Isnin, 20 April 2020 | 11:00am

Lembaran baharu hubungan antara manusia, alam

MANUSIA sebahagian alam sekitar. Dalam ekosistem kehidupan manusia, kita tidak sahaja hidup bersama fauna dan flora boleh tampak, bahkan hidupan seni atau mikroorganisma tidak dapat dilihat mata kasar.

Kumpulan mikroorganisma ini ialah kelompok virus, bakteria, parasit dan fungus yang boleh memberi faedah atau mengakibatkan wabak serta jangkitan penyakit. Keseimbangan alam sekitar tercapai apabila komposisi mikroorganisma berada pada nisbah bersesuaian.

Ilmu kesihatan alam sekitar memberi kefahaman bagaimana alam sekitar boleh ‘mengganggu’ kesihatan dan membawa penyakit kepada manusia.

Setakat ini, saintis menganggarkan ada lebih 1 trilion spesies bakteria di muka bumi dengan 99 peratus belum dikenal pasti.

Hingga kini tiada siapa dapat memberi kepastian berapa banyak bilangan spesies mikroorganisma yang mengalami evolusi sejak kewujudan bumi lebih 4.5 bilion tahun lalu.

Gangguan keseimbangan ini selalunya mengakibatkan pelbagai bencana sama ada fizikal, kimia atau biologi dan memberi kesan kepada kesihatan manusia.

COVID-19 membuka lembaran baharu hubungan manusia dengan mikroorganisma daripada kelompok virus berbahaya.

Kelompok virus daripada keluarga corona ini ialah virus bersaiz besar menjangkiti mamalia dan burung dalam keadaan semula jadi.

Virus menggunakan perumah seperti haiwan dan manusia untuk bereplikasi sebelum dibebaskan ke alam sekitar dan wujud sebagai molekul protein bebas sebelum mendapat perumah baharu.

Saintis berpendapat virus corona baharu mengakibatkan wabak COVID-19 berasal daripada spesies kelawar, kemudian menjangkiti tenggiling sebelum bermutasi dan menjangkiti manusia.

Jangkitan manusia ke manusia pada penghujung 2019 dikatakan berasal dari pasar menjual haiwan liar di Wuhan, China.

Satu kes klasik membabitkan gangguan kepada alam sekitar berlaku ketika perang di Vietnam.

Pengeboman unit artilari dan udara Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan struktur tanah lapisan lembap di bahagian bawah dibalikkan ke bahagian atas menjadi lapisan humus.

Kejadian ini mengakibatkan pembebasan sejenis bakteria tanah, Burkholderia Pseudomallei, iaitu sejenis patogen mendiami bahagian bawah lapisan tanah.

Tentera AS yang meniarap dan bergerak secara merangkak untuk mengelakkan tembakan musuh selalunya mempunyai luka di anggota tubuh tidak menyedari bahaya bakteria ini.

Bakteria itu masuk melalui bukaan pada bahagian luka berkenaan ke dalam saluran darah dan mengakibatkan kejutan septik.

Bakteria itu kemudian mendiami bahagian paru-paru tentera ini dalam modus tidak aktif hingga usia mereka meningkat tua.

Pada usia ini, sistem ketahanan tubuh mereka mulai lemah dan bakteria itu mula aktif, bereplikasi dan mengakibatkan lesi pada bahagian paru-paru.

Bekas tentera dijangkiti meliodosis akan mengalami simptom seperti batuk berkahak, sakit dada, kesukaran bernafas, demam panas, sakit sendi dan kematian.

Disebabkan penyakit itu sangat jarang di AS, petugas perubatan tidak dapat membuat diagnosis penyakit tepat, sebaliknya menyangka ia penyakit batuk kering disebabkan bakteria Mycobacterium Tuberculosis.

Burkholderia Pseudomallei pula menyebabkan meliodosis ialah penyakit kronik biasa ditemui di Asia Tenggara, utara Australia dan negara beriklim tropika.

COVID-19 memberi pengajaran baharu kepada manusia. Hubungan kita dengan alam atau sesama manusia tidak sama seperti dahulu.

Saya yakin gaya hidup kita akan berubah, pelbagai kebiasaan baharu bakal muncul berkaitan penjagaan kesihatan dan penjarakan sosial.

Manusia lebih peka mengenai alam dan memberikan pengiktirafan sewajarnya, khususnya perkhidmatan asas alam sekitar yang menyediakan oksigen untuk bernafas dan air bersih untuk kesihatan.

Ahli Pasukan Bertindak, Kluster Tenaga, Air dan Alam Sekitar Akademi Profesor Negara

Berita Harian X