Selasa, 2 March 2021 | 11:01am
Pelajar sedang menonton dan mengikuti pembelajaran di saluran DIDIK TV KPM. - NSTP/Mustaffa Kamal
Pelajar sedang menonton dan mengikuti pembelajaran di saluran DIDIK TV KPM. - NSTP/Mustaffa Kamal

PdP dalam talian perlu diurus secara bijak

Bermula semalam, enam kategori pelajar dibenarkan kembali ke kampus, sekali gus mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid, iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.

Pada masa sama, sekolah dan kolej vokasional mula dibuka berperingkat dengan kumpulan pertama membabitkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara.

Dalam konteks kebenaran kepada universiti, kita mengalu-alukan langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu kerana membuktikan keprihatinannya dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) berjalan walaupun berhadapan cabaran COVID-19.

Ia khabar gembira kepada pelajar, terutama yang mengikuti kursus pengajian tertentu memerlukan standard minimum seperti ditetapkan Badan Piawaian dan Kelayakan Latihan.

Meskipun ramai selesa belajar dalam talian, beberapa isu memberikan tekanan terutama bebanan tugasan, rasa terasing, pengurusan masa tidak efektif, sosialisasi berkurangan, kesedaran dan pemahaman berkurangan.

Kajian mendapati penggunaan teknologi dan media berlebihan boleh menyumbang pengasingan serta ketagihan. Perasaan isolasi pula membawa kemurungan.

Penggunaan teknologi berlebihan juga menyebabkan sikap agresif, rendah konsep kendiri dan perubahan tingkah laku.

Ia juga boleh memberi impak kepada identiti kerana tidak dapat mengasingkan dunia sebenar dengan alam maya. Ini memberi kesan negatif kepada tingkah laku dan elemen psikologikal.

Kajian juga mendapati hubungan antara individu yang banyak menggunakan teknologi dengan kesan obesiti.

Jelas, penggunaan media pada peringkat usia awal menyebabkan perkembangan diri tidak berlaku semula jadi. Pendidikan dalam talian menghadapi cabaran seperti sikap murid dan pelajar sendiri.

Pelajar juga menghadapi masalah capaian internet dengan ketiadaan peranti digital. Ada yang terpaksa berkongsi peranti dengan adik-beradik, selain tidak mempunyai liputan wifi stabil dan baik.

Menjadi misi universiti untuk memberi sokongan kesihatan mental dengan kakitangan fakulti berada di barisan hadapan dalam mengenal pasti isu kesihatan emosi dan mental pelajar.

Di sebalik pelbagai kaedah tersedia, setiap IPT perlu memastikan cabaran berkaitan diselesaikan dengan baik.

Pelajar juga dinasihat memastikan rutin bersifat aktif, mengamalkan pemakanan bagus dan cukup tidur.

Bagaimanapun, pembelajaran dalam talian tetap mempunyai kebaikannya. Mengikut kajian Jessica Oyoque dan Courtney Brown daripada Counseling and Psychiatric Services (CAPS), Michigan State University, pendidikan digital meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan pelajar untuk terbabit dalam pembelajaran secara selamat serta selesa.

Banyak bukti menunjukkan pembelajaran dalam talian boleh menghasilkan kesan positif seperti pembabitan pelajar, sikap positif guru dan pembelajaran secara peribadi, interaksi keluarga dan pembabitan ibu bapa.

Pandemik COVID-19 mengubah senario PdP. Suka atau tidak, landskap PdP perlu berubah daripada hanya tertumpu kepada kaedah bersemuka kepada bersifat hibrid atau dalam talian.

Keberkesanannya bergantung antara lain kepada kemudahan dan peluang yang ada serta kebijaksanaan pengguna.

Dr Sapora adalah pensyarah Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala Waidah adalah pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi USIM

Berita Harian X