Khamis, 14 Mei 2020 | 11:00am
Slot TV Pendidikan (TV Okey) oleh RTM boleh dimanfaatkan ibu bapa untuk membantu anak belajar di rumah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Slot TV Pendidikan (TV Okey) oleh RTM boleh dimanfaatkan ibu bapa untuk membantu anak belajar di rumah. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pembelajaran secara mudah alih rapatkan jurang digital

Cabaran jurang digital teknologi maklumat wujud di negara ini semakin ketara ketika musibah COVID-19 melanda. Penggunaan teknologi digital seperti peranti dan perisian mudah alih amat diperlukan, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut laporan Hootsuite, ada 40.69 juta hubungan telefon mudah alih, iaitu 127 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Ia menunjukkan jumlah perkakasan mudah alih melebihi penduduk.

Cabaran jurang digital juga berkait rapat jurang ekonomi masyarakat. Sebagai contohnya, terdapat jurang digital antara golongan bandar dengan luar bandar dan golongan kaya, pertengahan serta miskin. Begitu juga golongan muda tua, orang kurang upaya (OKU) dan Orang Asli.

Jika mereka kurang pengetahuan dalam teknologi maklumat, mereka akan terlepas peluang menjadi masyarakat maju. Malaysia sedang membangun terutama daripada segi infrastruktur teknologi maklumat.

Laporan terbaru Hootsuite 2020 turut mencatatkan hanya 83 peratus daripada negara diliputi rangkaian internet. Ini menyukarkan komunikasi, terutama masyarakat luar bandar dan kawasan terpencil untuk berhubung secara dalam talian.

Masih ada kelemahan infrastruktur, iaitu jalinan rangkaian jalur lebar tidak sekata mengakibatkan kesukaran menerima data internet di kawasan pedalaman.

Hakikatnya, masih ada penduduk ketinggalan menggunakan teknologi maklumat seperti internet, pembelajaran dalam talian dan e-dagang yang boleh dicapai menggunakan teknologi mudah alih.

Begitu juga masyarakat luar bandar, khususnya golongan miskin yang masih ketinggalan menggunakan perisian serta perkakasan mudah alih.

Daripada segi pengetahuan digital sebagai contohnya, tidak semua orang tahu menggunakan e-mel dan melayari internet dengan selamat serta mempunyai perkakasan sempurna.

Bagaimanapun, disebabkan perkakasan mudah alih seperti telefon bimbit dimiliki sejumlah besar rakyat Malaysia, kaedah pembelajaran mudah alih boleh dimanfaatkan untuk merapatkan jurang digital secara inklusif.

Pembelajaran secara mudah alih ini boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal. Pembelajaran secara tidak formal boleh dilaksanakan secara kendiri tanpa memerlukan mereka menghadiri kelas maya kerana rakyat boleh memanfaatkan penggunaan internet untuk mencari bahan pembelajaran berkaitan.

Pembelajaran secara formal boleh dijalankan dengan kaedah pembelajaran dalam talian dengan mempunyai kelas maya dan bersama-sama fasilitator sama ada secara langsung atau tidak langsung menggunakan peranti dan perisian mudah alih bersesuaian.

Kaedah pembelajaran mudah alih secara mikro boleh dilaksanakan sekiranya terdapat keterbatasan waktu dan isyarat serta data internet dengan menggunakan media sosial seperti WhatsApp dan Telegram.

Di negara ini, terdapat Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh tanah air, maka program berkesan untuk masyarakat, terutama di luar bandar boleh dilaksanakan untuk melestarikan pembelajaran dalam talian.

Pusat internet itu boleh memperkasakan teknologi maklumat seperti halaman blog masyarakat kampung, mendokumenkan sejarah kampung, mengiklankan penghasilan jualan tanaman, makanan dan ternakan masyarakat setempat menggunakan kaedah pembelajaran mudah alih untuk merapatkan jurang digital.

Justeru, maklumat blog boleh dicapai secara mudah alih di mana-mana sahaja dengan menggunakan peranti seperti telefon bimbit untuk perkongsian maklumat dan komunikasi antara masyarakat setempat dengan orang luar secara inklusif dan kolaboratif.

Menurut laporan tahunan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 2017, inisiatif menerusi PI1M dengan menambahkan fokus latihan daripada kursus asas teknologi komputer dan maklumat (ICT) kepada program berkaitan memperbaiki taraf ekonomi sosial dan kehidupan penduduk luar bandar.

Program ICT itu termasuk e-learning, media sosial, keusahawanan, e-dagang, teknologi kejuruteraan, matematik, internet benda (IOT) dan program aplikasi untuk masyarakat dapat berhubung.

Pada masa sama, SKMM membangunkan komuniti pintar untuk memastikan untuk rangkaian jalur lebar tetap yang mempunyai servis telekomunikasi berkualiti untuk rangkaian kawasan komuniti pintar. Bagaimanapun, pelaksanaan seumpama ini mesti dipantau berterusan dan inklusif untuk memastikan kualiti program lebih mampan.

Menerusi sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM, dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkredibiliti, terdapat potensi pembangunan kandungan dan pembelajaran mudah alih dapat dilaksanakan lebih inklusif, percuma dan mampan pada masa hadapan.

Seterusnya, program itu dapat dilaksanakan dalam talian dengan strategi pendekatan pembelajaran mudah alih supaya dapat dimanfaatkan secara inklusif.

Pihak telekomunikasi yang bertanggungjawab dicadangkan dapat menyediakan infrastruktur berkualiti secara meluas.

Pakej pembelian peranti mudah alih dengan harga berpatutan boleh diberikan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

Peranti mudah alih dikitar semula berkemungkinan dapat diberikan secara percuma mengikut skim pakej berkenaan kepada golongan memerlukan seperti pelajar miskin, gelandangan, asnaf dan golongan kurang bernasib baik secara lebih inklusif.

Penyediaan pakej data dan kadar rendah untuk mengakses data tanpa had juga sangat penting dalam menuju ke era negara maju di dunia. Ini amat penting ke arah menjayakan negara mementingkan kebajikan masyarakatnya.

Justeru, sewaktu pasca COVID-19 dengan kefahaman dan kerjasama semua pihak akan kepentingan pembelajaran secara mudah alih, peluang akan lebih cerah untuk merapatkan jurang digital.

Berita Harian X