Rabu, 22 Disember 2021 | 10:30am
Kenderaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam ditenggelami air banjir.
Kenderaan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam ditenggelami air banjir.

Perlindungan takaful banjir satu keperluan

Banjir besar melanda negara mengejutkan banyak pihak khususnya di sekitar Selangor, dengan kawasan tidak pernah dinaiki air sebelum ini turut dilanda musibah itu.

Antara faktor bencana berlaku dengan sangat teruk adalah pembukaan kawasan penempatan baharu, ditambah kesan perubahan iklim yang menyaksikan taburan hujan dua kali ganda lebih banyak berbanding biasa, selain fenomena air pasang besar. Di sesetengah tempat pula, lokasi kediaman terletak di kawasan dataran rendah atau berhampiran sungai.

Justeru, apa persediaan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan harta benda dilindungi?

Bagi harta benda seperti rumah dan kenderaan, perlindungan takaful untuk bencana banjir satu bentuk pengurusan risiko yang perlu ambil, yang mana ketika ini sambutannya sangat rendah.

Memetik laporan Asian Insurance Review berdasarkan kajian Zurich Malaysia tahun ini, hampir 74 peratus kediaman tidak dilindungi skim perlindungan takaful bagi bencana banjir dan laporan sama menyebut, sekitar 4.8 juta orang di seluruh negara tinggal di lokasi mudah dinaiki air.

Amat menyedihkan melihat video dan perkongsian impak bencana oleh mangsa banjir di media sosial. Tambah menyedihkan, masyarakat di negara ini masih tidak memberi penekanan terhadap keperluan memiliki perlindungan takaful bencana banjir, terutama untuk kediaman dan kenderaan.

Perlindungan bencana banjir opsyen yang pemilik kenderaan perlu pilih kerana ia perlindungan tambahan ditawarkan syarikat takaful. Begitu juga polisi perlindungan banjir untuk kediaman. Kategori jenis ini juga antara paling sedikit diambil masyarakat bagi bencana banjir.

Rumah yang masih mempunyai baki hutang dengan bank dimestikan mengambil pelan Takaful Gadai Janji Tempoh Berkurangan (MRTT) atau Perlindungan Pemilikan Rumah Jangka Panjang (LTHO).

Kebanyakannya memberi perlindungan untuk bencana banjir, tetapi tidak untuk rumah yang sudah tamat tempoh pinjaman atau dibina sendiri tanpa membabitkan pinjaman bank. Oleh itu, ramai memilih tidak mengambil polisi takaful banjir berkenaan.

Masyarakat perlu sedar kerajaan menghadapi kekangan dalam memberi bantuan kerana terdapat ramai mangsa memerlukan perhatian dan sokongan. Kerugian harta benda akibat bencana bukanlah sedikit, malah mencecah bilion ringgit.

Oleh itu, jika berkemampuan dari segi kewangan untuk menyediakan peruntukan tahunan bagi perlindungan bencana banjir ini, insya-Allah pastinya akan dapat membantu pada saat terdesak nanti.

Kerajaan dan syarikat takaful juga mungkin boleh mencari satu jalan atau mekanisme mewujudkan produk takaful bagi bencana banjir yang mampu dimiliki kebanyakan rakyat.

Ketika ini, golongan B40 ditawarkan Skim Perlindungan Tenang yang mungkin boleh diperluaskan skopnya. Sudah semestinya ini bukan mudah kerana setiap produk baharu takaful memerlukan penelitian dan simulasi lengkap.

Namun, dengan adanya produk takaful mampu milik bagi bencana banjir, pastinya dapat menarik ramai rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjadi peserta (pemegang polisi) bagi produk takaful ini.

Ia sekali gus dapat menyemarakkan perkembangan industri takaful negara dan pada masa sama, memastikan masyarakat dapat dibantu dan kembali pulih kepada keadaan sebelum bencana.

Pensyarah Takaful dan Kewangan Islam di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X