Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:01am
- Foto hiasan

Pengundi kita masih cenderung pilih parti

PILIH calon atau parti? Itu soalan lazim setiap kali berlangsung pilihan raya, sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK). Jika ditanya kepada kita, apa jawapan yang ada? Adakah sama seperti A yang memilih parti walaupun calonnya kurang menyengat, jauh sekali menepati kriteria seorang calon boleh menang.

Atau adakah kita mencontohi B yang begitu menitikberatkan kualiti calon, memilih individu yang dirasakan mampu mengubah dinamika politik, meskipun datang daripada parti kurang berpengalaman mentadbir negara.

Mengambil kira cita rasa pengundi, pelbagai telahan boleh dibuat, tidak ketinggalan andaian keputusan di peti undi pastinya dipengaruhi kekuatan sesebuah parti, bukan calon. Persepsi itu dikuatkan lagi dengan perkembangan politik mutakhir ini yang menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau lebih khususnya UMNO/PAS.

Umum mengetahui UMNO dan PAS, dua parti mewakili masyarakat Melayu, mengukuhkan kerjasama menerusi pemeteraian piagam penyatuan ummah pada 14 September lalu. Dalam rancak memperkatakan mengenai apa, siapa dan bagaimana pola pengundian terbentuk, harus difahami bahawa realiti politik Malaysia menunjukkan parti masih lagi dominan dalam penentuan undi ketika calon hanya berfungsi sebagai nilai tambah.

Membicarakan untung nasib wakil rakyat yang ‘berpaling tadah’, dikatakan jika mereka bertanding semula, hasilnya pasti kecundang. Itu analogi diutarakan Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Individu semata-mata tak mampu membuat apa-apa untuk rakyat. Dukungan parti dalam menentukan hala tuju dan dasar serta khidmat kepada rakyat tidak dapat dinafikan,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Dapatan kajian ‘Pendekatan Teori Kelakuan Pengundi dan Pilihan Politik di Kawasan DUN Jelawat, Bachok, Kelantan’ menunjukkan asas pemilihan kepada parti politik pada pilihan raya ialah pilihan rasional.

Kajian oleh Junaidi Awang Besar, Mazlan Ali, Novel Lyndon dan Ahmad Afif Zulkipli dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu mendapati pengundi mempunyai kuasa tawar-menawar iaitu mereka akan menyokong parti yang dapat memberikan sesuatu atau bermanfaat kepada mereka terutama faedah materialistik atau kebendaan.

“Dengan itu, parti yang mempunyai dana yang banyak di samping mempunyai pengalaman dalam memerintah akan dipilih oleh responden yang berfikiran sedemikian. Namun, ada segelintir responden yang memilih parti politik berdasarkan kepada identifikasi parti atau ideologi parti,” menurut kajian itu.

Kajian itu turut merumuskan responden yang menyokong PAS berpegang teguh kepada asas perjuangan agama Islam dan patuh kepada kepemimpinan PAS. Mereka bukan menyokong sesuatu parti berdasarkan kebendaan sebagai pulangan, tetapi lebih kepada aspek kerohanian di samping menjadikan agama sebagai asas perjuangan parti.

Mengambil contoh PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor yang bakal berlangsung 16 November ini, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan menegaskan persaingan di kerusi itu menjurus kepada pertembungan parti, sekali gus kriteria calon tidak banyak memberi kesan kepada pilihan pengundi.

“Pemilihan kepada faktor parti bergantung kepada senario politik semasa. Ketika ini gabungan UMNO dan PAS cuba memberi gambaran mereka lebih baik dalam mengurus negara berbanding PH,” katanya yang melihat parti mengambil sikap berhati-hati dalam mengemukakan calon khususnya calon muda yang kurang berpengalaman.

Mengambil kira perspektif berkenaan, parti dikatakan memainkan peranan lebih besar berbanding calon dalam menentukan sokongan pengundi. Andaian turut dibuat jika ada calon berpengalaman, dikenali ramai terutama dalam kalangan masyarakat setempat cuba menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas atau dari parti selain PH atau BN, agak sukar untuk calon meraih undi.

Berbeza buat pemimpin veteran apabila mereka menyatakan pengundi bukan saja memilih atas dasar parti semata-mata, sebaliknya calon turut memainkan peranan dalam penentuan kalah menang. Anak tempatan, muda dan berpendidikan antara asas utama digariskan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub dalam memilih calon boleh menang.

Mengungkap kembali kata-kata seorang pelakon, pelawak Amerika Syarikat, Will Rogers - politik itu mahal, bahkan untuk tewas pun kita harus mengeluarkan banyak wang’, (politics has become so expensive that it takes a lot of money even to be defeated).

Ada baiknya jika kita mampu memilih seperti C. Mengundi calon yang memenuhi kriteria pemimpin berkualiti. Paling utama dari parti yang terbukti membawa kemajuan kepada bangsa dan negara. Calon dan parti, dua perkara yang ditimbang secara sama rata.

Penulis khas Meja Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X