Khamis, 17 Oktober 2019 | 11:17am
Munshi Abdullah dalam buku Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke-19.

Naratif Melayu malas kritik sikap, bukan kaum

Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan malas bermaksud tidak mahu berbuat sesuatu, segan atau enggan berbuat sesuatu. Malas atau berat tulang sering kali dikaitkan dengan sikap orang Melayu yang mewakili lebih 60 peratus daripada 32.6 juta penduduk di negara ini.

Benarkah orang Melayu malas? Kajian Mohd Alif Sapri dari Universiti Pendidikan Sultan Idris mengatakan Munshi Abdullah dalam buku Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke-19.

Munshi Abdullah dikatakan menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas, kurangnya ilmu pengetahuan, cara hidup, sehingga episod perpecahan dalam kalangan mereka. Naratif Melayu malas yang dibangkitkan sejak sekian lama kembali dihangatkan pada Kongres Maruah Melayu yang berlangsung 6 Oktober lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan isu berkenaan.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan masyarakat Melayu tidak sanggup membuat kerja berat dan kasar kerana berasa ia pekerjaan hina serta berpendapatan kecil.

Ucapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kembali menjadi perdebatan dan polemik khususnya dalam kalangan pejuang bangsa di negara ini. Tidak ketinggalan reaksi kelompok yang sekadar menjadi ‘nasi tambah’, cuba menidakkan hal itu dengan 1001 alasan.

Begitupun seorang tokoh budayawan, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling melihat pendirian Dr Mahathir itu dari sudut positif sebagai dorongan dan inspirasi dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat Melayu.

Niat Perdana Menteri itu wajar difahami sebagai hasrat untuk melihat orang Melayu sentiasa berlumba meraih kemajuan dengan mengoptimumkan peluang dan bantuan. Orang Melayu perlu meyakini kredibiliti Dr Mahathir sebagai pemimpin yang mempunyai niat murni serta asas yang jelas apabila mengutarakan isu Melayu malas demi melihat kemajuan bangsanya.

Bagaimanapun, secara peribadi Zainal yang juga Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu tidak melihat orang Melayu sebagai pemalas, sebaliknya beranggapan kemajuan dicapai bangsa itu berlaku secara beransur-ansur dan perlahan, sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

Tidak mustahil jika gagal bertindak lebih proaktif atau sekurang-kurangnya setaraf bangsa lain, orang Melayu akan terus ketinggalan, sekali gus terpinggir daripada arus pemodenan teknologi.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menerusi twitternya meminta naratif Melayu malas dihentikan.

“Niat Tun, Wallahu a’lam, tapi melabel-label stereotaip satu kumpulan yang berjuta ramainya, ‘its racist’ (ia adalah rasis)”. Ada yang melihat malas sebagai satu yang subjektif. Berbeza mengikut persepsi dan pandangan manusia.

Wajarkah kita mengukur kejayaan hidup seseorang berdasarkan pendapatan bulanan RM20,000 atau sekadar berpuas hati dengan RM2,000? Cuba kita lihat kehidupan Pak Mat yang tinggal di kampung dengan pendapatan RM2,000 hasil kebun dan elaun menjadi ketua kampung.

Adakah analogi itu mampu mengesahkan Pak Mat tidak gembira? Adakah Pak Mat boleh digolongkan sebagai Melayu malas hanya kerana tidak berusaha meraih pendapatan RM20,000?

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam yakin selepas 60 tahun, orang Melayu berjaya bangkit menerusi pelbagai dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), sekali gus menyaksikan peningkatan dalam semua bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan keusahawan.

“Orang Melayu bukan masyarakat pemalas, ia sangat subjektif, tidak mungkin kita mampu mengukur kualiti kehidupan seseorang dengan jumlah pendapatan yang diperoleh setiap bulan. Setiap manusia dilahirkan dengan kemampuan dan cita rasa yang berbeza. Dalam masyarakat, tidak terhad kepada Melayu sahaja, akan wujud pelbagai jenis manusia,” katanya.

Istilah Melayu malas membawa pelbagai konotasi seperti kata-kata nasihat tokoh cendekiawan ulung, Profesor Diraja Ungku Aziz. Selayaknya ia dijadikan pedoman dan teladan buat kita semua:

Rajin bercakap, rajin bekerja - bagus sekali

Rajin bekerja, malas bercakap - kena buli

Malas kerja, rajin bercakap - wayang Cina

Malas bekerja, malas bercakap - tak guna

Malas bekerja, suka mengadu - nyanyuk

Malas bekerja, selalu ponteng - baik berhenti

Malas bekerja, suka menyibuk - baik mati

Jangan pula kita mempopularkan kata-kata ‘malas nak layan’ dan ‘malas hendak ambil tahu’.

Penulis Khas Meja Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X