Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:00am
BELANJAWAN 2020 akan memastikan kuasa beli rakyat lebih tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik. - Foto hiasan

Belanjawan 2020 serba mencabar

BELANJAWAN 2020 dibentangkan di Parlimen hari ini dijangka menjadi satu rancangan perbelanjaan bersifat pengembangan yang boleh disimpulkan sukar dan mencabar. Belanjawan bersifat pengembangan bermakna kerajaan akan menggunakan perkakas yang ada untuk mengalirkan lebih banyak wang ke dalam ekonomi.

Ini bermakna, tumpuan Belanjawan 2020 adalah untuk memastikan pengguna (rakyat) dan perniagaan (syarikat) mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan. Fleksibiliti fiskal seperti ini kebiasaannya bermatlamat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, di tengah-tengah kelembapan yang berlaku pada peringkat global.

Malah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah beberapa kali memberi jaminan bahawa pertumbuhan ekonomi sentiasa menjadi keutamaan, namun ditunjangi oleh dasar fiskal yang bertanggungjawab. Belanjawan kali ini juga mengambil pendekatan kemakmuran bersama bagi memastikan pertumbuhan lebih mapan dan terangkum.

Melihat kembali kepada sasaran fiskal yang diumumkan sebelum ini, kerajaan menyasarkan defisit belanjawan akan dikurangkan daripada 3.7 peratus berbanding saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 kepada 3.4 peratus tahun ini, sebelum terus berkurangan kepada 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

Berdasarkan sasaran itu, Belanjawan 2020 perlu dirangka bagi menghadapi situasi terkini, dengan cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan di tengah-tengah suasana ekonomi kurang memberangsangkan pada peringkat global.

Ia juga mengambil kira unjuran harga minyak mentah lebih rendah tahun depan, yang memberi bayangan situasi fiskal lebih sempit dapat digunakan oleh kerajaan.

Bagi Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM314.5 bilion.

Dijangkakan Belanjawan 2020 memerlukan peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM25 bilion berbanding peruntukan Belanjawan 2019, bergantung pendapatan yang bakal dikutip kerajaan tahun depan.

Di sinilah salah satu cabaran yang dihadapi kerajaan memandangkan syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS pada sidang akhbarnya baru-baru ini memberi bayangan memberikan dividen lebih rendah kelak, berikutan tiada lagi dividen khas akan diberikan.

Pada masa sama, Menteri Kewangan pula memberi jaminan tiada lagi cukai baharu akan diperkenalkan pada Belanjawan 2020, dengan cukai digital yang diumumkan lebih awal sebelum ini akan dilaksanakan pada awal tahun depan.

Usaha menambah baik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula adalah satu proses yang dijangka dilaksanakan kelak, di samping kemungkinan memperluaskan liputan cukai gula. Selain cabaran mengukuhkan hasil negara, ada beberapa isu yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan ketika merangka Belanjawan 2020.

Isu paling utama adalah ketidaktentuan global, dengan pertumbuhan KDNK benar global berkembang perlahan pada tahun ini, malah kadar yang dicatatkan pada suku kedua lalu adalah yang paling perlahan sejak 2013.

Ia diselubungi pula oleh kebimbangan tekanan daripada masalah perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang memuncak apabila kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu saling berbalas tarif. Sebagai sebuah ekonomi yang banyak bergantung kepada perdagangan global, Malaysia tidak dapat lari daripada menerima tempias sedemikian.

Angka perdagangan yang merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini mencerminkan masalah yang dihadapi akibat daripada kemelut luaran rakan perdagangan negara. Malah, kelemahan ringgit pada masa ini juga tidak dapat menyokong nilai eksport Malaysia, meskipun tidak seteruk yang dihadapi negara serantau.

Kelembapan pertumbuhan ekonomi dan kebimbangan berlakunya kemelesetan menyebabkan bank pusat secara agresif melaksanakan pelonggaran dasar monetari manakala kebanyakan kerajaan dunia mengambil langkah rangsangan fiskal.

Di sebalik cabaran itu, kerajaan dijangka meneruskan agenda pembangunan dengan angka lebih tinggi atau setidak-tidaknya menyamai nilai RM54.7 bilion yang diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2019.

Antara dijangka diumumkan adalah beberapa projek infrastruktur yang menjadi keutamaan, termasuklah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sudah dirunding semula, insentif dan geran sepadan untuk merangsang pelaburan domestik, sokongan fiskal untuk golongan B40 serta perumahan mampu milik.

Bagi golongan pertengahan atau M40, ada kemungkinan juga kerajaan mengumumkan pelepasan cukai peribadi khas, walaupun pemotongan kadar cukai untuk kumpulan ini boleh dianggap sesuatu yang mengejutkan.

Di samping itu, kerajaan dijangka mengoptimumkan perbelanjaan mengurus bagi membolehkan peruntukan perbelanjaan pembangunan dapat dipertahankan. Ia termasuk mengoptimumkan perbelanjaan ke atas emolumen dan pencen, pembayaran hutang, pemerolehan, mengehadkan hutang jaminan kerajaan dan subsidi bahan api bersasar, seperti yang sudah diumumkan awal minggu ini.

Apa juga yang akan dibentangkan petang ini, ia pasti sudah mengambil kira kepentingan banyak pihak demi memastikan belanjawan terakhir dekad ini dapat mencapai matlamatnya iaitu kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Penulis adalah Penolong Pengarang Bisnes, Berita Harian

Berita Harian X