Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Pengundi minoriti 'pengimbang' undi kerajaan, pembangkang

Dianggarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi India menyokong calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Peratusan itu berdasarkan kaji selidik firma penyelidikan pendapat umum bebas, Merdeka Centre yang turut menganggarkan kira-kira 95 peratus pengundi Cina memilih PH, manakala 25 hingga 30 peratus pengundi Melayu berbuat demikian.

Walaupun India adalah etnik minoriti di negara kita, kelompok ini memberi kesan tinggi terhadap pembentukan kerajaan melalui proses pilihan raya. Sokongan berterusan daripada masyarakat India penting bagi kerajaan PH untuk terus mendapat mandat menerajui pentadbiran Putrajaya pada PRU akan datang.

Kajian bertajuk ‘Aliran Mengundi Kaum India Dalam Pilihan Raya Umum 2013: Suatu Analisis’ menyatakan persaingan ditunjukkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masing-masing dalam mendapatkan undi kaum India pada PRU-13 menunjukkan kepentingan undi kaum itu dalam menentukan kemenangan.

Penulis, Suresh Kumar N Vellymalay dalam laporan diterbitkan Universiti Sains Malaysia itu turut menyatakan walaupun komuniti India tidak membentuk majoriti di mana-mana kawasan Parlimen di Semenanjung, undi golongan itu boleh menjadi penentu kemenangan calon.

“Lebih khusus lagi, undi kaum India menjadi rebutan calon BN dan PR terutamanya di tempat yang menunjukkan 10 peratus atau lebih pengundi India,” menurut laporan itu. Jumlah pengundi India direkodkan hanya sekitar 6.8 peratus daripada jum- lah keseluruhan pengundi berdaftar iaitu 14,469,000 orang.

Begitupun pengundi India dikesan menentukan keputusan di 58 kerusi Parlimen pada PRU-12 dan PRU-13. Jika PRU-13, ada 60 kawasan Parlimen dengan sekurang-kurangnya 10 peratus pengundi India, pada PRU-14 pula jumlah itu meningkat kepada lebih 70 kawasan termasuk 11 kawasan dengan kekuatan 20 peratus pengundi India.

Meskipun sokongan ketara terhadap PH diperlihatkan pada PRU-14, beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), antaranya Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Rantau menyaksikan sebaliknya, apabila wujud perubahan pada corak pengundian masyarakat India.

Contohnya, di PRK Cameron Highlands, BN memperoleh hampir 40 peratus sokongan pengundi India, jauh lebih baik berbanding hanya 15 peratus pada PRU-14. Menelusuri keputusan PRU-12 pada 2008, dilaporkan wujud peralihan undi yang tinggi dalam kalangan pengundi India kepada PR sebagai protes kerana tidak berpuas hati dengan pembangunan sosioekonomi kaum India di negara ini.

Boleh dikatakan pada era pasca PRU-14, masyarakat India lebih mengambil sikap berhati-hati, melihat sejauh mana PH boleh mengetengahkan dan menyelesaikan isu membabitkan kepentingan hidup mereka.

Jika kegagalan kerajaan menangani permasalahan masyarakat India dikatakan menyumbang kepada kemerosotan sokongan, ini bermakna inisiatif diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini gagal memenangi hati mereka.

Ini kerana, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Unit Khas Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) sejak 2014. Begitu juga Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) yang berjaya melahirkan puluhan ribu usahawan India sejak 2012.

Justeru, apa sebenarnya harapan dan kehendak masyarakat India? Kepentingan masyarakat India turut dekat di hati Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau sendiri mengetuai Pasukan Petugas Khas bagi menyelesaikan isu berkaitan masyarakat terpinggir terutama masyarakat India tidak sampai seminggu PRU-14 melabuhkan tirainya.

Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr P Sivamurugan, pemimpin PH perlu lebih teliti dalam menangani isu berkaitan kepentingan masyarakat India sebagai menghargai sokongan ketara mereka pada PRU-14.

Sedar atau tidak masyarakat India semakin berhati-hati dalam menzahirkan undi dan sikap itu dijangka berlarutan sehingga PRU akan datang. Sejauh mana kerajaan atau pembangkang memberi keutamaan kepada masyarakat berkenaan dijangka mampu mewujudkan pola pengundian berbeza.

Mewakili kelompok 6.9 peratus atau 2.03 juta daripada 32.6 juta penduduk di Malaysia, kerajaan dituntut merealisasikan sasaran penyertaan tujuh peratus masyarakat India dalam sektor awam seperti digariskan dalam Belanjawan 2018.

Penulis khas Meja Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X