Khamis, 19 March 2020 | 10:10am
Apa pun bentuk dan cara pembangunan yang dilakukan, ia perlu dijalankan dengan mengambil kira pemuliharaan dan pelestarian. - Foto hiasan
Apa pun bentuk dan cara pembangunan yang dilakukan, ia perlu dijalankan dengan mengambil kira pemuliharaan dan pelestarian. - Foto hiasan

Melepaskan nilai 'terpenjara' Tanah Rezab Melayu melalui wakaf

TANAH rizab Melayu diperkenalkan British pada 1913 dengan penguatkuasaan Enakmen Rezab Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.

Sir Brockman yang mewakili British menyatakan tujuan enakmen itu untuk melindungi tanah milik Melayu daripada dijual kepada bukan Melayu.

Maklumlah pada waktu itu, pendatang yang mengusahakan bijih timah sudah kaya raya dan memiliki kuasa beli yang tinggi. Orang Melayu walaupun memiliki tanah, miskin dan mengusahakan pertanian kecil-kecilan. Mereka kaya harta, tetapi miskin tunai.

Menurut penulis buku Melayu dan Tanah, Ahmad Nazri Abdullah, apabila ada tawaran untuk membeli tanah dengan harga tinggi, orang Melayu teruja dan goyah. Semangat mempertahankan tanah punah.

Ada menjual tanah hanya untuk pergi menunaikan haji ke Makkah. Akhirnya, mereka bangga dengan panggilan ‘tuan haji’ biarpun sudah tidak bertanah lagi. Ada juga menjual tanah untuk mengadakan kenduri kahwin anak besar-besaran. Begitulah realiti ‘Melayu dan tanah’ ketika itu.

Sungguh licik British membentangkan usaha mereka yang nampak seperti benar-benar ingin melindungi dan membantu orang Melayu supaya mengekalkan hak milik tanah mereka.

Sebenarnya, mereka berhasrat mengekalkan orang Melayu dengan identiti pertanian kecil-kecilan supaya dapat membekalkan makanan dan sayur-sayuran secara berterusan kepada penduduk di bandar yang ketika itu kebanyakannya orang luar dan pendatang.

Ada pandangan mengatakan inilah cara British menjalankan tradisi ‘pecah dan perintah’ mereka di Tanah Melayu ketika itu, cara mentadbir sama seperti di India.

Kata Sir Robert Maxwell, British mesti memerintah Tanah Melayu seperti mereka memerintah India, tanpa mengganggu agama dan adat resam penduduk.

Kini selepas lebih 100 tahun, apakah sikap orang Melayu sudah berubah, apatah lagi sesudah hampir 38 peratus Tanah Rizab Melayu ditukar milik (dengan pelbagai cara) kepada orang lain dan dilaporkan hanya kira-kira 18 peratus tanah di negara kita dimiliki Melayu dan Bumiputera?

Bagaimanakah cara terbaik untuk membuka dan menambah nilai yang ‘terkunci’, mencairkan nilai yang ‘membeku’ dan melepaskan nilai tanah rizab Melayu yang ‘terpenjara’ sejak sekian lama?

Menurut Hernando de Soto, seorang pengkaji di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tanah pribumi mempunyai modal beku yang sukar untuk dicairkan. Proses pencairan atau pembangunan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi menambah nilai yang ‘terpenjara’ dan ‘membeku’ sekian lama.

Beliau merujuk halangan pembangunan dihadapi tanah Red Indian, Maori, Aborigin dan peribumi di seluruh dunia.

Profesor MacGregor, seorang pengkaji hartanah di Universiti Aberdeen di Scotland pula mengatakan antara punca menyebabkan tanah mundur adalah perundangan tanah.

Sesungguhnya sekatan kepentingan yang menghalang jual beli tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu mencetus halangan penawaran bagi tanah berkenaan. Sebenarnya, tanah boleh dimajukan tanpa jual beli, tetapi melalui cara pajakan.

Justeru, perundangan Enakmen Rezab Melayu perlu disemak, dipinda atau diharmonikan supaya yang beku dicairkan dan yang terpenjara dibebaskan.

Bagaimana untuk melakukannya? Apakah pilihan yang kita ada ? Saya merujuk pada keperluan untuk memajukan Tanah Rizab Melayu dengan cara ‘amalan terbaik’ yang dijalankan sejak dahulu di seluruh dunia.

Apa pun bentuk dan cara pembangunan yang dilakukan, ia perlu dijalankan dengan mengambil kira pemuliharaan dan pelestarian.

Justeru, saya merujuk Kanun Tanah Negara yang dikuatkuasakan pada 1965 yang memperuntukkan pemajuan berasaskan pajakan jangka panjang.

Pajakan secara ground rent atau peppercorn rent diperkenalkan di England beratus-ratus tahun dahulu. Ia berjaya menambah nilai tanah dengan memajukan tanah kosong dengan bangunan yang akan dikembalikan kepada pemilik asal tanah apabila pajakan panjang berakhir.

Pemilik asal memperoleh pulangan kewangan setiap tahun dan kepentingan hartanah tidak terlepas daripada tangan mereka.

Satu cara lagi adalah melalui cara wakaf. Sebenarnya banyak kaedah untuk memajukan tanah cara wakaf.

Wakaf digunakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebagai pemegang amanah tunggal bukan pemilik dengan usaha sama bank dan pemaju membangunkan Taman Wakaf Seetee Aisah.

Kaedah ini berjaya menyelesaikan masalah pewarisan dan pindah milik hartanah wakaf serta memberi pulangan dan manfaat besar kepada pewakif dan pewaris tanah.

Jelaslah wakaf satu pelaburan abadi. Wakaf dijalankan dengan sempurna bukan sahaja membawa manusia ‘bertaqarrub’ atau mendekatkan diri kepada Allah, malah menyelesaikan masalah pemilikan bertindih, kekurangan modal kewangan, risiko pembangunan dan sebagainya.

Bagi kaedah wakaf zurri pula, manfaat wakaf agihkan kepada semua pewaris sehingga hari kiamat.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X