Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:00am
Pengorbanan anggota tentera tidak terbalas dengan sumbangan yang sedikit, tetapi besar maknanya. - Foto hiasan

Makna besar walaupun sekecil nilai dua kupang

Dua puluh sen. Itu purata sumbangan disasarkan daripada setiap rakyat anak watan yang kini berjumlah kira-kira 30 juta.

Seandainya semua daripada kita menghulurkan sumbangan walaupun sekecil itu, sasaran kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2019 sebanyak RM6 juta akan tercapai.

Logiknya, tiada masalah untuk mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh kempen yang bermula 1 Ogos lalu hingga akhir tahun ini, kerana tidak ada yang tidak mampu menyumbang dua kupang, hatta peminta sedekah sekalipun.

Namun, jika dilihat rekod sebelum ini, kira-kira RM2.5 juta sahaja dapat dikumpul setiap tahun. Ini bermakna, purata sumbangan daripada setiap penduduk tidak sampai pun 10 sen.

Amat menyedihkan. Kalau nak dikatakan rakyat dan pemilik gedung perniagaan kecil atau besar kedekut, tidak mungkin sama sekali. Apalah sangat nilai 20 sen kepada mereka. Tetapi, 20 sen itulah yang diharapkan bagi memenuhkan tabung untuk veteran tentera.

Malah, kalau ditagih RM1 setiap seorang daripada kita sekalipun, jumlahnya masih terlalu kecil dan tiada sebab untuk tidak tergerak hati menghulurkan sumbangan.

Tambahan, dana dikumpul itu bukannya untuk tujuan tidak berfaedah, sebaliknya bagi membantu insan yang jasa mereka tidak ternilai besarnya.

Adakah sambutan dingin terhadap Kempen Tabung Pahlawan ini disebabkan kurang publisiti sehingga ada yang tidak sedar dan tidak memahami tujuan sebenarnya, walaupun setiap tahun diadakan kutipan?

Apakah rakyat Malaysia yang sudah 62 tahun menikmati kemerdekaan tidak sedar atau enggan ambil peduli pengorbanan anggota tentera yang mempertaruhkan nyawa mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air, sehingga membolehkan mereka berlumba-lumba sesama sendiri mengaut laba perniagaan sebanyak mungkin.

Hal ini perlu direnung bersama kerana sememangnya tiada paksaan untuk menyumbang, sebaliknya lakukan seikhlas hati.

Perjuangan anggota keselamatan mempertahankan tanah air sehingga ada yang kudung kaki dan tangan serta hilang penglihatan, malah ramai yang terkorban, bukannya minta dibayar kerana memang tiada siapa yang mampu membayarnya dengan wang ringgit.

Kempen Tabung Pahlawan mula dilaksanakan pada 1950 oleh Persatuan Bekas Tentera Malaya yang ketika itu di bawah teraju bekas Tentera British di Malaya.

Awalnya, ia dikenali ‘Poppy Day’ sebelum ditukar kepada ‘Rayuan Hari Pahlawan’ selepas negara mencapai kemerdekaan. Lambang bunga Poppy juga digantikan dengan bunga raya.

Pada 2013, Tabung Pahlawan dijenamakan dengan penukaran nama Rayuan Hari Pahlawan kepada ‘Kempen Tabung Pahlawan’. Beberapa pendekatan dan kaedah baharu diperkenal untuk meningkatkan jumlah kutipan.

Penjenamaan semula juga bagi memberi kesedaran kepada rakyat betapa perlunya mereka menderma sebagai tanda mengingati dan menghargai perjuangan dan pengorbanan veteran tentera dalam menentang serta menghapuskan pengganas komunis semasa era Darurat I (1948-1960) dan Darurat II (1968-1989).

Bermula 2013, kutipan ditumpukan kepada perbelanjaan aktiviti kebajikan veteran dan ahli keluarga secara menyeluruh terutama veteran kurang upaya, balu veteran, mereka yang terbabit dengan musibah kebakaran dan bencana alam.

Justeru, pihak bertanggungjawab terhadap usaha mempromosi kempen ini dan mengumpul sumbangan, perlu menggembleng segala bentuk kaedah mengutip dana.

Ini boleh dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri, syarikat, majikan, pertubuhan bukan kerajaan, rumah ibadat institusi pendidikan dan lain-lain lagi.

Kita sendiri, malah warga asing yang mencari rezeki di bumi ini, tidak ada sebab untuk tidak menghulurkan sumbangan. Walaupun veteran tentera dan waris mereka yang bakal mendapat manfaat daripada sumbangan itu tidak kita kenali, apa salahnya membantu mereka.

Sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Tabung Rayuan Hari Pahlawan - 1059 5000 3201 (Affin Bank) dan maklumat berkaitan tabung ini boleh diperoleh dengan melayari http://tabungpahlawan.jhev.gov.my.

Apa yang kita kecapi dan nikmati hari ini adalah hasil jasa dan pengorbanan mereka. Sumbangan kita adalah satu penghargaan kepada mereka yang banyak berkorban dan berjasa.

Sekecil mana pun, besar pengertiannya.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X