Isnin, 21 Oktober 2019 | 11:02am
PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal

Subahan diharap tidak buat pusingan 'U'

NOVEMBER ini menjadi detik cukup penting untuk skuad hoki lelaki negara kerana ia akan menjadi bulan yang akan direkod dalam sejarah, sama ada pasukan negara layak beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 atau sebaliknya.

Segala-galanya akan terjawab pada 2 dan 3 November ini di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley di London apabila skuad negara bimbingan Roelant Oltmans bakal bertemu pasukan pilihan, Britain pada playoff kelayakan ke Olimpik.

Hanya satu tiket menjadi rebutan, iaitu untuk pemenang dan skuad negara juga cukup berkobar untuk memenuhi impian seluruh rakyat Malaysia. Andai gagal ke Olimpik, maka genap 20 tahun Malaysian Tigers gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak kali terakhir di Sydney 2000.

Jika berjaya, sudah pasti Malaysia akan meraikan kejayaan cukup bermakna. November juga akan menjadi detik penting kepada kepemimpinan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana pada 16 November, iaitu 13 hari selepas berlangsungnya kempen kelayakan, badan induk itu akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).


TIMBALAN Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala.

AGM itu akan mempunyai pemilihan tampuk kepemimpinan baharu untuk kitaran empat tahun mendatang. Menariknya, AGM itu ada berkait dengan keputusan di London apabila Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berulang kali menegaskan tidak akan mempertahankan jawatannya sekiranya skuad negara gagal ke Olimpik.

Yang turut senada dengan Subahan adalah Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala juga tidak mahu menggalas tugas itu sepenggal lagi andai anak buah Oltmans tidak ke Tokyo. Keputusan kedua-dua kepemimpinan MHC itu harus dihormati kerana mereka bersikap berani dan terbuka melepaskan kerusi yang cukup penting kerana tidak ramai pemimpin mempunyai prinsip seperti itu.

Pastinya kedua-duanya bakal mengotakan janji masing-masing dan sama sekali tidak mengubah pendirian kembali bertanding andai Malaysia gagal ke Olimpik. Janji adalah ikrar dan tidak boleh dikhianati.

Kalau dikhianati maka hilanglah kredibiliti. Kembali kepada skuad negara, teruslah berusaha sebaik mungkin kerana baik menang atau kalah, anda tetap wira kami semua.

Penulis adalah wartawan Sukan Berita Harian

Berita Harian X