Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:00am
Masalah parkir di hospital kian kritikal. - NSTP/Ramdzan Masiam

Masalah parkir di hospital semakin kritikal

Hanya sekadar lima minit untuk menemui doktor, pesakit terpaksa beratur panjang untuk mengambil nombor dan menunggu giliran hampir sejam. Lebih mengecewakan apabila kembali ke kereta didapati kertas saman sudah dilekatkan oleh pihak berkuasa di cermin hadapan, gara-gara meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Itulah situasi yang terpaksa dialami orang ramai yang berurusan di beberapa hospital di sekitar Lembah Klang, iaitu kekurangan tempat meletakkan kenderaan.

Antara paling kritikal ialah Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Kajang, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan Hospital Putrajaya.

Peningkatan jumlah pesakit yang rata-ratanya mendiami taman perumahan sekitarnya bagi mendapatkan rawatan, menjadikan kawasan berkenaan semakin sesak. Bukan tiada tempat meletakkan kenderaan di hospital berkenaan, namun ia tidak mencukupi.

Ditambah pula, ramai kakitangan memandu sendiri kenderaan menyebabkan jumlah parkir semakin berkurangan. Mahu tidak mahu, pengguna tiada pilihan terpaksa meletakkan kenderaan mereka di sepanjang bahu jalan, walaupun mengetahui perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Mereka boleh dikenakan saman mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna jalan yang lain atau kepada lalu lintas.

Di bawah Seksyen 48(1) APJ 1987, mana-mana pemandu yang meletakkan kenderaan mereka dengan cara yang menyusahkan orang lain atau yang menghalang pengguna lain melakukan satu kesalahan boleh dihukum denda sekurang-kurangnya RM1,000 dan/atau penjara sekurang-kurangnya satu tahun.

Kekurangan tempat letak kereta di hospital ini pernah dialami Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh agak lama dan sering menyusahkan pengguna apabila kenderaan mereka ditarik pihak berkuasa tempatan atau disaman polis trafik.

Akhirnya masalah kekurangan tempat letak kenderaan di HKL berjaya diatasi dengan terbinanya tempat letak kenderaan tujuh tingkat di hospital pada 2015. Pengguna bersedia membayar caj untuk kemudahan itu, tetapi tidak kepada saman yang dikenakan serta upah tarik kenderaan oleh pihak berkuasa.

Justeru, sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan Malaysia memikirkan kemudahan berkenaan di semua hospital kerajaan di seluruh negara.

Bagaimanapun, tumpuan terpaksa diberikan kepada hospital di sekitar Lembah Klang kerana dijadikan pusat rawatan beberapa penyakit kronik, menyebabkan ia menjadi tumpuan.

Bukan keuntungan untuk difikirkan, sebaliknya kemudahan pengguna serta keselamatan kenderaan daripada aktiviti vandalisme atau kecurian. Tidak rugi pun Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan ini kerana akhirnya mampu meningkatkan imejnya sendiri, selain daripada menawarkan perkhidmatan perubatan bermutu untuk rakyat.

Penulis adalah wartawan Meja Wanita & Gaya Hidup Berita Harian

Berita Harian X