Rabu, 12 Februari 2020 | 11:01am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Letusan maklumat tak sahih uji kebergantungan media sosial

Syarikat media sosial sekian lama dikritik kerana membenarkan penyebaran maklumat salah di platform masing-masing, malah dikatakan gagal mencari algoritma untuk memantau berita palsu.

Terbaru, ledakan pelbagai maklumat melalui platform media sosial susulan kemunculan coronavirus (2019-nCOV), meletakkan syarikat media sosial utama pada fasa ujian berat.

Masing-masing cuba mengatasi lambakan kritikan bahawa platform mereka sudah beralih landasan kepada penyebaran maklumat palsu dan berunsur ketakutan yang menggugat kebimbangan masyarakat dunia terhadap virus berkenaan.

Twitter misalnya melihat lebih 15 juta ciapan mengenai coronavirus dalam tempoh empat minggu ini dan trend ini dijangka berterusan. Facebook pula mempunyai kira-kira 2.5 bilion pengguna bulanan, selain gabungan 2.9 bilion pengguna aktif bulanan di seluruh aplikasi lain seperti WhatsApp dan Instagram. Jadi, impak maklumat tersebar berkenaan virus ini melalui semua platform media sosial amat jelas.

Benar syarikat media sosial menggunakan taktik pemeriksa fakta dan pengulas dibayar untuk membebaskan mereka daripada tuntutan palsu, namun keberkesanan dasarnya masih dipersoalkan.

Tidak hairanlah Twitter dan Google meningkatkan usaha membimbing pengguna mereka untuk mengesahkan sesuatu sumber berhubung virus ini.

Google sebagai contoh, mengambil pendekatan menerima maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), termasuk butiran mengenai bagaimana virus itu ditularkan dan langkah berjaga-jaga yang dapat diambil orang awam seperti tip mencuci tangan dan mengelak berjabat tangan.

Mereka juga giat mencari pelbagai teori konspirasi coronavirus yang muncul di agensi berita yang membongkar tuntutan tidak boleh dipercayai seperti Infowars dan ZeroHedge.

Google juga mengumumkan apabila netizen mencari maklumat mengenai coronavirus, ia secara automatik akan mendapat notis khas dikemas kini WHO. Ini satu usaha terbaik hasil kerjasama syarikat gergasi media sosial itu dan badan kesihatan antarabangsa.

YouTube pula mempromosikan video daripada sumber boleh dipercayai apabila netizen melakukan carian mengenai klip video berkaitan virus ini.

Syarikat itu menasihati netizen melayari kandungan maklumat daripada pengguna yang boleh dipercayai saja seperti badan penguat kuasa kesihatan, pakar kesihatan awam, atau badan rasmi yang mencadangkan video harus ditonton.

Di pihak Twitter, langkah diambil untuk benar-benar meletakkan maklumat perubatan boleh dipercayai di tangan pengguna. Sesiapa yang mencari ‘coronavirus’ atau ‘Wuhan’ melalui Twitter akan dipenuhi mesej menggalakkan mereka mengetahui fakta, dengan pautan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan dan platform mengutamakan pihak berkuasa kesihatan negara.

Twitter juga mendorong netizen yang mencari informasi coronavirus buat kali pertama, perlu melawat saluran maklumat rasmi mengenai penyakit ini. Di Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh, Twitter mengarahkan netizen ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, di bawah tajuk ‘Ketahuilah fakta-fakta’.

Kempen ini dijalankan bukan saja di AS, tetapi United Kingdom, Hong Kong, Singapura dan Australia, malah akan terus berkembang.

Namun, kejutan terbesar adalah daripada Facebook, melalui strategi membuat pelabelan terhadap kandungan mengelirukan, selain menghapusnya. Kali ini, ia mengehadkan pengedaran maklumat palsu oleh pihak ketiga dan menggunakan balai berita sebagai hab informasi untuk pengguna laman web.

Facebook juga memberi kredit pengiklanan percuma kepada organisasi yang menjalankan kempen pendidikan coronavirus dan menambahkan laman sumber menyenaraikan kepalsuan. Pemeriksa faktanya juga dikerah menilai maklumat dikongsi dalam suapan berita, mengehadkan maklumat yang dianggap tidak tepat atau salah.

Namun, dua hits teratas untuk coronavirus di Facebook adalah grup private, yang memerlukan kelulusan untuk menyertai. Kumpulan ini berleluasa dengan video tidak disahkan, teori konspirasi dan mewujudkan panik umum.

Ringkasnya, penerbitan berita palsu terbaru ini menunjukkan betapa rumitnya menangani maklumat salah di dalam talian, tetapi ia juga menunjukkan bahawa strategi tertentu lebih berkesan daripada yang lain.

Facebook dan Twitter terus menjadi platform subur untuk penyebaran teori konspirasi dan maklumat yang tidak baik serta terus menjadi inkubator utama untuk teori konspirasi yang baharu.

Cabaran dan langkah proaktif media sosial terhadap virus ini bukan saja dapat memperlahankan virus, tetapi juga melambatkan kadar orang ramai hilang kepercayaan dalam industri.

Maka, digalakkan netizen mendapatkan maklumat sahih berhubung coronavirus ini dan mengelak menyebarkan berita palsu sekiranya tidak mengetahui fakta yang sahih.

Penulis adalah Penganalisis Politik & Media Sosial, Fakulti Komuikasi & Pengajian Media, UiTM Shah Alam

Berita Harian X