Khamis, 8 April 2021 | 11:00am
Hampir setiap minit kita menerima terlalu banyak maklumat berkaitan COVID-19 tetapi tidak pasti kebenaran dan kesahihan berita atau maklumat berkenaan. - Foto hiasan
Hampir setiap minit kita menerima terlalu banyak maklumat berkaitan COVID-19 tetapi tidak pasti kebenaran dan kesahihan berita atau maklumat berkenaan. - Foto hiasan

Penguatkuasaan ordinan khas kekang fitnah, berita palsu

KETIKA berhadapan episod pandemik COVID-19, wujud pula lambakan berita palsu tersebar di media sosial. Banyak fakta salah dan sengaja disebarkan mengenai vaksin COVID-19 hingga mencetuskan keraguan, kebimbangan serta salah faham dalam masyarakat.

Tuduhan liar atau menggelarkan pemimpin serta barisan Menteri Kabinet melalui name-calling menjatuhkan reputasi dan imej. Jika dibiarkan berleluasa, fitnah serta penyebaran berita palsu sebegini boleh mengancam kestabilan negara, keselamatan masyarakat dan perpaduan kaum.

Ketika pihak berkuasa terutama barisan hadapan bertungkus-lumus mencegah dan menangani kes pandemik, wujud pula maklumat boleh mencemaskan dan menyebabkan tekanan emosi.

Hampir setiap minit kita menerima terlalu banyak maklumat berkaitan COVID-19 tetapi tidak pasti kebenaran dan kesahihan berita atau maklumat berkenaan.

Sebenarnya banyak maklumat berupa ingatan atau arahan benar dan sahih berkaitan COVID-19 disalurkan melalui media sosial, terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan mengarahkan kita agar duduk di rumah untuk mencegah virus COVID-19 daripada terus merebak. Kita dapat membantu menjayakan misi untuk mengekang pandemik ini hanya dengan duduk di rumah.

Namun, kita turut menerima limpahan maklumat mencurigakan hingga tidak dapat membezakan fakta atau 'auta' mengenai COVID-19 sehinggakan sesetengah maklumat mengenai vaksin COVID-19 dianggap memberi kesan sampingan menyebabkan wujud keraguan. Walhal, vaksin yang kita nanti-nantikan diharap menjadi 'penawar dan pencegahan' pandemik berbahaya ini.

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 digubal khusus bagi mengekang berita palsu khasnya menumpukan kesalahan berkaitan wabak COVID-19 dan proklamasi darurat.

Ordinan digubal khas menangani pandemik ini tidak akan diletakkan kesalahan di bawah akta lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Hasutan.

Ordinan ini tidak akan diteruskan selepas proklamasi darurat berakhir, yang dijadual tamat 1 Ogos ini. Darurat ini tidak sama dengan darurat pernah dilaksanakan dahulu yang tiada tempoh akhir. Malah, ordinan terbabit mempunyai tempoh penguatkuasaan selama enam bulan sahaja selepas darurat tamat.

Ini termaktub dalam Perkara 150 Klausa 7 mengatakan jika ordinan darurat ini tak dibatalkan Parlimen lebih awal, tempoh hayatnya ialah enam bulan daripada tarikh berakhirnya darurat.

Ordinan itu tidak akan digunakan terhadap mereka didakwa sebelum ini berhubung berita palsu berkaitan COVID-19. Ini bermaksud ordinan terbabit digubal khas bagi memastikan maklumat benar dan sahih mengenai pengurusan pandemik diterima masyarakat.

Tiada hasrat lain berselindung di bawah ordinan itu dan tidak langsung berkaitan persoalan politik. Pihak meminta jaminan ordinan itu tidak akan disalah guna sebenarnya membangkitkan soalan bersifat politik.

Maka, tidak benar dakwaan ordinan itu diwartakan kerajaan dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan. Pihak tidak menyebarkan berita palsu tidak perlu bimbang. Namun, mereka dinasihatkan agar tidak mencetus dan menyebarluaskan berita berbaur palsu serta jelek hingga menjatuhkan imej dan reputasi individu atau organisasi.

Untuk rekod beberapa kes berkaitan berita palsu di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak dapat didakwa ke muka pengadilan dek 'kelonggaran' klausa tertentu. SKMM berdepan 'bedilan berita palsu' pada 2021, sekali gus memerlukan penambahbaikan klausa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut warta kerajaan, mana-mana pihak 'mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan' berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Mereka disabit bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ia juga memberi pihak berkuasa akses kepada data berkomputer dan pemeliharaan data trafik laman web.

Cuma diperlukan ialah penguatkuasaan ordinan atau undang-undang terhadap akta diluluskan. Kita mengharap kewujudan ordinan ini dapat menangani gangguan terhadap masyarakat yang tergugat dengan penyebaran fitnah dan pembohongan.

Fitnah dan berita palsu mengenai COVID-19 serta darurat yang sarat dan membarah di media sosial menuntut usaha penguatkuasaan untuk mengekang penyebar fitnah dan berita palsu.

Penggubalan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 itu memberi fokus dan usaha pemulihan dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar dan jayanya.

Penulis adalah Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X