Khamis, 28 Januari 2021 | 11:00am
GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Lindungi warga emas daripada COVID-19

Umum mengetahui setiap hari ada sahaja kes membabitkan jangkitan COVID-1 membabitkan warga emas. Seperti dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia fenomena tidak dapat dielakkan di seluruh dunia.

Warga emas paling berisiko tinggi susulan kelemahan daya imunisasi badan ditambah pelbagai penyakit kronik sedia ada yang mereka hadapi. Jangkitan ini akan cepat memberi komplikasi tinggi ke atas mereka dan sukar untuk sembuh.

Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pada 24 Januari lalu menunjukkan usia paling tinggi dijangkiti virus ini ialah 61 hingga 70 tahun dengan kadar kematian tertinggi sebanyak 99 kes atau 32.2 peratus. Ini diikuti warga emas berusia 71 hingga 80 tahun yang mencatatkan 19 kematian atau 19.2 peratus.

Kematian akibat jangkitan COVID-19 membabitkan warga emas berlaku hampir setiap hari. Situasi ini mengundang ancaman kematian baharu kepada golongan rentan ini, yang sememangnya sudah sedia berjuang melawan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lain-lain.

Perasaan risau dan ketakutan diserang COVID19 ditambah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pertemuan dengan anak-anak menimbulkan keresahan kepada mereka. Ia membawa kepada kesunyian, kemurungan dan peningkatan simptom demensia. Kurang pergerakan fizikal juga boleh mendedahkan risiko kecederaan dalam kalangan warga emas.

Menyedari ancaman dan risiko tinggi dihadapi warga emas, KKM melaksanakan pelbagai tindakan proaktif. Antaranya melaksanakan ujian saringan di semua pusat jagaan warga emas, mengasingkan warga emas yang sakit, menangguhkan lawatan ke pusat penjagaan warga emas seluruh negara, melaksanakan kaunseling psikospiritual oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ruangan pertanyaan atau perbincangan berkaitan penjagaan kesihatan warga emas, khidmat penghantaran ubat melalui pos, farmasi pandu lalu dan pemantauan berterusan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, bagaimana pula warga emas yang tinggal bersendirian atau bersama keluarga dalam komuniti? Pastinya tanggungjawab melindungi mereka terletak pada bahu penjaga, anak-anak dan juga komuniti.

Kepekaan anak, penjaga dan komuniti dalam melindungi warga emas perlu lebih disuburkan. Anak yang menjaga warga emas perlu memainkan peranan lebih positif bagi mengurangkan kerisauan ibu bapa warga emas ini daripada dijangkiti COVID19.

Keberadaan mereka bersama warga emas dengan berbual dan menghiburkan dapat mengalih perhatian daripada terus risau sehingga melemahkan sistem badan dan menurunkan kadar imunisasi.

Bagi keperluan rawatan dan perubatan berterusan warga emas yang menghadapi penyakit kronik pula, anak-anak dan penjaga sewajarnya sentiasa peka terhadap tarikh rawatan susulan, jenis ubat perlu diambil dan berusaha supaya rawatan dari rumah dapat dilaksanakan dengan menyediakan peralatan ringkas mengukur tekanan darah serta kadar kencing manis.

Bekalan ubat boleh diperoleh secara pos atau farmasi pandu lalu yang ada. Komuniti juga hendaklah bersama menjaga dan melindungi warga emas dengan mengambil tanggungjawab ketika ketiadaan anak-anak dan penjaga dalam PKP ini, tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Hasiah Mat Salleh

Penulis adalah Pensyarah Kanan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS)

Berita Harian X