Sabtu, 18 Disember 2021 | 11:00am
Keputusan PRN hari ini menentukan kepemimpinan baharu di Sarawak.
Keputusan PRN hari ini menentukan kepemimpinan baharu di Sarawak.

Isu calon, manifesto pengaruhi pilihan pengundi Sarawak

Hari ini, nasib Sarawak untuk tempoh sepenggal akan datang bakal ditentukan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang dianggap cukup bersejarah dengan 349 calon bertanding - bilangan paling ramai yang mewakili 10 parti politik.

Sejak tempoh kempen bermula, isu faktor pilihan pengundi pada PRN kali ini hangat dibincangkan pelbagai pihak. Semestinya faktor calon antara diperdebatkan, selain faktor manifesto dipertaruhkan parti.

Secara hakiki, semua calon bertanding mempunyai pelbagai personaliti berbeza dan secara langsung atau tidak, ia akan mempengaruhi pilihan pengundi. Begitu juga keupayaan calon mempamerkan keterampilan diri sepanjang tempoh kempen dan aura kepemimpinan untuk menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Justeru, mampukah persona calon baik dari segi umur, jantina dan tahap pendidikan mempengaruhi pilihan pengundi Sarawak?

Penyertaan ramai calon muda kali ini baik daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku penyandang atau parti pembangkang seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bersatu Kenyalang (PBK) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sedikit sebanyak memberi saingan kepada calon lebih senior atau penyandang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

Selain faktor calon, manifesto dibentangkan parti bertanding juga memberi impak kepada pilihan pengundi dalam setiap pilihan raya. Setiap parti bertanding sedaya upaya mengetengahkan manifesto yang dianggap relevan dan realistik untuk dilaksanakan, sekiranya memperoleh kemenangan.

Dalam PRN kali ini, GPS berikrar memastikan dan menjamin kestabilan, kemakmuran serta kegemilangan Sarawak dengan slogan 'Sarawak untuk Semua, Semua untuk Sarawak'.

GPS juga mengingatkan rakyat supaya meng-
ambil iktibar daripada kegagalan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) yang sekadar bertahan 22 bulan kerana tidak mampu mentadbir negara dalam kepemimpinan yang hanya mementingkan perebutan kuasa.

Pengumuman kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Dewan Rakyat dengan majoriti lebih dua pertiga undi pada 14 Disember lalu, turut memberi kelebihan kepada GPS dalam mengukuhkan manifesto untuk memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Bagi parti lain seperti PSB, manifesto ditampilkan mereka dilihat mampu memberi saingan sengit kepada GPS. PSB mengetengahkan untuk memberi fokus utama kepada tiga aspek, iaitu autonomi dan pentadbiran, pembaharuan pendidikan dan pembaharuan sosioekonomi.

Justeru, manifesto diketengahkan parti manakah yang akan menjadi pilihan? Yang jelas, keupayaan menjamin kestabilan sesebuah kerajaan baharu akan menjadi fokus utama selepas mendapat kemenangan.

Namun, sejauh manakah manifesto parti dapat memberi kesan kepada pilihan pengundi kali ini, terutama dengan ketetapan kempen norma baharu susulan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 82 kerusi DUN akan dipertandingkan, dengan 64 daripadanya dibenarkan untuk kempen secara bersemuka dengan pelaksanaan SOP yang ketat. Ia jelas mendatangkan cabaran kepada calon dan parti bertanding untuk memperjelas misi dan visi, selain manifesto dibentangkan kepada pengundi.

Apa pun, suatu yang pasti, keputusan PRN hari ini akan menunjukkan sejauh manakah semua faktor ini menentukan pilihan pengundi dalam memastikan kemenangan. Adakah faktor calon atau manifesto parti, atau mungkin ada faktor lain yang akan mempengaruhi pilihan pengundi di Sarawak?

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak

Berita Harian X