Isnin, 3 Februari 2020 | 11:01am

Universiti: Antara kejar ranking dunia, bangunkan anak watan

Di sesetengah universiti, ilmuwan masih berdebat mengenai kaedah terbaik mengukur kecemerlangan tugas dan sumbangan mereka. Wujud dua pendapat berbeza.

Pertama, kecemerlangan ilmuwan universiti diukur pada pencapaian menguasai kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu diiktiraf skema penilaian antarabangsa. Pendapat kedua, ukuran kecemerlangan hendaklah diukur berpandukan sumbangan ilmuwan terhadap pembangunan anak watan.

Perdebatan dua pandangan itu berpunca perbezaan perspektif terhadap idea dan fungsi universiti dalam kehidupan. Bagi kumpulan pertama, universiti ialah satu jenis entiti dalam dunia industri yang kompleks hari ini.

Globalisasi menjadi faktor idea ini menyatakan sesebuah universiti mesti meningkatkan daya kebersaingan bagi membolehkannya terzahir sebagai entiti releven dalam dunia persaingan global. Dalam erti kata lain, kerelevanan sesebuah universiti diukur sejauh mana ia diperakui dan diiktiraf entiti pesaingnya.

Tanpa pengiktirafan masyarakat global, universiti ibarat sekadar wujud tetapi fungsinya tidak lagi bermakna. Idea universiti sebagai entiti bersaing di dunia industri dikritik kerana dilihat tergelincir daripada falsafah kewujudan universiti dalam masyarakat.

Bagi kelompok kedua, universiti tidak perlu terbabit dalam dunia persaingan global. Ia hendaklah berfungsi sebagai sekolah besar atau madrasah awam bagi menjayakan peranan kependidikannya membina anak watan. Universiti ialah institusi milik masyarakat dan negara berperanan menerapkan pengetahuan, menanam nilai luhur dan membina budaya serta semangat patriotik.

Sebagai institusi milik watan, kecemerlangannya diukur sejauh mana ia berupaya melahirkan negarawan cekap, berakhlak mulia dan berketerampilan untuk mendepani cabaran semasa. Universiti sebagai institusi tidak perlu bersaing, sebaliknya graduan dilahirkannya yang dikehendaki bersaing.

Idea ini menegaskan universiti bertanggungjawab terhadap watannya dan bukan memburu pengiktirafan masyarakat dunia.

Pertembungan idea mengenai universiti mempengaruhi pembangunan kaedah mengukur kecemerlangan ilmuwannya. Bagi yang menganut idea universiti sebagai entiti persaingan, ilmuwan dikehendaki memberikan seluruh masa dan tenaga bagi memastikan universiti memperoleh perakuan serta pengiktirafan global.

Universiti terbabit dalam persaingan akan berusaha sedaya mungkin mencapai darjah pengiktirafan pada tingkat tertinggi. Ada skema ukuran yang ditentukan pada peringkat global bagi menilai pencapaian sesebuah universiti.

Skema itu mengandungi sejumlah set kriteria pencapaian dan pada setiap kriteria pula akan ditentukan nilainya bagi memudahkan kiraan dan ukuran pencapaian.

Set kriteria pencapaian menjadi kayu ukur bagi kecemerlangan sesebuah universiti. Bagi mencapai penilaian tertinggi, setiap ilmuwan universiti diberikan set kriteria mesti dicapai pada peringkat individu. Set pencapaian setiap individu itu akan dikumpul dan dihitung secara tahunan. Jumlah markah dikumpul seseorang ilmuwan daripada set penilaian yang ditentukan, menjadi kayu ukur pencapaian kecemerlangan dan sumbangan mereka terhadap kemajuan universiti di dunia persaingan globalnya.

Kelompok kedua mendokong idea universiti sebagai sekolah besar milik watan tidak mempersoalkan kepentingan set ukuran pencapaian warga universiti. Namun, mereka mengkritik kandungan set kriteria digunakan bagi menilai dan mengukur sumbangan ilmuwan universiti.

Mereka menganjurkan set kriteria ukuran kecemerlangan hendaklah dipandu tanggungjawab dan fungsi universiti terhadap watannya, terutama membangun budaya ilmu masyarakat awam dan pengukuhan bahasa kebangsaan. Set kriteria itu hendaklah tidak dipengaruhi tuntutan dan kehendak persaingan global yang mempunyai tujuannya tersendiri.

Pemikiran kedua mendapati kriteria persaingan global sekiranya diadaptasi sepenuhnya universiti tempatan akan merencatkan idea dan fungsi sebenarnya sebagai institusi pembina anak watan. Kriteria persaingan global akan mendorong ilmuwannya mengabaikan idea besar seperti ‘universiti untuk masyarakat’. Dalam kebanyakan kriteria persaingan global, nilai bagi mengukur sumbangan dan pembabitan ilmuwan dalam pembangunan watan tidak mendapat kedudukan dan perhatian.

Menerusi kriteria persaingan global, ukuran kecemerlangan dipandu oleh keupayaan ilmuwannya menghasilkan bahan penyelidikan berimpak tinggi yang dinilai masyarakat antarabangsa. Untuk itu, karya dalam bahasa antarabangsa oleh ilmuwan akan mendapat keutamaan universiti.

Kelihatan impak persaingan kini memberi kesan langsung kepada ilmuwan universiti hari ini. Mereka seperti tiada jalan lain kecuali berdepan tuntutan zaman. Namun, menyertai dunia persaingan global mengundang dilema kepada ilmuwan berjiwa watan.

Ia umpama peribahasa, ditelan mati emak, diluah mati bapa, iaitu antara kewajipan terhadap watan dengan cita-cita mencapai keunggulan global. Ilmuwan hanya mengharapkan tidak terjadi fenomena ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’ dalam pendidikan tinggi negara kita hari ini.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X