Rabu, 30 Disember 2020 | 10:00am
Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memfrancaiskan model perniagaan mereka dan menjadi francaisor. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memfrancaiskan model perniagaan mereka dan menjadi francaisor. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Tingkat kesedaran PKS konsep perniagaan francais mikro

Konsep perniagaan francais mikro dan francais mampu milik mendapat perhatian usahawan sejak pengumuman belanjawan 2021.

Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi program pembangunan francais mikro bernilai RM50,000 ke bawah dan francais mampu milik bernilai RM100,000 ke bawah.

Ini bermakna, antara fokus harus dilaksanakan adalah membangunkan peluang perniagaan francais kepada B40 dan M40 sebagai francaisi dan pembangunan pakej Francais Mikro berdaya saing.

Tumpuan juga disasarkan kepada memberi galakan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memfrancaiskan model perniagaan mereka dan menjadi francaisor.

Kajian menunjukkan konsep perniagaan francais mikro menjadi model perniagaan membantu negara dalam cabaran pemulihan ekonomi.

Ia memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki dan mengusahakan konsep perniagaan terbukti kejayaannya dan turut mempunyai jenama dikenali di pasaran.

Keistimewaan sistem francais ialah francaisi akan mendapat bimbingan francaisor dalam semua aspek perniagaan seperti pemilihan lokasi, operasi, pemasaran dan sistem perniagaan.

Pakej perniagaan francais berbentuk mikro dapat membantu usahawan B40, M40, pesara, belia, graduan atau wanita kurang pengalaman serta pendedahan.

Bagi usahawan PKS mempunyai produk atau perkhidmatan terbukti kejayaan di pasaran lebih tiga tahun, mereka berpeluang memfrancaiskan perniagaan dengan menawarkan pakej mikro francais.

Sistem francais akan melatih mereka mewujudkan manual standard operasi dan latihan serta mendedahkan ilmu berkaitan keperluan mendaftarkan hak cipta harta intelek.

Pendedahan dan ilmu pasti akan menjadikan perniagaan usahawan PKS lebih berdaya saing dan mempunyai akses kepada pasaran lebih luas.

Pengukuhan perniagaan PKS dari segi operasi, piawaian, dan penjenamaan melalui sistem francais akan membantu negara dalam pembangunan ekonomi kerana mempunyai industri lebih berdaya tahan dan saing.

Namun, perlu juga difikirkan dapatkah usahawan PKS dan golongan sasaran mengambil peluang dan berdaya saing dalam perniagaan francais mikro? Melalui kajian dan pengalaman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Francais Malaysia (MFA), pihak industri banyak memberikan maklum balas.

Antara cabaran utama, kurang kesedaran dan pengetahuan PKS berkaitan konsep perniagaan francais.

Cabaran ini lebih getir kerana sasaran juga adalah kepada peniaga luar bandar yang mungkin tercicir dari segi capaian maklumat dan peluang menyertai francais.

Tambahan pula, sifat PKS mikro kebanyakan beroperasi dalam keadaan kekurangan dari segi sumber dana, fasiliti, peralatan, pekerja dan kepakaran.

Ini memerlukan pelbagai pihak seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Persatuan Francais Malaysia (MFA), usahawan francais dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) terus mengadakan program meningkatkan kesedaran dan pengetahuan.

Isu pembiayaan juga antara cabaran kepada usahawan PKS dan B40 serta M40 untuk memulakan perniagaan francais mikro.

KPDNHEP melalui rakan strategik menawarkan kemudahan pembiayaan, iaitu Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) dan Dana Bantuan Pembangunan Francais (DBPF) oleh PNS serta Skim Pembiayaan Francais (SPF) oleh Credit Guarantee Corporation (CGC).

Namun, selari hasrat kerajaan meningkatkan bilangan perniagaan francais mikro, peluang pembiayaan perlu diperluaskan, termasuk institusi kewangan seperti bank.

Tidak dinafikan peruntukan dana khas mampu menzahirkan komitmen kerajaan membawa industri ke tahap lebih tinggi dan menjadi penyumbang penting pembangunan ekonomi negara.

Namun hasrat ini tidak akan tercapai tanpa kesungguhan usahawan dan pembabitan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan.

Penulis adalah Pengerusi Penyelidikan dan Pendidikan, Persatuan Francais Malaysia (MFA)

Berita Harian X