Jumaat, 23 Oktober 2020 | 10:33am
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar hiasan. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Krisis air: Pertingkat kerjasama pakar forensik alam sekitar

Bagaikan tiada berkesudahan, satu demi satu episod pencemaran sumber air mentah berlaku di Selangor.

Baru sahaja kira-kira sebulan penduduk sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air mentah tidak berjadual akibat pencemaran Sungai Selangor, awal September lepas, rakyat kini sekali lagi terpaksa berhadapan situasi sama.

Orang ramai mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam disediakan Air Selangor di Taman Keramat berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor. - Foto NSTP/ Fathil Asri.
Orang ramai mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam disediakan Air Selangor di Taman Keramat berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor. - Foto NSTP/ Fathil Asri.

Isnin lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor, kira-kira 2 pagi.

Henti tugas keempat-empat loji itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Gangguan bekalan air yang berlaku ketika rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu, pastinya menambah gundah di hati penduduk terjejas, di samping marah dan muak dengan insiden berulang ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ia benar-benar menyusahkan rakyat.

Keadaan sungai susulan belaku air tercemar di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Keadaan sungai susulan belaku air tercemar di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak, berkata kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu mempertingkatkan kerjasama dengan pakar forensik alam sekitar di universiti dalam menangani isu sungai terlibat dengan pencemaran industri.

"Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar di UPM mewujudkan Institut Forensik Alam Sekitar bagi tujuan mempelopori kajian dan mengenal pasti kitaran bahan cemar.

"Menerusi kerjasama dan perkongsian sumber dicadangkan ini, kepakaran di universiti boleh membantu daripada segi menganalisis bahan cemar di lapangan menggunakan kaedah saintifik diperakui mengikut piawaian antarabangsa.

"Juga menjalankan proses pemadanan sampel bahan dengan senarai data dalam inventori pihak berkuasa agar penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dapat dilaksanakan lebih efektif.

"Ini secara langsung dapat membantu mempercepatkan proses pendakwaan di mahkamah terhadap pesalah dan seterusnya memberi mesej bahawa mereka terlibat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.

Mohd Yusoff turut mencadangkan keupayaan peralatan seperti makmal lebih canggih dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air dapat dipertingkatkan sejajar perkembangan teknologi semasa di samping bertujuan menangani kelicikan penjenayah alam sekitar dalam menutup 'jejak' mereka.

"Selain isu proses pendakwaan pesalah alam sekitar di mahkamah memakan masa terlalu lama, kita turut berhadapan isu tahap teknologi serta sains bidang forensik alam sekitar di negara ini yang dilihat masih jauh ketinggalan berbanding bidang kesihatan awam contohnya untuk menangani isu pencemaran ini.

"Kerajaan perlu mempertingkatkan kemudahan makmal dan peralatan dalam membantu mengesan unsur bahan cemar memandangkan kehadiran pelbagai jenis bahan kimia generasi baharu.

"Selain itu, faktor iklim panas dan lembap di negara ini turut menjadi cabaran kepada agensi dalam memastikan keutuhan sampel diambil untuk dianalisa," katanya sambil menambah kerjasama perkongsian data analisa serta penggunaan kaedah terkini dalam mengenalpasti bahan cemar seperti digunakan pakar di universiti boleh membantu pihak berkuasa.

Turut menyifatkan usaha kerajaan Selangor memperuntukkan RM2 juta untuk menggunakan perkhidmatan empat buah dron berteknologi tinggi bermula November depan sebagai antara langkah terbaik bagi memantau salah laku melibatkan alam sekitar, beliau bagaimana pun berkata, ia perlu berbalik kepada persoalan bagaimana sampel air diambil dron berkenaan boleh dijadikan bahan bukti semasa mendakwa individu pencemar alam di mahkamah.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, pihaknya mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) kepada kerajaan pada 7 September lalu, dengan menambah klausa baharu untuk membolehkan tuntutan kerugian pihak terjejas.

"Setakat ini, denda bagi bahan bukan toksik tidak melebihi RM100,000, manakala bagi sisa toksik pula tidak melebihi RM500,000 dengan kedua-dua denda ini juga boleh dikenakan bersama-sama hukuman penjara.

"Kerajaan juga boleh menuntut kos pembersihan disebabkan pencemaran. Denda asas perlulah menghampiri kos pencemaran sebenar.

"Bagi saya, tambahan klausa dalam AKAS 1974 untuk membolehkan pengguna (industri, komersil dan domestik) menuntut ganti rugi dan dapat meningkatkan jumlah denda dengan mendadak. Perkara ini boleh dibangkitkan pada sesi Parlimen akan datang," katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan dapat mewujudkan rizab kawasan tadahan khusus untuk sungai memandangkan ia juga sebahagian sistem saliran negara.

"Semua longkang pun pada akhirnya bersambung kepada sungai dan dilepaskan ke laut. Ini konsep pelarutan (dilution). Apabila ada individu tidak bertanggungjawab melepaskan sisa terus ke longkang atau sungai, pencemaran berskala besar boleh berlaku dan mengakibatkan rantaian masalah seperti apa berlaku sebelum ini," jelasnya.

Turut meluahkan rasa kesal terhadap kejadian berlaku, Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Datuk M Ali, berkata pihak berkuasa terlibat dilihat bagaikan 'memandang sepi' dan tidak mengambil berat pelaksanaan langkah proaktif dalam menangani isu pencemaran sungai dan gangguan bekalan air.

Menurut beliau, sudah tiba masanya pihak berkuasa dan agensi bertanggungjawab menguruskan sistem sumber air untuk Selangor menyerahkan kad laporan lengkap mengenai bencana berulang ini kepada penduduk terjejas agar mereka maklum akan tindakan susulan diambil.

"Apa sebenarnya berlaku kepada sistem rantaian bekalan air terutama di Selangor? Pihak berkuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Selangor selain Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga masih belum tampil untuk mengambil alih hak dan tanggungjawab untuk menangani isu ini.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan KASA pula sekurang-kurangnya atas dasar moral, boleh mengambil tanggungjawab menyiapkan kad laporan ini.

"Menerusi kad itu, rakyat perlu didedahkan sekurang-kurangnya dengan maklumat seperti jumlah bencana sekurang-kurangnya dalam tempoh lima atau 10 tahun terakhir, punca bencana, siapa bertanggungjawab, apakah tindakan diambil terhadap mereka bertanggungjawab serta langkah pencegahan diambil atau dilaksanakan bagi setiap bencana," katanya.

M Ali turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan pasukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengatasi isu gangguan bekalan air kerana beliau difahamkan sudah 18 kali gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Lembah Klang sejak awal tahun ini.

Berita Harian X