Ahad, 29 November 2020 | 11:00am
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas memantau tembok sempadan di kawasan Op Pagar 2 di sempadan negara, di Bukit Kayu Hitam. - Foto BERNAMA
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas memantau tembok sempadan di kawasan Op Pagar 2 di sempadan negara, di Bukit Kayu Hitam. - Foto BERNAMA

Tembok kekal tangani jenayah di sempadan

Menghampiri hujung tahun, suhu di kebanyakan lokasi biasanya sejuk disebabkan Monsun Timur Laut. Hujan lebat, ribut berserta banjir fenomena biasa ketika ini.

Di utara Semenanjung pula, fenomena angin timur menyuntik suhu dingin malam hari. Namun sehari dua ini, suhu di utara tiba-tiba panas membahang dek insiden di sekitar sempadan.

Semua tahu rasanya kejadian berbalas tembakan di laluan keselamatan bersebelahan sempadan Malaysia-Thailand. Nyawa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melayang, seorang lagi parah.

Ketua Polis Negara. Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan ia bukan yang pertama, sebaliknya insiden keempat penyeludup menyasarkan pasukan keselamatan. Tak sampai 24 jam kenyataan dibuat, seorang lagi anggota PGA menjadi sasaran senjata api penyeludup, juga kawasan sama.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya sedar ancaman dihadapi anggota bertugas, lantas mengerahkan ketumbukan besar ke sempadan untuk mengekang kegiatan penyeludup.

Tahniah tindak balas pantas itu. Sekurang-kurangnya moral anggota di sempadan sedikit terubat.

Namun, kenapa selalu tunggu sesuatu yang buruk terjadi, baru pihak atasan nak bertindak? Ibarat sudah terhantuk baru nak terngadah.

Bukankah elok jika langkah awal diambil untuk mencegah? Dalam situasi ini, rasanya sudah sampai masanya pagar dawai usang di sepanjang 29 kilometer (km) laluan keselamatan bersebelahan sempadan diganti tembok konkrit lebih kukuh.

Penat sebenarnya mendengar rungutan "hari ni tampal pagar dipotong penyeludup, esok ditebuk semula".

Sampai bila babak 'kucing dan tikus' ini nak dibiar berterusan? Tidak hairanlah ratusan lubang tikus pernah dilapor dikesan pada pagar sempadan ini.

Cadangan pembinaan tembok kekal di sepanjang laluan keselamatan bukan sekali dua dibangkit, malah sudah lebih sedekad berlarutan.

Setiap kali dibincang berkobar-kobar pelan dibentang, namun cadangan tinggal cadangan. Semakin lama ditangguh, kos pembinaan makin meningkat.

Antara cadangan ialah menaik taraf laluan keselamatan di Kedah dan Perlis berpandukan konsep program keselamatan dan pembangunan atau KESBAN.

Pagar usang akan dinaik taraf kepada tembok kekal lebih kukuh dan selamat. Tahap keselamatan laluan juga akan turut dipertingkat, termasuk menggunakan dron dan radar bagi menyokong penguatkuasaan.

Tembok kekal bukan lagi angan- angan, sebaliknya harus dijadikan kenyataan. Bukan sahaja di Kedah dan Perlis, tetapi juga di sempadan Kelantan-Thailand yang turut terdedah risiko jenayah rentas sempadan.

Untuk rekod, panjang keseluruhan sempadan Malaysia-Thailand adalah 646km, namun hanya 111km berpagar.

Dalam hal ini pucuk pimpinan PDRM perlu lebih bertegas demi anak buah yang mempertaruhkan nyawa di perbatasan. Menteri Dalam Negeri juga tidak boleh pandang sebelah mata.

Ingatlah, setiap anggota dihantar ke sempadan menggalas risiko besar dalam tugas memerangi penyeludupan. Setiap kali rampasan dan tangkapan dibuat, bukan sekadar nyawa sendiri jadi taruhan, malah anak dan isteri di rumah.

Mereka yang tinggal di sekitar sempadan cukup masak sikap penyeludup yang pendendam. Jika urusan dihalang, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk membalas dan konco mereka bukan sedikit.

Buktinya cukup banyak. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis pernah menerima sampul berisi peluru hidup sebagai mesej ugutan selepas mengganggu kegiatan van sapu negara jiran. Kereta pegawai kastam juga pernah dibakar di Bukit Kayu Hitam kerana mengganggu kegiatan penyeludup.

Ini hanya sebahagian, sedangkan banyak lagi ugutan dan ancaman tidak ramai yang tahu. Yang umum tahu pukul rata melabel anggota di sempadan kaki rasuah, hanya disebabkan segelintir yang korup.

Pihak atasan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu hentikan semua ini. Tugas besar kini memperjuang nasib anak buah di perbatasan.

Benar kos membangunkan tembok kekal bukan sedikit, namun demi kedaulatan negara dan keselamatan anggota bertugas, ia berbaloi.

Jika tak dapat dibina sekali gus, apa salahnya dibuat secara berfasa dengan mengutamakan lokasi panas terlebih dahulu. Ia tak sukar kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada maklumat ini.

Atau mungkin kaedah kolaborasi serta perkongsian sumber boleh diguna pakai seperti pembinaan pagar berlapis di Padang Besar sepanjang 5.3km yang ditanggung bersama Malaysia-Thailand pada 2004. Ini patut diteruskan.

Ayuh PDRM! Ayuh Menteri Dalam Negeri! Jangan dibiarkan ada lagi darah anggota mengalir di tangan penyeludup. Biarlah mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang terakhir!

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

Berita Harian X