Rabu, 17 Februari 2021 | 6:00pm
Etika akademik, integriti universiti dan nama baik negara terjejas kerana nilai akademik yang rapuh. - Foto hiasan
Etika akademik, integriti universiti dan nama baik negara terjejas kerana nilai akademik yang rapuh. - Foto hiasan

Kejujuran akademik atasi penerbitan jurnal pemangsa

TIDAK dinafikan isu jurnal palsu atau lebih dikenali jurnal pemangsa menjatuhkan imej dan reputasi ahli akademik khususnya golongan profesor.

Ia tidak sepatutnya berlaku dan perlu dibendung daripada awal. Kini ibarat 'nasi sudah menjadi bubur.'

Daripada indeks jurnal sedia ada seperti disediakan Scopus - walaupun lebih 30,000 jurnal disenaraikan mereka - hanya lebih kurang 350 disenarai hitam atau dikenal pasti sebagai jurnal pemangsa kerana tidak memenuhi kualiti disediakan.

Namun, hakikat perlu diterima, masih ada ahli akademik di Malaysia yang memberi tumpuan dalam jurnal sebegini.

Benar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berusaha menghalang penerbitan pemangsa. Namun, menyedihkan apabila sesuatu jurnal disenarai hitam KPT, masih ada segelintir ahli akademik berusaha mencari-cari jurnal seumpamanya. Apabila menerbit dalam jurnal itu, maka jurnal dihasilkan mereka pula disenarai hitam.

Seterusnya, kitaran ini berlaku lagi. Malang sekali, seharusnya semua ahli akademik tahu apakah jurnal berkualiti dalam bidang masing-masing. Lebih penting, ahli akademik seharusnya mempunyai kawalan kualiti kendiri dan nilai etika akademik yang betul.

Realitinya, beberapa dapatan kajian berkaitan profesion akademik menunjukkan keperluan indeks prestasi utama (KPI) dan kenaikan pangkat, terus memaksa segelintir ahli akademik melakukan aktiviti sebegini, apatah lagi jika aktiviti itu diusahakan kumpulan penyelidikan dan fakulti masing-masing.

Punca merebaknya jurnal pemangsa apabila dunia akademik diperkenalkan dengan agenda ranking universiti.

Agenda menyenaraikan universiti terbaik di dunia dan Asia dengan satu piawai kriteria memang mempunyai niat baik, tetapi membawa impak negatif yang menggerunkan.

Bagi negara sedang membangun - dalam keadaan tradisi akademik belum mantap, sumber ilmuwan dan kewangan yang terbatas - mengejar ranking dunia seperti membawa perahu mengharungi lautan luas.

Akibatnya, etika akademik, integriti universiti dan nama baik negara terjejas kerana nilai akademik yang rapuh.

Kita tidak boleh salahkan institusi Scopus atau yang lain. Mereka institusi swasta mencari peluang perniagaan yang boleh menguntungkan.

Begitupun, mereka cuba memenuhi piawai bagi memastikan 'kualiti sumbangan akademik' mengikut etika dan piawaian yang diterima. Mereka menunjukkan usaha menggugurkan jurnal yang dianggap tidak memenuhi kualiti penerbitan.

Kesalahan utama berpunca daripada 'penyangak akademik' yang bersekutu dengan agensi penerbit bertujuan mengambil kesempatan atas keghairahan ranking, dengan menghasilkan jurnal pemangsa.

Mereka bijak mencari kelemahan sistem penerbitan diamalkan dunia akademik demi mengaut untung. Justeru, Malaysia dan komuniti akademik perlu mengutuk dan mengambil tindakan tegas kepada segelintir penyangak akademik ini.

Biasanya, ahli akademik terpengaruh dan terperangkap dengan pembabitan dalam jurnal pemangsa adalah mereka yang lazimnya rendah pengetahuan tentang bidang dan aspek sarjana penyelidikan serta penulisan akademik.

