Ahad, 21 November 2021 | 11:00am
Gambar fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat keluarga 5 adik beradik yang kehilangan kedua ibu bapa akibat COVID-19. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob
Gambar fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat keluarga 5 adik beradik yang kehilangan kedua ibu bapa akibat COVID-19. - Foto FB Ismail Sabri Yaakob

Nasib anak yatim terkesan COVID-19 perlu pembelaan

Kematian ibu bapa akibat COVID-19 satu tamparan hebat bagi anak, lebih-lebih lagi yang masih kecil dan belum mencapai usia 'mumayyiz' atau mampu untuk membezakan antara yang baik dan buruk.

Ibu bapa yang berperanan sebagai pelindung selama ini meninggalkan anak selama-lamanya, seterusnya menukarkan status mereka kepada yatim atau yatim piatu.

Antara kisah tragis mangsa korban COVID-19 yang menimpa lima beradik di Pelabuhan Klang, Selangor yang menjadi yatim piatu apabila ibu dan bapa menjadi korban wabak maut itu masing-masing pada 31 Julai dan 7 Ogos lalu.

Nasib lima beradik berusia antara lima hingga 21 tahun itu menjadi bualan masyarakat, seterusnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asar, yang kemudian bersetuju mengambil mereka sebagai anak angkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang sehingga tamat belajar kelak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, memaklumkan setakat September lalu, jumlah anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dikenal pasti di seluruh negara sebanyak 4,696 orang.

Bilangan ini memerlukan perhatian khusus supaya nasib setiap anak yatim berkenaan dibela dan dilindungi.

Perlindungan dan hak kanak-kanak di Malaysia ditetapkan dalam Dasar Kanak-kanak Negara. Ia hak kanak-kanak yang diterjemahkan daripada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasi kerajaan Malaysia pada 17 Februari 1995.

Dasar Kanak-kanak Negara ini menetapkan empat keperluan perlu dipenuhi dalam aspek kehidupan seorang kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak.

Dalam memenuhi empat aspek kehidupan ini, satu perkara utama perlu diberi perhatian ialah perlindungan kanak-kanak termasuk penjagaan anak-anak yatim ini.

Penyertaan ahli waris atau keluarga terdekat dalam menjaga anak yatim ini secara sukarela amatlah disarankan kerana mereka sudah terbiasa dengan budaya, didikan serta persekitaran yang diterapkan oleh ibu bapa mereka ketika masih hidup.

Sewajarnya, hak penjagaan anak yatim ini diletakkan di bawah ahli waris atau ahli keluarga terdekat. Jika ahli waris atau keluarga terdekat atau mana-mana individu ingin memelihara anak yatim ini, mereka haruslah merujuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat.

Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan jika orang perseorangan ingin memelihara anak yatim ini, individu terbabit hendaklah memberitahu pelindung tidak lewat daripada satu minggu selepas itu, mengenai pengambilan penjagaan anak yatim berkenaan.

Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya tiada individu yang ingin memelihara anak yatim ini, maka mana-mana penghulu, pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan, mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak itu, atau mana-mana orang yang mempunyai kuasa seorang pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 Akta 611], boleh menyebabkan kanak-kanak itu dibawa ke hadapan mahkamah.

Mahkamah boleh melantik seorang penjaga sama ada bagi diri atau bagi harta kanak-kanak itu, atau kedua-duanya berdasarkan peruntukan di dalam Undang-undang Keluarga Islam Mahkamah Syariah.

Kebiasaannya, anak yatim yang tidak mempunyai waris, mahkamah akan menetapkan penempatan di institusi kanak-kanak yang bersesuaian bagi mereka.

Atas inisiatif kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan tujuh institusi kanak-kanak yang dikhaskan kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa serta tiada waris. Institusi ini adalah penempatan pilihan terakhir bagi anak yatim ini.

Sehubungan itu, masa depan anak yatim memerlukan sokongan bukan sahaja daripada ahli waris, keluarga terdekat serta kerajaan, malah mereka memerlukan sokongan daripada masyarakat dalam mengharungi kehidupan tanpa kehadiran ibu dan ayah di sisi.

Janganlah menyisihkan mereka, malah santunilah anak yatim sewajarnya.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Multimedia, Cawangan Melaka

Berita Harian X