Rabu, 16 Oktober 2019 | 1:30pm
GERAKAN memutuskan mahu bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini. - Foto hiasan

GERAKAN sekadar mahu menguji sokongan

BLOK pembangkang diterajui Barisan Nasional (BN) pastinya kini berasa lebih tertekan untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai susulan keputusan mengejut parti GERAKAN yang mahu bertanding dalam PRK itu pada 16 November ini.

Dengan keputusan GERAKAN itu, pertandingan lebih tiga penjuru tidak dapat dielakkan. Tambahan pula Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) juga ‘sibuk’ hendak bertanding jika pembangkang dan PH meletakkan calon bukan Melayu.

Nampaknya, drama PRK Tanjung Piai akan menjadi bertambah menarik dengan keputusan GERAKAN mahu bertanding kerana ia hanya akan memberi tekanan kepada pembangkang yang diterajui BN bersama rakan perpaduan ummahnya, PAS.

Ketika BN masih berteka-teki untuk memutuskan calon dan parti mana akan bertanding, sama ada UMNO atau MCA, mereka kini bakal terpaksa berdepan GERAKAN, bekas rakan komponen mereka.

Soal yang timbul, sejauh mana keputusan GERAKAN itu akan menggugat peluang PH dan BN sedangkan pada hakikatnya, pengaruh GERAKAN boleh disifatkan sebagai tidak begitu signifikan di Tanjung Piai dan Johor.

Sejarah menunjukkan GERAKAN tidak mempunyai pengaruh yang besar di Johor. Atas sebab itulah, selepas PRU-14 dan kemudian meninggalkan BN, majoriti pemimpin tertinggi parti itu menjadi pasif, malah ramai melompat parti menyertai PKR.

Di Johor, GERAKAN tewas di kubu kuatnya, Simpang Renggam dan gagal merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis pada PRU-14 ketika di bawah panji BN. Pada peringkat nasional GERAKAN tewas semua di 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Selepas PRU-14, boleh dikatakan GERAKAN di kawasan Tanjung Piai atau Pontian berada dalam keadaan ‘tiada pemimpin berpengaruh’ untuk memimpin pergerakan parti itu.

Justeru, besar kemungkinan keputusan GERAKAN mahu bertanding itu adalah sekadar untuk test market adakah kewujudan mereka masih dirasai atau relevan dalam arena politik negara.

Bagaimanapun, senario PRK mungkin akan bertambah menarik jika GERAKAN membuat keputusan meletakkan calon Melayu dalam PRK nanti.

Jika itu menjadi percaturan GERAKAN, sudah pasti ia akan memecahkan undi orang Melayu yang menjadi majoriti - merangkumi kira-kira 56 peratus atau hampir 30,000 pengundi daripada jumlah 52,986 pengundi berdaftar.

Di pihak PH, tekanan tidak begitu berat dirasai kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diberi mandat dan kepercayaan Majlis Presiden PH untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Secara tidak langsung, pengundi di Tanjung Piai juga tahu yang PH akan meletakkan calon Melayu untuk bertanding pada PRK nanti.

Yang menjadi persoalan kepada pengundi ialah keputusan BN adakah akan meletakkan calon UMNO atau MCA. Pengundi di Tanjung Piai ketika ini hanya menunggu pengumuman daripada BN saja.

Bermakna, jika BN silap percaturan memilih calon, sasaran untuk merampas kerusi Parlimen berkenaan mungkin tidak akan tercapai. Dilema menentukan calon yang dihadapi BN ini sebenarnya menjadi satu kelebihan kepada PH.

Jelas di sini, PRK kali ini boleh disifatkan sebagai medan ujian bagi menguji kesetiaan dan keikhlasan MCA yang menyokong langkah UMNO menjalin kerjasama politik dengan PAS. MIC sudah membuktikan kesetiaan dan keikhlasan dengan menyerahkan kerusi disandang mereka di Cameron Highlands untuk ditandingi UMNO. Adakah MCA mampu berlapang dada seperti MIC.

Namun, BN masih perlu bekerja keras untuk memastikan terus mendapat sokongan pengundi Melayu di Tanjung Piai. Atas faktor ini, BN dilihat lebih berisiko jika meletakkan calon MCA untuk bertanding.

Barangkali, atas faktor itu maka UMNO memujuk MCA supaya mencontohi MIC yang sanggup berkorban dan berlapang dada menyerahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada calon langsung UMNO.

Percaturan BN itu membantu pembangkang mempertahankan Parlimen berkenaan pada PRK yang berlangsung 26 Januari lalu. Tidak mustahil strategi sama digunakan BN pada PRK Parlimen Tanjung Piai nanti untuk menyaingi PH.

Setakat ini, desas desus menunjukkan BN hampir pasti meletakkan calon UMNO untuk merampas kembali kerusi parlimen itu. Difahamkan, senarai nama calon juga sedang ditapis untuk dipersetujui pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN tidak lama lagi.

Bagi BERSATU, parti itu dijangka tidak berdepan masalah seandainya GERAKAN turut bertanding nanti kerana rekod menunjukkan walaupun PAS turut bertanding pada PRU-14, mereka tetap menerima undi Melayu dan bukan Melayu.

Penulis khas Meja Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X