Selasa, 8 Oktober 2019 | 11:01am
- Foto hiasan

Tangani kos sara hidup perlu serius

ISU peningkatan kos sara hidup dan pendapatan tidak selari masa kini, boleh diibaratkan sebagai duri dalam daging kepada mana-mana kerajaan di dunia. Ia sering dijadikan polemik sehingga menimbulkan pertikaian tanpa ada penyelesaian konkrit.

Sebenarnya tidak ada satu kerajaan pun mahu perkara itu berlaku, tetapi pada masa sama tidak mampu mengawal sepenuhnya disebabkan oleh faktor luaran.

Di Malaysia sendiri, situasi paras gaji tidak selari dengan peningkatan kos sara hidup turut menjadi barah apabila kita ibarat tersepit di bumi sendiri dalam memenuhi keperluan hidup, terutama yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Senario hari ini memperlihatkan majoriti rakyat terutama kakitangan swasta tertekan dengan kos sara hidup dan gaji rendah, walaupun Malaysia dikatakan sudah berada pada landasan tepat untuk mencapai status negara maju.

Justeru, timbul persoalan sama ada gaji minimum RM1,100 masih relevan tatkala pekerja itu perlu menanggung perbelanjaan lain seperti sewa rumah, ansuran kenderaan, bil utiliti, pendidikan anak serta barangan keperluan.

Bagaimanapun, kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak sebenarnya mampu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup dan tangga gaji terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dengan syarat ia mempunyai iltizam tinggi.

Harapan untuknya acap kali diluahkan rakyat menjelang prapembentangan belanjawan tahunan dan Belanjawan 2020 juga, tidak terkecuali dengan suara yang mahukan isu berkenaan dipandang serius oleh kerajaan.

Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan di Parlimen Jumaat ini harus menjadi manifestasi kerajaan dalam memenuhi harapan rakyat yang mahukan peningkatan harga barang keperluan, dapat dikawal dan pada masa sama membantu meningkatkan pendapatan.

Kerajaan perlu memainkan peranan aktif supaya dapat merangsang dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan pendapatan tinggi agar rakyat dapat terus berbelanja.

Penekanan kepada pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti dinyatakan Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, antara yang wajar diberi pertimbangan serius.

Ia bukan sahaja dapat membantu pengusahanya meningkatkan pendapatan, sekali gus mewujudkan pekerjaan dengan gaji setimpal, tetapi pada masa sama mengeluarkan produk jenama tempatan untuk dijual pada kadar berpatutan.

Antara faktor utama kenaikan harga barang yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup masa kini adalah kebergantungan negara kepada barangan diimport termasuk makanan. Ia bertambah parah apabila terkesan dengan ketidaktentuan pertukaran mata wang asing.

Sebagai contoh, Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010 dikeluarkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada 6 Ogos lalu, menunjukkan negara ini terlalu bergantung kepada Australia dan India dalam mendapatkan bekalan daging.

Sekiranya kerajaan dapat membangunkan PKS dalam sektor itu termasuk penternak haiwan menggunakan teknologi terkini dalam membangunkan perusahaannya, Malaysia sudah tentu tidak memerlukan bekalan luar negara.

Akhirnya, pengguna bakal mendapat manfaat besar kerana harga untuk membeli barangan keluaran jenama tempatan lebih murah berbanding sebelumnya, dengan pengusaha perlu menampung kos mengimport barangan dari luar negara.

Pada masa sama, graduan dari universiti dan pelatih institut kemahiran pula mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal. Pendek kata ia mewujudkan kitaran ekonomi yang sihat.

Keluh kesah rakyat negara ini berhubung peningkatan kos sara hidup dan pendapatan tidak selari harus ditangani segera, sekiranya kerajaan mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Jika tidak, sebesar zarah harapan pun tidak akan dicapai jika apa yang dilaungkan kerajaan tidak mengambil kira keperitan rakyat ketika ini.

Malah, ia akan mewujudkan jurang lebih besar antara golongan berpendapatan tinggi dengan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Ia akhirnya menyebabkan ramai rakyat negara ini seolah-olah merempat di negara sendiri.

Tetapi harus diakui peranan itu juga perlu digerakkan pihak swasta dan pengusaha yang mahu melihat terlebih dahulu insentif diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen.

Belanjawan 2020 pasti dinantikan segenap lapisan masyarakat untuk melihat komitmen kerajaan dalam membangunkan negara terutama selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Penulis adalah wartawan Meja Bisnes Berita Harian

Berita Harian X