Ahad, 7 Jun 2020 | 11:00am
Anggota polis melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan di sekatan jalan raya di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Anggota polis melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan di sekatan jalan raya di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Lindungi hak waris, mangsa pemandu mabuk

KITA dikejutkan banyak insiden kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk. Jika dibandingkan statistik tahun lalu, rekod tahun ini menunjukkan peningkatan membimbangkan. Sehingga Mei lalu, 22 kemalangan jalan raya membabitkan sembilan kematian dan 13 kecederaan. Jumlah kes kurang setengah tahun ini hampir menyamai jumlah direkodkan 2019, iaitu 23 kes dan 2018 (25).

Keseluruhan kematian akibat pemandu mabuk ketiga-tiga tahun ialah 29 orang, manakala kecederaan membabitkan 41 mangsa.

Ia menjustifikasi tindakan tegas kerajaan terhadap pemandu mabuk hingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan. Implikasi ini bukan hanya membabitkan mangsa dan keluarga, bahkan kepentingan awam.

Kesan kemalangan ialah kemusnahan dan kerosakan infrastruktur jalan yang menelan kos pembaikan daripada dana awam.

Cadangan pindaan memberikan hukuman lebih berat sebenarnya sudah dipersetujui Kabinet, Januari lalu. Justeru, kajian Kementerian Pengangkutan dijangka akan dibentangkan di Parlimen, Jun atau Julai ini.

Ia wajar dimuktamadkan dengan penyelesaian menyeluruh termasuk tindakan pencegahan seperti meminda kadar alkohol dibenarkan daripada 80mg alkohol dalam 100ml darah kepada 50mg seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pembekuan permohonan lesen penjualan arak juga diambil beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga semakan perundangan dan garis panduan jelas dikeluarkan. Cadangan juga banyak dikemukakan mengenai hukuman setimpal khususnya di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Orang awam juga dilibatkan menerusi soal selidik Kementerian Pengangkutan itu. Antara cadangan termasuk penjara seumur hidup dan hukuman mati. Terdapat gesaan sebarang pindaan mesti mengutamakan hak mangsa. Namun, jaminan kemudahan hak mangsa mendapatkan ganti rugi tidak banyak dibincangkan mendalam.

Dalam membincangkan cadangan pindaan, ia boleh diperhalusi menurut perspektif perundangan Islam. Selain kesalahan minum arak diperuntukkan hukuman sebatan, ia juga berkaitan kemalangan akibat mabuk menyebabkan kematian atau kecederaan. Dalam perundangan Islam, hukuman diperuntukkan ialah hukuman balas yang sama (qisas) atau pembayaran sejumlah nilai ganti rugi ditetapkan kadar atau diyat.

Kesan alkohol yang menghilangkan kewarasan tidak menggugurkan hukuman apabila mengakibatkan kematian, kecederaan mahupun kerosakan harta benda.

Bagi kes pengambilan arak secara sengaja, jumhur fuqaha berpandangan hukuman sama seperti diperuntukkan terhadap orang sedar dan waras, iaitu qisas jika membunuh sebagai satu pemberat terhadap jenayah dilakukan hasil perbuatan minum arak dengan sengaja.

Minoriti fuqaha berpandangan pesalah hanya dikenakan sebatan kerana minum arak dan tidak dikenakan qisas tetapi perlu menjelaskan diyat. Hak qisas dan diyat eksklusif pihak mangsa. Jika keluarga mangsa memaafkan pesalah daripada qisas, mereka berhak mendapat diyat daripada pesalah.

Nilai diyat bersamaan 100 ekor unta atau 1,000 dinar emas yang boleh dinilaikan dengan kadar semasa. Secara amnya berat 1 dinar ialah 4.25 gram emas berketulenan 22k (91.7 peratus). Dalam kadar emas semasa, nilai diyat boleh dianggarkan sebanyak RM880,600.

Ia jauh melebihi ganti rugi kesedihan (bereavement) diperuntukkan Akta Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67), iaitu RM10,000 sahaja. Ganti rugi tidak diberikan automatik kepada keluarga mangsa. Bagi mendapatkannya bersama ganti rugi lain seperti ganti rugi kehilangan saraan dan perkhidmatan, keluarga mangsa perlu membuktikan tuntutan memenuhi syarat berkaitan. Proses ini bukan mudah dan boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Justeru, pindaan undang-undang perlu menyeluruh. Penumpuan tidak kepada Akta 333 kerana sabitannya memperuntukkan hukuman tidak menjamin kelangsungan masa depan waris mangsa. Akta 67 yang menjadi sumber perundangan utama dalam pembelaan hak mangsa kemalangan jalan raya juga wajar dipinda.

Juga amalan penetapan kuantum ganti rugi boleh ditambah baik bagi mempercepatkan penyelesaian kes dan pembayaran ganti rugi kepada mangsa. Antaranya, menjadikan kompendium sebagai rujukan wajib dan nilainya boleh disesuaikan dengan diyat. Kes boleh diselesaikan lebih cepat tanpa pertikaian kuantum ganti rugi.

Disebabkan nilai diyat tinggi, premium takaful atau insurans lebih tinggi boleh ditetapkan bagi pemandu mengambil arak kerana risiko akibat pemanduan juga lebih tinggi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X