Selasa, 6 Oktober 2020 | 11:01am
Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membolehkan sektor PKS terus berdaya saing. - NSTP/Rozainah Zakaria
Pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membolehkan sektor PKS terus berdaya saing. - NSTP/Rozainah Zakaria

Belanjawan 2021 ambil kira pemulihan impak pandemik

BELANJAWAN 2021 pasti dinantikan seluruh rakyat Malaysia. Ini belanjawan pertama selepas pandemik COVID-19 melanda Malaysia dan seluruh dunia.

Belanjawan adalah rancangan perbelanjaan kerajaan yang membabitkan penerimaan wang, cukai serta duti lain yang mana wang itu bakal digunakan dalam projek dan program pembangunan rakyat.

Saban tahun belanjawan diadakan sekali dan merangkumi satu tahun fiskal bermula 15 Januari tahun semasa sehinggalah 15 Januari tahun berikutnya.

Secara umumnya, pada tahun sudah rakyat Malaysia mengharapkan satu belanjawan yang dapat membantu negara bebas daripada pandemik dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, menambah baik kos sara hidup rakyat serta mengurangkan hutang negara.

Merujuk laman sesawang Kementerian Kewangan, Belanjawan 2021 bakal memberi fokus kepada empat perkara utama iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan awam.

Sebagai rakyat, semua tema ingin dicapai dilihat langkah kerajaan menjayakan wawasan menjadi pentadbir lebih mantap. Pastinya, kita memerlukan sebuah kerajaan tangkas dalam menangani permasalahan demi kemaslahatan rakyat Malaysia seluruhnya.

Strategi kerajaan yang amat diharapkan adalah untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi. Ini antara tumpuan perlu dicapai dalam usaha memastikan peningkatan terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021, selain meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan keyakinan pengguna.

Sebagai usaha berterusan mendepani pandemik, kerajaan diharapkan terus memperkasa penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kalangan sektor awam dan swasta untuk terus memastikan Malaysia kekal menjana pertumbuhan ekonomi yang positif.

Peningkatan pelabur runcit dan institusi yang menggunakan teknologi digital bagi dagangan ekuiti lebih lancar dan kos efektif dilihat pada tahap amat menggalakkan dan pada landasan tepat.

Rakyat mengharapkan peruntukan hampir RM1 bilion untuk mendorong penerapan teknologi dan digital oleh PKS, akan terus memupuk inovasi digital melalui modal teroka baharu.

Usaha ini sebagai galakan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penekanan pada transformasi digital.

Memasuki Oktober, sudah pasti semua cadangan dikemukakan rakyat dan golongan berkepentingan dalam membantu kerajaan merangka Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sudah pun diteliti dan berada dalam radar pemerhatian Kementerian Kewangan dan kerajaan.

Dalam keadaan darurat kesihatan akibat pandemik COVID-19 yang menjadi insiden terburuk dalam sejarah dunia, kita menyaksikan kesan ekonomi terburuk dalam tempoh 100 tahun.

Kita turut menyaksikan pada suku pertama 2020 Malaysia hanya mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus.

Pelbagai inisiatif fiskal dan intervensi monetari digerakkan meliputi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, serta Pelan Jana semula Ekonomi Rakyat (PENJANA).

Melalui suntikan keseluruhan RM295 bilion, sudah ada tanda pemulihan dilihat berlaku. Namun, realiti sebenar bakal diketahui bermula bulan Oktober ini memandangkan berakhirnya tempoh moratorium pembiayaan kewangan dan insentif kemudahan i-Lestari.

Meskipun sektor peruncitan kelihatan semakin rancak terutamanya PKS, sektor perkhidmatan pelancongan masih terjejas teruk, terutama sektor perhotelan berskala besar.

Sektor ini pasti akan memakan masa yang lebih panjang untuk pulih kerana kebergantungan mereka kepada kemasukan pelancong antarabangsa.

Namun, apa yang amat diharapkan melalui belanjawan 2021 supaya kerajaan dapat membantu dalam mengurangkan kadar pengangguran dan semoga pekerja tempatan akan mendapat peluang pekerjaan semula.

Pastinya, inisiatif seperti pemberian subsidi upah, insentif pengekalan pekerja dan latihan semula, selain galakan dan insentif terhadap aktiviti perniagaan e-dagang dan ekonomi gig amat diperlukan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang

Berita Harian X