Isnin, 27 April 2020 | 11:00am
Doktor estetik yang juga bekas Mrs Malaysia Universe 2018, Dr Felicia Soong (dua dari kanan) antara kumpulan pasukan sukarelawan coronavirus (COVID-19) di Unit Pekerjaan Keselamatan dan Kesihatan (OSH), Hospital Kuala Lumpur (HKL) sanggup tidak minum air selama empat jam ketika pertama kali menyarungkan peralatan perlindungan peribadi (PPE). - Foto ihsan Dr Felicia Soong
Doktor estetik yang juga bekas Mrs Malaysia Universe 2018, Dr Felicia Soong (dua dari kanan) antara kumpulan pasukan sukarelawan coronavirus (COVID-19) di Unit Pekerjaan Keselamatan dan Kesihatan (OSH), Hospital Kuala Lumpur (HKL) sanggup tidak minum air selama empat jam ketika pertama kali menyarungkan peralatan perlindungan peribadi (PPE). - Foto ihsan Dr Felicia Soong

Barisan hadapan tak gentar berdepan COVID-19

Ketika negara menghadapi cabaran besar menangani COVID-19, petugas kesihatan seperti doktor, jururawat, pegawai farmasi, ahli fisioterapis, juruteknologi makmal perubatan ialah hero barisan hadapan.

Mereka berkerja bertungkus-lumus dan ramai bekerja lebih masa kerana jumlah pesakit meningkat. Ada pula terpaksa berjauhan dengan suami, isteri dan keluarga kerana tidak dapat pulang bertemu.

Mereka juga terdedah kepada risiko mendapat jangkitan COVIC-19 dalam menjalankan tugas. Sudah tentu risiko ini amat menakutkan bagi masyarakat umum.

Bagaimana pula dalam kalangan profesional dan petugas perubatan serta kesihatan?

Satu kajian dalam talian dijalankan Pusat Pengurusan Penyelidikan, KPJ Healthcare Universiti College (KPJUC) bermula 13 hingga 20 April lalu.

Kajian diketuai Prof Madya Dr Norhayati Md Zain, mendapati rata-rata petugas perubatan dan kesihatan di negara kita tidak gentar untuk menjalankan tugas sebagai petugas barisan hadapan dalam menangani CPVID-19.

Kajian rambang dilakukan KPJUC ini mendapatkan maklum balas secara dalam talian daripada kalangan profesional dan pekerja perubatan serta kesihatan dengan mengajukan beberapa soalan mengenai kesiapsediaan mereka bertugas di barisan hadapan.

Seramai 293 responden memberi maklum balas. Mereka dalam kalangan doktor, jururawat, pegawai dan pembantu farmasi, fisioterapis, pembantu perubatan, juruteknologi makmal perubatan dan juru-X-ray dalam bilangan yang agak seimbang.

Kebanyakannya wanita, iaitu 81.6 peratus dan hanya 18.4 peratus dalam kalangan lelaki. Hampir 60 peratus responden ialah daripada petugas di hospital yang pernah atau sedang mengendalikan pesakit COVID-19. Malah, seramai 111 (37.9 peratus) responden pernah atau sedang mengendalikan pesakit COVID-19.

Apabila diajukan soalan sama ada mereka bersedia secara mental dan fizikal untuk bekerja dalam pengendalian pesakit COVID-19, 80.1 peratus memberi maklum balas positif dan bersedia jika ditempatkan di barisan hadapan.

Ada juga kurang pasti (13 peratus), tetapi hanya 18 orang (6 peratus) yang berasa tidak bersedia. Kesiapsediaan majoriti responden adalah petunjuk amat memberangsangkan.

Ini mungkin boleh diterjemahkan bahawa profesional dan pekerja perubatan dan kesihatan di negara ini mendapat pendidikan serta latihan terbaik dan berasa yakin dan bersiap sedia menjalankan tugas walaupun menghadapi risiko.

Ada kemungkinan juga keyakinan mereka disebabkan persiapan baik yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk persediaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk pekerja barisan hadapan yang mencukupi.

Bilangan pekerja kesihatan di negara ini yang dijangkiti COVID-19 amat rendah dibandingkan bilangan di sesetengah negara.

Di luar negara, kekurangan PPE menyebabkan pekerja kesihatan mendapat jangkitan dan terkorban. Ini sudah tentu akan menjadikan pekerja kesihatan mereka rasa ketakutan.

Dalam kajian ini, 81.6 peratus responden berpendapat hospital tempat mereka bekerja mampu untuk menyediakan PPE yang sempurna.

Walaupun majoriti bersedia untuk terus menghadapi tugas mencabar dan berisiko, sebagai manusia, perasaan takut dan khuatir tetap ada.

Hampir separuh responden (49.5 peratus) mempunyai perasaan takut untuk pergi ke tempat kerja, berbanding sebelum COVID-19. Namun, kebanyakan mereka (64.8 peratus) setuju peralatan PPE membuatkan mereka rasa lebih selamat.

Kekhuatiran utama yang dinyatakan 71 peratus responden ialah mereka khuatir akan menjadi individu yang akan menyebarkan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga.

Kesimpulannya hampir semua responden (95.9 peratus) tidak berasa menyesal dengan kerjaya mereka dan akan tetap menyarankan kerjaya perubatan dan kesihatan kepada pelajar yang sedang memilih kursus seperti ini untuk kerjaya mereka.

Sehingga kini nampaknya keberkesanan negara kita menangani COVID-19 ini adalah kerana adanya strategi berkesan dan kesiapsediaan yang dirancang KKM.

Pelaksanaannya memerlukan petugas perubatan dan kesihatan terlatih, gigih dan sedia berkhidmat walaupun menanggung risiko. Hasil kajian ini meningkatkan keyakinan kita bahawa petugas perubatan dan kesihatan negara ini mempunyai ciri-ciri sedemikian.

Penulis adalah Naib Canselor dan Dekan Fakulti Perubatan KPJ Healthcare University College, Niai

Berita Harian X