktiviti belajar sebenar berlaku.

Waktu dalam kelas atau kuliah pula dijadikan sesi latih tubi dan proses penggayaan ilmu pengetahuan tanpa guru atau pensyarah membuang masa memberi maklumat yang sebenarnya boleh dikuasai sendiri pelajar sebelum itu.

Selepas kelas atau kuliah, aktiviti pendek berasaskan video boleh menjadi latihan tambahan. Sudah tentu, isu capaian internet stabil dan perkakasan komputer, tablet atau telefon pintar boleh menjadi halangan.

Hakikatnya, peluang terhasil akibat pandemik global perlu digunakan untuk mengubah sistem pendidikan supaya berpaksikan masa depan. Melatih pelajar lebih berdikari dan melahirkan pendidik yang juga pencipta kandungan termaju, dapat direalisasikan melalui proses memperkayakan teknologi video PdP.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X