Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:51am

Strategi gabung parti berasas kaum tidak sihat

Penafian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai pembabitan beliau dalam kempen membawa UMNO dan PAS menyertai Pakatan Harapan (PH) tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) masih meninggalkan seribu satu tanda tanya.

Kata pepatah, takkan pokok bergoyang jika tiada angin. Benarkah wujud kempen sedemikian? Jika benar, siapakah di belakang kempen itu dan bolehkah budaya politik sedemikian diterima. PH sejak awal lagi menolak politik sedemikian yang dilihat cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

Semua Setiausaha Agung parti politik dalam PH turut melabelkan langkah itu sebagai amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH. Dalam konteks yang lain, kempen itu dilihat sebagai strategi pembangkang untuk memperlihatkan parti dalam PH bermasalah.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan percaya kempen itu adalah satu bentuk strategi perang saraf dalam usaha untuk tidak menstabilkan PH yang kini juga menghadapi tekanan pertelingkahan dalaman.

Apa pun jika dilihat dari sudut pentadbiran negara, politik perkauman sesuatu yang amat bertentangan dengan semangat perpaduan kaum yang dilaungkan selama ini. Mana mungkin, selepas lebih 60 tahun merdeka, politik sedemikian mahu dimainkan untuk mendapat sokongan satu kelompok masyarakat.

Seperti dikatakan PH, ia satu strategi politik usang, maka jika ia diteruskan kesannya sangat tidak baik kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Namun, Azmi percaya langkah mengetepikan DAP dan AMANAH dalam membentuk kerajaan adalah tidak baik kerana strategi tanpa DAP adalah usaha menyisihkan masyarakat Cina. Menyisihkan AMANAH pula adalah tindakan sementara kerana parti itu seteru ketat PAS.

“Perkara ini tidak pernah dilakukan Barisan Nasional (BN) kerana tanggungjawab mengurus negara tidak pernah menyisihkan kelompok tertentu,” katanya.

Azmi menegaskan kerajaan yang terdiri daripada UMNO, PAS, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan mungkin PKR dilihat hanya merangkumi satu kelompok dan komposisi kaum yang tidak akan berjaya dalam mengurus masyarakat dan negara seperti Malaysia.

Perkara sama diakui Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose yang melihat pembentukan kerajaan daripada politik perkauman boleh mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Kepercayaan bahawa Malaysia boleh diuruskan tanpa penyertaan kelompok tertentu sangat tidak sihat kerana pembangunan Malaysia hari ini adalah kerana pengurusan secara bersama sejak merdeka. Jika diimbas sejarah penubuhan negara ini, asas perpaduan menjadi dasar negara ketika mahu menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Al-Haj yang ketika itu Presiden UMNO mewujudkan kerjasama dengan MCA dan MIC kerana percaya hanya melalui perpaduan kaum kemerdekaan negara dapat dicapai.

Inisiatif beliau dalam mewujudkan parti gabungan iaitu Parti Perikatan yang menggunakan lambang ‘kapal layar’ pada masa itu, berjaya menyatukan kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

Justeru, apa perlunya dijalankan kempen penggabungan parti Melayu dengan menolak penyertaan DAP parti berasaskan orang Cina walaupun ia parti yang kini disertai pelbagai kaum. Penyatuan parti politik berasaskan kaum juga bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menyatukan semua etnik di bawah satu payung yang dikenali sebagai bangsa Malaysia.

Apa yang dihasratkan melalui bangsa Malaysia ialah setiap individu akan mempunyai rasa kepunyaan sebagai bangsa dalam sebuah negara, iaitu bangsa Malaysia dengan tidak meletakkan identiti diri mengikut ras.

Bagaimana pula dari sudut pandang perlembagaan negara? Adakah dibenarkan pentadbiran negara oleh satu kaum sahaja?

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata dalam Perlembagaan tidak dinyatakan pentadbiran negara perlu diurus satu kaum atau perlu penyertaan semua kaum.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi jemaah menteri dengan syarat mereka ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Perdana Menteri pula perlukan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Namun, dalam konteks lebih luas, Kabinet masih memerlukan penyertaan orang Cina, terutama berkaitan dengan hal ehwal kaum berkenaan. Menidakkan wakil masyarakat Cina dalam kerajaan hanya melebarkan jurang ketidaksefahaman antara kaum dan sangat bahaya serta berisiko menggugat keharmonian negara.

Perlu diingat, ada kala dalam negara berbilang bangsa dan agama, sesuatu isu mengenai hak satu-satu kaum itu tidak boleh diterjemahkan sebagai perkauman atau berpuak-puak jika ia tidak mengganggu hak orang lain.

Perkauman itu berlaku apabila satu kaum lain mengambil hak satu kaum atau menolak hak satu kaum lain. Dalam sebuah negara yang mempunyai berbilang kaum ini, isu dan politik perkauman ini perlu diselesaikan dan ditangani dengan berhati-hati dan cermat. Isu ini umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Penulis adalah wartawan Meja Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X