Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:17pm
PEMANDANGAN di sekitar kawasan Kampung Baru berhampiran Menara Berkembar Petronas. - Foto hiasan

Persyarikatan konsep baik bangunkan tanah pusaka

DALAM kalangan masyarakat di tempat saya membesar, tindakan menjual harta pusaka dilihat sebagai sesuatu yang memalukan. Ia seperti menjual maruah diri dan keturunan.

Justeru, sesiapa yang ada mewarisi pusaka seperti tanah umpamanya, pilihan yang bermaruah adalah berusaha keras menambahkan nilainya, seperti tanam semula atau ganti dengan tanaman komersial. Boleh juga dijadikan tapak kediaman anak cucu. Walaupun zaman berubah, pegangan sedemikian terhadap nilai pusaka tetap relevan.

Cuma kaedah menambah nilai pusaka itu mungkin boleh diperluaskan. Bukan lagi setakat menggantikan dengan tanaman lebih berhasil, tanah pusaka yang berada di kawasan maju dan bernilai tinggi seperti di bandar, boleh dikomersialkan dengan kaedah lebih tersusun menerusi sebuah persyarikatan umpamanya.

Menerusi penubuhan syarikat, semua harta pusaka seperti tanah dan bangunan disatukan dan nilainya diagihkan menerusi saham kepada setiap waris.

Penyatuan ini juga meningkatkan nilai ekonomi hartanah kerana ia lebih mudah dibangunkan. Dengan cara ini, keturunan peneroka asal dapat mempertahankan pemilikan dan meraih manfaat untuk jangka panjang.

Mungkin kaedah ini lebih sesuai dilakukan bagi waris pemilik tanah Kampung Baru seiring usaha kerajaan untuk membangunkan semula penempatan berusia 115 tahun itu, tetapi disifatkan sebagai ‘kudis’ kepada Kuala Lumpur.

Sebagai kaveat, Kampung Baru adalah sangat penting dan simbolik kepada agenda Melayu, sewajarnyalah Kampung Baru kekal sebagai pusat ekonomi dan kebudayaan Melayu di ibu kota.

Akan tetapi, jika waris pemilik tanah Kampung Baru menjual hartanah mereka, tidak kiralah pada harga RM850 atau RM2,000 sekaki persegi, mereka akan hilang terus pemilikan terhadap warisan nenek moyang.

Justeru, mungkin kaedah persyarikatan harta dan pembangunan bersama dengan agensi kerajaan yang berkaitan boleh menjadi model pembangunan semula lebih baik untuk kawasan itu. Dengan itu, hak terhadap warisan nenek moyang mereka masih dapat dipertahankan.

Walaupun setakat ini difahamkan tanah kawasan itu akan dibeli agensi kerajaan, tetapi masih bermakna waris hilang terus hak terhadap tanah berkenaan. Menambah baik adalah niat yang baik, namun kaedah pelaksanaan, keperluan atau kenapa perlu berbuat demikian perlu juga diperhalusi.

Dalam konteks Kampung Baru, ramai setuju bahawa tiada yang terlalu mendesak sehingga kerajaan perlu bersegera membuat pembangunan semula dan terpaksa mengeluarkan RM10 bilion dana awam. Jumlah RM10 bilion merangkumi satu perenam daripada bajet kesihatan negara, boleh membina berpuluh hospital dan menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada.

Jumlah itu juga boleh digunakan untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik, berharga RM300,000 ke bawah. Ini akan membantu menyemarakkan ekonomi secara keseluruhan, bukannya setakat memanfaatkan lebih 5,000 pemilik.

Pembangunan semula Kampung Baru tidak begitu mendesak, sebaliknya wajar selesaikan dulu beberapa isu kritikal rakyat seperti perumahan, kos sara hidup akibat gaji pekerja yang rendah dan isu pengangguran susulan ramai kakitangan swasta yang kehilangan kerja.

Pada majlis penerangan mengenai pembangunan Kampung Baru 21 September lalu, kerajaan menawarkan harga RM850 sekaki persegi bagi sejumlah 825 lot di bawah Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS) berjumlah 89 hektar serta 32 hektar di luar pentadbiran MAS.

Pembangunan semula akan dibahagikan kepada empat zon dan pemilikan dikhususkan kepada orang Melayu. Tumpuan pembangunan akan meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial.

Pada harga RM850 sekaki, pemilik lot seluas 8,000 kaki boleh mendapat RM6 juta. Bagaimanapun, setakat ini waris pemilik tanah di Kampung Baru dilaporkan menolak tawaran RM850 sekaki persegi yang diputuskan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH). Mereka meminta harga lebih tinggi hingga RM2,000 sekaki persegi berdasarkan nilaian harga tanah di kawasan sekitar.

Mungkin jumlah perolehan jualan tanah nampak tinggi, boleh digunakan untuk satu kehidupan. Akan tetapi, waris pemilik lot tanah Kampung Baru juga dilaporkan sangat ramai lantaran pemilikan berlapis-lapis, justeru hasilnya mungkin tidak sebanyak mana. Jika tidak diurus dengan baik, wang boleh habis dengan cepat.

Seperti yang sering terjadi di kawasan saya membesar, majoriti yang menjual harta pusaka berakhir menjadi papa kedana akibat tidak dapat mengurus wang segera dan mudah, yang mereka peroleh. Mereka gagal menghargai dan menjaga maruah nenek moyang yang bersusah payah mendapatkan harta berkenaan.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X