Selasa, 12 Mei 2020 | 11:01am
Gambar fail, pemandangan bandaraya Kuala Lumpur ketika tinjauan dari Bukit Tunku, kelihatan bebas dari pencemaran udara susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Tiga yang mengehadkan orang awam keluar dari rumah dengan tidak mengunakan kenderaan yang sebelum ini banyak membebaskan gas karbon dioksida . - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar fail, pemandangan bandaraya Kuala Lumpur ketika tinjauan dari Bukit Tunku, kelihatan bebas dari pencemaran udara susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Tiga yang mengehadkan orang awam keluar dari rumah dengan tidak mengunakan kenderaan yang sebelum ini banyak membebaskan gas karbon dioksida . - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tsunami COVID-19 pengaruhi landskap ekonomi negara

Perancangan dan pembangunan ekonomi Malaysia untuk tempoh 2021 hingga 2030 akan dipandu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

WKB adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia negara yang terus membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Dalam tempoh 2021 hingga 2030, matlamat dan sasaran WKB akan disokong dua pelan perancangan jangka masa sederhana iaitu Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) untuk tempoh 2021 hingga 2025 dan RMK-13 antara 2026 hingga 2030.

Pada awalnya, pelan RMKe-12 dirancang ketika 'tsunami' COVID-19 belum melanda Malaysia dan kebanyakan negara di dunia. Kenapa pandemik COVID-19 disamakan seperti tsunami?

Kehadirannya di Malaysia menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi lumpuh seketika selama sebulan setengah. Sektor ekonomi kini bangkit semula secara perlahan-lahan, tetapi amalan perniagaan tidak lagi sama seperti sebelum ini.

Ekonomi beroperasi dalam konteks normal baharu. Itu belum diambil kira impak ke atas negara lain yang mempengaruhi Malaysia.

Berikut saya berikan hanya empat hujah kenapa tsunami COVID-19 mempengaruhi perancangan ekonomi dalam tempoh RMKe-12.

Semua hujah ini dihurai secara ringkas saja. Perincian mengenainya boleh diperoleh daripada laporan penyelidikan oleh pelbagai agensi yang boleh diakses percuma secara dalam talian.

Pertama, pemulihan ekonomi memakan masa. Pemulihan perniagaan sesebuah syarikat tidak sama dengan pemulihan ekonomi sebuah negara.

Pemulihan ekonomi negara memakan tempoh masa lama bergantung bentuk krisis. Contohnya, krisis kewangan 1997/98 mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk dipulihkan.

Tsunami COVID-19 dijangka memerlukan masa lebih lama untuk dipulihkan kerana ia 'memukul' keseluruhan sektor ekonomi Malaysia dan keseluruhan ekonomi dunia. Struktur ekonomi perlu dibangunkan dan diperbetulkan, semua ini tidak boleh dilakukan dalam tempoh masa sehari, sebulan atau setahun.

Kedua, perubahan landskap ekonomi global. Malaysia sebuah negara kecil, terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Lebih 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijana aktiviti eksport.

Bagi kebanyakan negara yang berdagang, impak COVID-19 berkemungkinan menyebabkan peralihan hab rantaian nilai global dan pemerkasaan pengeluaran domestik. Jadi penumpuan eksport, arah dan struktur dagangan Malaysia sedia ada berkemungkinan besar akan terjejas.

Ketiga, perubahan struktur pasaran buruh sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Peningkatan penggunaan aplikasi digital contohnya mempengaruhi cara, tempat dan tempoh masa bekerja. Ini akan mempengaruhi struktur pengeluaran industri dan perniagaan.

Sejauh mana perubahan ini mempengaruhi produktiviti dan pendapatan masih belum jelas. Sumber penjanaan pendapatan rakyat juga akan berubah yang seterusnya akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi melalui perubahan corak perbelanjaan.

Keempat, gangguan sektor utama. Sebahagian sektor utama ekonomi negara terjejas teruk dan mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan. Contohnya sektor pelancongan.

Jika Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk sektor pelancongan dipulihkan, COVID-19 dijangka pulih sepenuhnya awal 2022, bergantung juga kepada keyakinan pelancong.

Perlu diingatkan sektor pelancongan juga antara penyumbang utama pertumbuhan sektor pertanian, pembuatan makanan dan minuman serta perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman.

Ringkasnya, pemulihan ekonomi pasca COVID-19 memakan masa bukan sehari, sebulan atau setahun. Struktur ekonomi sedia ada perlu dibangunkan dan diperkemaskan semula.

Semua ini akan memakan masa antara dua hingga tiga tahun dan pastinya akan mempengaruhi pelan pembangunan RMKe-12. Bukan itu saja, kemungkinan matlamat WKB juga akan tersasar jika langkah pemulihan ekonomi tidak dibuat secara tepat.

Analoginya mudah, kesakitan akibat pening kepala boleh dipulihkan dengan memakan paracetamol dan bukannya disapu dengan minyak gamat.

Penulis adalah Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X