Selasa, 16 Februari 2021 | 11:00am
Penyampaian ilmu praktikal antara masalah yang dihadapi pelajar TVET ketika pandemik. - Foto hiasan/Ahmad Irham Mohd Noor
Penyampaian ilmu praktikal antara masalah yang dihadapi pelajar TVET ketika pandemik. - Foto hiasan/Ahmad Irham Mohd Noor

Bantu generasi tersisih dalam STEM, TVET era pandemik

Kesan pandemik COVID-19 tidak hanya membabitkan sektor kesihatan dan ekonomi, malah sektor pendidikan.

Bagi mengekang penularan virus, kebanyakan negara melaksanakan penutupan sementara institusi yang turut merangkumi sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

Ini bermakna, bukan sahaja kelas dan kuliah ditangguh, malah amali dan bengkel juga terpaksa dibatalkan untuk suatu tempoh lama.

Walaupun sekolah dan institusi pendidikan ditutup secara fizikal, operasi pendidikan masih berlaku. Pelbagai pendekatan tidak bersemuka diterokai, baik secara dalam talian mahupun pembelajaran kendiri melalui bahan bercetak dibekalkan.

Jika diamati, norma baharu operasi pendidikan ini hanya mampu memenuhi keperluan penyampaian ilmu teori dan bukannya praktikal atau hands-on.

Timbul persoalan, adakah hal ini akan juga mengakibatkan wujudnya lost generation atau generasi tersisih dalam kalangan pelajar pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)?

Hakikatnya, aspek praktikal dan amali tonggak pendidikan dalam domain STEM, selain asas untuk TVET.

Secara khusus, menurut definisi UNESCO dan International Labour Organization (ILO), TVET merujuk proses pendidikan yang menekankan aspek kemahiran praktikal, sikap dan pemahaman membabitkan pekerjaan dalam pelbagai sektor dan kehidupan sosial.

Objektif utama pendidikan STEM dan TVET ialah mengintegrasi kemahiran teori dan praktikal bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja memiliki keupayaan melaksana, tetapi juga menyelesaikan masalah teknikal.

Walaupun kemahiran teori adalah dominan bagi peringkat ijazah tinggi seperti sarjana muda, kemahiran praktikal tetap perlu dikuasai untuk menjadi penyelesai masalah yang baik.

Secara realiti, satu-satunya kaedah pengajaran, pembelajaran dan pengujian kemahiran praktikal adalah melalui aktiviti hands-on dalam sesi amali, makmal dan bengkel.

Aktiviti ini sebenarnya tidak akan dapat dilakukan melalui pembelajaran dalam talian bagi kebanyakan bidang pendidikan STEM dan TVET.

Walaupun terdapat aplikasi simulasi boleh digunakan, tidak ada dapatan kajian secara konklusif menyatakan bahawa kesannya hampir sama dengan aktiviti praktikal sebenar.

Dapat disimpulkan pandemik COVID-19 sangat berpotensi mengakibatkan wujudnya suatu kategori generasi tersisih dalam kalangan pelajar bidang pendidikan STEM dan TVET.

Perkara ini seharusnya diberi perhatian serius, kerana mungkin memberi kesan dan impak terhadap kebolehpasaran dan kebolehsaingan mereka dalam dunia pekerjaan kelak.

Antara usaha intervensi atau pemulihan boleh dilakukan penyedia perkhidmatan pendidikan ialah melaksanakan kursus jangka pendek praktikal secara intensif.

Kursus kemahiran jangka pendek ini hanyalah perlu bermatlamatkan pemulihan tanpa sebarang aktiviti penilaian yang akan membebankan pelajar.

Kursus boleh dilaksanakan sewaktu cuti atau waktu bersesuaian sebelum atau selepas pelajar tamat pengajian. Perlu juga dipastikan pelajar tidak dibebankan kos bagi pengendalian kursus pemulihan ini.

Tanggungjawab ini tidak harus diletakkan sepenuhnya pada institusi pendidikan. Industri dan majikan juga boleh berperanan dengan tidak terlalu bertegas terhadap generasi terkesan ini.

Majikan boleh menyediakan kursus dan latihan intensif bagi memastikan generasi tersisih ini kompeten terhadap bidang kerjaya diceburi. Latihan di tempat kerja sememangnya kaedah berkesan dalam meningkatkan kompetensi graduan pendidikan STEM dan TVET.

Perancangan perlu disegerakan dalam mengurus perkara ini, khusus dalam menangani aspek kompetensi praktikal graduan pendidikan STEM dan TVET.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X