Rabu, 26 Februari 2020 | 11:16am
Keperluan mewujudkan kerjasama antara kerajaan dan industri untuk pembelajaran berasaskan kerja untuk perintis di sektor terpilih. - Foto hiasan
Keperluan mewujudkan kerjasama antara kerajaan dan industri untuk pembelajaran berasaskan kerja untuk perintis di sektor terpilih. - Foto hiasan

Latihan industri berkonsep pembelajaran berasas kerja

Latihan industri antara keperluan proses pembelajaran berasaskan kejuruteraan dan teknikal. Bagi pelajar mengikuti jurusan ini, ia elemen terpenting dalam proses pembelajaran.

Kebanyakan universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini, biasanya menyediakan garis panduan atau peraturan akademik dalam soal penyeliaan serta pelaksanaan latihan industri berdasarkan Dasar Latihan Industri (DLI).

Latihan industri ialah program latihan wajib bagi tujuan pengijazahan semua pelajar peringkat pengajian tinggi. Selain, program profesional biasanya dikawal selia badan profesional menganugerahkan akreditasi seperti kejuruteraan, seni bina, ukuran bahan, penilaian, perakaunan dan undang-undang.

Isu yang banyak diperkatakan ialah pihak industri lebih berminat dan berkeperluan mengambil pelajar berkemahiran dan keterampilan kejuruteraan atau teknikal. Maka, kewujudan program berasaskan pembelajaran berasaskan kerja sewajarnya perlu mengambil tempat model latihan industri yang sekian lama dilaksanakan.

Konsep pembelajaran berasaskan kerja (WBL) ialah gabungan latihan tempat kerja dengan pembelajaran berasaskan kelas bertujuan mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dengan menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengalaman praktikal.

Konsep ini antara cara menghasilkan pekerja mahir, iaitu dengan melatih pelajar di tempat kerja yang mereka mendapat pengetahuan dan kemahiran praktikal. Program latihan seperti ini akan lebih berkesan jika WBL dan pembelajaran luar kerja berstruktur dalam suasana bilik darjah dapat digabungkan.

Ia merujuk kepada semua bentuk pembelajaran, dari awal dan berterusan dalam persekitaran dunia nyata. Ia menyediakan individu dengan kemahiran diperlukan untuk kerjaya pada masa akan datang. Semua persediaan pembelajaran berasaskan kerja berkongsi dua ciri, iaitu hubungan langsung antara majikan dan pelajar serta elemen pembelajaran di tempat kerja

Menurut pakar, WBL dapat dilaksanakan dengan kaedah formal dan berstruktur tetapi tiada pengiktirafan serta perintisan tidak bermaklumat.

Kaedah formal ini sangat dikawal. Secara umumnya, kurikulum latihan berasaskan satu rangka pelaksanaan yang ditetapkan mengikut persetujuan. Majikan mempunyai kawalan terhad terhadap pelatih dalam menentukan kurikulum latihan sepanjang program latihan. Latihan biasanya memberi tumpuan kepada tempat kerja bersaiz sederhana dan besar.

Pihak berkepentingan lain (institusi pelajar berkenaan) akan menyediakan penilaian latihan dan perkhidmatan pensijilan di luar pekerjaan, manakala dana latihan perlu dikongsi bersama selain daripada sumbangan majikan.

Program WBL perlu mematuhi piawaian kebangsaan termasuk kemahiran teras dan teknikal. Selain, pihak kerajaan dengan kerjasama majikan perlu memastikan latihan diberi memenuhi tahap standard kemahiran kebangsaan. Ini memudahkan pelatih dapat terus berkerja di tempat latihan atau di tempat lain.

Di negara ini, latihan melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) menggunakan model seumpama ini dengan beberapa perbezaan kecil seperti kawalan atau seliaan.

Program berstruktur, tetapi tiada pengiktirafan, bermaksud pelajar tidak mendapat sebarang pengiktirafan standard dari badan profesional. Latihan dijalankan dalam industri yang memberi latihan berkenaan yang juga tempat pelatih berkerja.

Majikan mempunyai kawalan penuh atas latihan diberi. Namun, majikan boleh menerima atau meminta bantuan pakar atau institusi berkaitan bagi tujuan kawalan standard atau memberi latihan selanjutnya. Pelatih menerima bayaran upah, tetapi tidak sepenuhnya seperti pekerja mahir biasa.

Bagi keperluan latihan asas di luar industri, pelatih mungkin perlu membiayainya sendiri atau menerima bantuan kerajaan dan majikan yang memberi latihan berkenaan. Program seumpama ini boleh menjadikan pelatih lebih produktif tetapi kelemahannya ialah pengurusan pengiktirafan kemahiran kadang-kala sukar.

Di negara ini, masalah dapat diatasi dengan sistem atau program pengiktirafan pengalaman terdahulu oleh kementerian berkaitan.

Perintisan tidak bermaklumat ialah kaedah latihan ketiga yang pelatih akan memasuki alam pekerjaan selepas tamat sekolah atau gagal menamatkan persekolahan. Biasanya membabitkan majikan tidak terkawal dan perusahaan berbentuk mikro atau kecil.

Kemahiran tinggi tidak diperlukan, malah pelatih sendiri tidak mahir membaca, menulis atau pencapaian akademik yang lemah. Pelatih awalnya mungkin pekerja kontrak atau jangka pendek. Kadangkala berpindah kerja. Dari tidak tahu asas kerja teknikal atau kejuruteraan namun dengan berkat berusaha, rajin, ingin tahu dan memikirkan masa depan.

Perintis akhirnya menjadi mahir dalam bidang diceburi tetapi maklumat latihannya tidak dapat disenaraikan untuk pengiktirafan. Namun perintisan seumpama ini masih ada ruang untuk pengiktirafan ke atas pengalaman lalu oleh kerajaan melalui kementerian mengawalnya.

Kesimpulan WBL banyak memberi ruang dan faedah pembaharuan untuk Dual Language Program (DLP) pusat pengajian. Ia dapat membuka pelbagai komponen sistem latihan rasmi kepada institusi dan majikan swasta. Contohnya, membenarkan pelatih tempat kerja menghadiri kursus dijalankan kerajaan dan kursus dalam perkhidmatan untuk pembimbing dan penilai.

Keperluan mewujudkan kerjasama antara kerajaan dan industri untuk pembelajaran berasaskan kerja untuk perintis di sektor terpilih. Kerjasama sedemikian dapat membantu sektor keutamaan berkaitan dengan ekonomi dan keperluan industri negara.

Kaedah persijilan dan pengiktirafan berganda dapat dilaksanakan. Gabungan majikan yang ternama boleh membantu pemasaran sosial, pembangunan kurikulum, reka bentuk rancangan latihan, kawalan dan penilaian pelatih.

Galakan dan sokongan kepada institusi latihan awam dan swasta supaya lebih banyak program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bentuk combine on and off the job training dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat banyak terhadap program seumpamanya.

Penulis adalah Alumni Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

Berita Harian X