Selasa, 14 Disember 2021 | 11:00am
Kibaran bendera GPS dan PSB di sekitar Kampung Boyan, Petra Jaya, Kuching. - Foto Aizuddin Saad
Kibaran bendera GPS dan PSB di sekitar Kampung Boyan, Petra Jaya, Kuching. - Foto Aizuddin Saad

PRN Sarawak medan uji kekuatan GPS, kemampuan PSB

Pada semua pilihan raya negeri (PRN) empat dekad lalu, logo BN sinonim dengan penduduk Sarawak sehingga ada berani berkata, 'letak apa pun bertanding berbekalkan logo dacing di Sarawak terutama di kawasan luar bandar, pasti akan menang.'

Kali ini, GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) gah dengan lambang baharu, burung kenyalang.

Ketika dilancarkan pada 9 Januari 2019, ramai janggal dengan logo berwarna merah dan hitam berlatar belakang putih itu, namun selepas kira-kira tiga tahun dikibar di serata pelosok negeri, ramai sudah mengenalinya.

Justeru, pucuk pimpinan GPS yakin rakyat amat mengenali logo itu dan tidak akan terkeliru dengan satu lagi parti turut menggunakan burung kenyalang, iaitu Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Keyakinan pemimpin GPS terus menerajui Sarawak bersandarkan rekod perkhidmatan cemerlang dicapai selepas sekian lama mentadbir Sarawak.

Namun, cabaran getir tetap akan dilalui GPS dengan kemunculan beberapa parti tempatan baharu seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang aktif bergerak sebelum pilihan raya, selain pembangkang tradisi berpangkalan di Semenanjung seperti DAP dan PKR.

Tidak ramai meramal kemampuan parti seperti PBK, Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini kerana hanya muncul menjelang pilihan raya.

Selepas seminggu berkempen, hanya parti utama seperti GPS, PSB, DAP dan PKR kelihatan berkempen serius, manakala parti lain belum menonjol kerana mungkin menggunakan pendekatan senyap.

Prosedur standard operasi (SOP) ketat antara faktor PRN-12 tidak serancak pilihan raya terdahulu, namun kelonggaran ceramah fizikal diberikan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang capaian internetnya bukan sahaja lemah, malah ada tidak langsung tercapai.

Justeru, ramai calon dan parti beralih sepenuhnya kepada media sosial untuk menyampaikan tawaran kepada 1.2 juta pengundi.

Antara kerusi tumpuan pastinya membabitkan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang kali pertama berpindah ke DUN Gedong di Samarahan selepas sembilan penggal menyandang kerusi tradisinya di DUN Satok.

Pada hari penamaan calon, ramai terkejut tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang kini bersama BERSATU, mengemukakan borang pencalonan bertanding calon Bebas.

Namun, pada 9 Disember lalu, Ahli Parlimen Saratok serta penyandang kerusi DUN Krian dua penggal sekali lagi mencetuskan kejutan apabila menarik diri dan meminta pengundi tidak memangkah logo 'kerusi' digunakannya di kertas undi.

Sebaliknya, Ali merayu pengundi termasuk penyokong setianya supaya memangkah logo GPS dan menyifatkan kemenangan GPS juga kemenangan baginya. Persoalannya, apakah tindakan Ali jika pengundi tetap memangkah beliau dan ditakdirkan menang kerusi itu?

Soalan itu diajukan wartawan kepadanya, namun Ali mengelak daripada menjawabnya, selain meminta tidak membuat sebarang spekulasi.

Isu Ali itu antara rencah menarik PRN-12 Sarawak, selain 'cerita' Presiden PBK, Voon Lee Shan mendakwa dikejar dan ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 12 Disember lalu.

SPRM menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya menjelaskan beberapa kali menghubungi Lee Shan sebelum itu untuk menyampaikan notis pemakluman bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya mengenai penawaran wang tunai RM3,000 kepada pengundi jika mereka menang pada PRN-12.

Selain dua isu berkenaan, tidak banyak menarik perhatian sepanjang tempoh kempen kerana sebahagian besar ia diadakan secara maya susulan garis panduan bagi mengelak penularan COVID-19.

Tanpa ceramah di padang sekolah, dewan kampung atau ruai rumah panjang, PRN-12 hanya diserikan perang bendera dan poster semakin ketara selepas tujuh hari tempoh berkempen, selain meningkatnya jumlah penggunaan media sosial kerana ramai mahu tahu apa calon tawarkan.

Walau apapun berlaku, ramai pastinya mahu melihat sejauh mana kemampuan GPS mendapat mandat seterusnya bagi mentadbir Sarawak dan tidak kurang tidak sabar mahu melihat keupayaan PSB yang sejak awal penubuhannya lagi sudah melaungkan keinginan untuk mengambil alih pentadbiran Sarawak berbekalkan 70 calon dipertaruhkan.

'Selamat Berpilih.'

Penulis adalah Wartawan BH Sarawak

Berita Harian X