Rabu, 13 Mei 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kawalan dalaman jaga integriti profesion kewartawanan

Prestasi kedudukan dari segi kebebasan media Malaysia bertambah baik mengikut Laporan World Press Freedom Index 2020. Malaysia menduduki tangga ke-101 berbanding 2019, iaitu tangga 123 dan 2018 (145).

Ini prestasi amat menggalakkan, iaitu melompat hampir 44 ke atas dalam tempoh dua tahun ini, sekali gus satu kejayaan bagi Malaysia, terutama ketika menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2020 bertema Journalism without Fear or Favour.

Reporters Without Borders (RSF) melaporkan Malaysia mendahului negara ASEAN lain dan menunjukkan peningkatan ketara dalam kebebasan media.

Ada beberapa perkara penting harus ditekankan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk terus menyahut cabaran kebebasan akhbar dan media tempatan supaya kita dapat memperbaiki lagi prestasi kebebasan media Malaysia.

Pertama, persoalan bagaimana media kita dapat berhadapan pemberitaan antarabangsa dan kepantasan kita bertindak balas terhadap pemberitaan antarabangsa itu amat penting.

Media Malaysia harus bebas bergerak ke hadapan. Kita tidak mahu reputasi negara terjejas dengan penyampaian maklumat sumber tidak sahih dan tidak rasmi dari negara kita kepada sumber media asing di luar negara.

Mungkin sumber itu pendapat peribadi, bukan menggambarkan keadaan sebenar posisi Malaysia terhadap sesuatu isu.

Ini komitmen besar untuk landskap media perdana Malaysia kerana pemberitaan asing selalunya menekankan isu politik negara yang meletakkan di persada antarabangsa.

Apakah kita bersedia pemantauan itu? Lebih-lebih lagi berkaitan isu ekonomi membabitkan pemberitaan kedua-dua negara.

Kedua, soal status adaptasi media Malaysia terhadap digital teknologi maklumat yang hampir semua penerbitan berita berubah ke arah digital kini.

Namun, setakat manakah ia dijalankan dan apakah status migrasi media perdana ke arah pendigitalan dijalankan?

Ketiga, bagaimana mengubah persepsi rakyat bahawa media perdana hanya melaporkan menyebelahi sesuatu pihak dan permintaan berita seimbang.

Kita tidak boleh menggalakkan situasi rakyat dahagakan maklumat dan langsung tidak mempercayai pemberitaan media perdana.

Sebelum ini sudah terbukti dalam beberapa peristiwa penting yang turut menyumbang punca populariti platform media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia yang membawa penularan berita palsu bukan setakat dalam negara, malah di luar negara.

Kita sudah melihat bagaimana media Malaysia memainkan peranan penting sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga pengamalnya berdiri sebaris dengan barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan pihak berkuasa menjalankan tugas serta membuat laporan tanpa mengira keadaan.

Penubuhan Majlis Media sebagai pengawalseliaan media bebas sudah lama diperjuangkan pengamal media bagi mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang arbitrasi aduan awam.

Langkah seterusnya adalah menjadikan badan itu sebagai realiti. Penubuhan majlis media terbuka, bertanggungjawab dan telus dapat membantu dalam membina keyakinan terhadap media dan menyumbang kredibiliti organisasi media.

Majlis ini harus disegerakan memandangkan dua faktor utama, iaitu melindungi dan menaiktarafkan profesion kewartawanan media perdana khususnya cabaran digital dari segi pemberitaan serta impak platform media sosial.

Ia memberikan tekanan amat mendalam bukan sahaja trend media sosial yang banyak ke arah politik kebencian dan elemen hasutan serta fitnah, malah faktor berita palsu yang mempunyai elemen mis-information, dis-informtion dan mal-information.

Dalam cabaran media sosial yang pantas tetapi kesahihan kandungan diragui, media massa dan golongan wartawan arus perdana masih relevan sebagai penjana berita semasa.

Namun, soal kredibiliti dan ketelusan perlu ditekankan. Sekiranya ia wujud, rakyat tentu akan merujuk kembali media perdana untuk kesahihan sumber.

Di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, tidak ada platform media dalam talian persendirian yang meraih populariti kerana rakyat percaya pemberitaan media arus perdana.

Selain itu, majlis ini harus dikendalikan sepenuhnya pengamal media atau persatuan media sedia ada bagi mengelak prasangka dalam masyarakat terhadap fungsi sebenar badan bebas itu.

Ia bagi memastikan badan pengawal selia media itu digerakkan berasaskan konsep dipacu industri dan bukan didorong haluan oleh kerajaan.

Kita tidak mahu masyarakat berasa media masih dikawal kerajaan. Mereka yang mengendalikan majlis adalah dalam kalangan komuniti wartawan.

Unit atau bahagian pengurusan pematuhan media juga perlu dibentuk menerusi majlis itu bagi mendengar rungutan berhubung laporan tidak seimbang atau berat sebelah.

Bagi menjaga integriti profesion kewartawanan, lebih baik kita membuat kawalan dalaman, berbanding dikawal dari luar.

Majlis Media juga boleh mengawal selia dan menetapkan peraturan supaya boleh dirujuk wartawan dan editor di bawah satu payung.

Penulis adalah Penganalisis Politik & Media Sosial, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

Berita Harian X