Dalam banyak keadaan, mereka tertekan dengan KPI tidak munasabah oleh universiti yang taksub dengan ranking dunia.

Mereka yang melakukan secara sengaja pula adalah musuh ilmu dan meruntuhkan etika akademik dan institusi untuk kepentingan diri. Ramai pengikutnya menjadi mangsa kerana takut tertinggal dan kononnya bersikap setia dengan pemimpin terpesong.

Hasil kajian berkaitan persepsi dan maklum balas ahli akademik jelas menunjukkan isu etika, integriti dan kewibawaan hasil penyelidikan dipandang serius sekumpulan ahli akademik senior dan muda.

Mereka risau tentang impak penularan amalan negatif ini khususnya apabila institusi memberikan reaksi positif, 'isu penerbitan tidak beretika tidak berlaku' atau lebih membimbangkan apabila pihak pengurusan menggalakkan dan memberi ganjaran kepada apa sahaja jenis penerbitan termasuk jurnal pemangsa.

Dapatan kajian juga menunjukkan KPI ditetapkan universiti kadang kala tidak munasabah. Cara menentukan KPI juga sering diragui, daripada mana nombor seperti lima atau enam artikel setahun ditentukan walaupun kerap dinyatakan bahawa sekiranya tidak mencapai KPI, tidak mengapa.

Ahli akademik tertekan untuk menghasilkan sejumlah penerbitan diharapkan setiap tahun. Ada menggunakan cara penerbitan pantas. Namun, ada juga keadaan di mana kriteria KPI yang 'wajar' diberikan, tetapi ahli akademik masih menerbit dalam jurnal pemangsa atau tidak menerbit langsung.

Tidak dinafikan universiti memberikan tumpuan kepada isu kualiti kepada sistem dan proses kenaikan pangkat. Proses kenaikan pangkat seharusnya mengambil kira semua sumbangan kesarjanaan akademik.

Seorang profesor mestilah memenuhi semua kriteria kerana kesarjanaan bersifat berintegrasi.

Pengetahuan baharu hasil penyelidikan disampaikan kepada pelajar melalui aktiviti pengajaran, dikongsi dengan ahli akademik dengan kepakaran sama untuk membangun korpus ilmu, seterusnya diterjemahkan untuk keperluan masyarakat dan pembangunan negara.

Kebanyakan yang dinaikkan pangkat mempunyai kewibawaan yang tidak dinafikan dan ini jelas ditunjukkan melalui sumbangan kesarjanaan yang dipindahkan untuk pembangunan pelajar, bidang kepakaran serta masyarakat dan negara.

Untuk terus menambah baik ekosistem universiti, sudah tiba masanya kita beranjak kepada budaya akademik sebenar.

Walaupun KPI untuk membangun budaya baik, universiti perlu memberikan tumpuan kepada aspek kualiti dan etika.

Amalan bercanggah dengan etika dan nilai akademik harus diberikan perhatian utama, khususnya apabila dibuktikan isu ini bukan lagi isu 'terpencil' kerana ia memberi kesan negatif kepada nama baik Malaysia.

Ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan bermutu tinggi dengan hasil cemerlang. Urusan utama ahli akademik adalah mengejar kecemerlangan secara beretika, tiada kompromi terhadap kedua-duanya.

Pengurusan universiti harus menerima fakta ini dan melihat semula cara penilaian ke arah kualiti dan kecemerlangan, bukan kuantiti semata-mata.

Benar, universiti dan ahli akademik perlu mempertahankan nama baik profesor dan profesion akademik, tetapi baikilah dengan menganalisis kelemahan dalaman dan selesaikan kepincangan ini dengan tindakan proaktif.

Selama ini, masyarakat memandang tinggi profesor sebagai kumpulan intelek dan pemikir negara. Biarlah keyakinan dan kepercayaan ini berterusan kerana merekalah benteng akhir kebenaran dan pencerahan kepada masyarakat.

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (PenDaPaT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X