Rabu, 24 November 2021 | 11:01am

Kaji tahap kemampuan B40 beli rumah

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberikan tumpuan supaya rakyat dapat memiliki rumah mampu milik sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Terdapat tiga strategi dalam RMK-12, iaitu menambah baik akses rumah mampu milik, mempertingkat tadbir urus dan memastikan perumahan inklusif.

Bagaimanapun dengan peningkatan kos sara hidup isi rumah dan peningkatan golongan B40 pasca COVID-19, sudah pasti golongan itu sukar memiliki rumah kerana ketidakseimbangan harga rumah dengan pendapatan.

Faktor pendapatan isi rumah tidak mencukupi menyebabkan mereka tidak mampu mengumpul deposit dan caj berkaitan. Berdasarkan pendapatan dan kos sara hidup B40, sukar untuk mereka mendapat kelulusan pinjaman daripada bank.

Merujuk data Jabatan Insolvensi Negara pada 2020, terdapat 74,699 individu diisytiharkan muflis atas pelbagai sebab antaranya pinjaman peribadi sebanyak 35.38 peratus, manakala yang berikutnya adalah hutang kenderaan dan perumahan.

Faktor nisbah hutang menyebabkan mereka terkandas untuk menerima kelulusan daripada bank akibat terjerat hutang lama.

Menurut Laporan Status Pasaran Harta Tanah Separuh Tahun Pertama 2021, julat harga mampu milik pada RM300,000 dan ke bawah sebanyak 8,439 unit daripada jumlah keseluruhan lambakan harta tanah siap dibina dan masih belum terjual.

Dalam memastikan kerajaan mencapai sasaran RMK-12 itu, penawaran rumah berharga di bawah RM300,000 harus dijadikan strategi utama agar ia tidak memberi impak kepada kenaikan bilangan lambakan harta tanah dalam kategori segmen harga mampu milik.

Walaupun jumlah ini dalam trend penurunan, ia perlu diberi perhatian agar sektor penawaran rumah mampu milik tidak menjadi isu dikaitkan lambakan harta tanah tidak terjual, sejurus sasaran pemilikannya adalah pada golongan B40 dan M40.

Penelitian harus diberikan kepada golongan sasaran mengenai keutamaan perbelanjaan pengurusan kewangan untuk memiliki rumah dengan penambahan komitmen hutang atau hanya dengan menyewa rumah untuk kelangsungan kehidupan harian tanpa dibebani komitmen hutang khasnya pada golongan B40.

Penambahan penawaran rumah mampu milik dalam RMK-12 sangat memberangsangkan, namun tahap kemampuan dan keutamaan perbelanjaan kewangan golongan sasaran perlu dikaji agar usaha ini dapat mencapai hasrat negara mewujudkan perumahan berdaya huni oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Penambahbaikan skim pembiayaan termasuk dana untuk rumah mampu milik, skim perumahan belia dan program Rent-to-Own (RTO) bagi memastikan golongan sasaran tidak dibebani komitmen ansuran bulanan tinggi adalah usaha kerajaan memastikan penawaran rumah mencukupi dan mampu dimiliki.

Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakannya dengan mengutamakan keperluan mereka selari pendapatan dan kos sara hidup golongan sasaran.

Jumlah sasaran agak tinggi jika dibandingkan RMK-11 menawarkan hanya 282,000 rumah dibandingkan 500,000 rumah (RMK-12). Strategi seperti syarat pinjaman boleh dirujuk semula bagi memberi fokus kepada pemilikan rumah, selain pemilikan aset lain.

Usaha kerajaan menambah baik akses memiliki rumah mampu milik mungkin memberi kesempatan untuk mereka yang sudah lama ingin memilikinya. Ini dapat dilihat dalam Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 dengan Fokus 2 adalah untuk menambah baik aksesibiliti memiliki rumah.

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan & Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X