Rabu, 2 Oktober 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

UMNO, MCA masih main teka-teki

Jika mengikut tarikh penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 November, parti atau individu yang berhasrat untuk bertanding mempunyai tempoh sebulan untuk membuat keputusan.

Buat masa ini, kelihatannya pembangkang masih kabur dengan keputusan untuk menentukan parti mana lebih layak bertanding pada PRK berkenaan. UMNO dan MCA masih berteka-teki siapa yang patut bertanding di Parlimen itu.

Semua pemimpin pusat UMNO dan MCA masih mengunci mulut masing-masing dan mengelak atau memilih jalan selamat apabila membuat kenyataan berhubung penentuan calon. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terus enggan mengulas soal calon. Malah, beliau turut mengarahkan semua pemimpin MCA tidak memberi ulasan berhubung isu calon.

“Saya bimbang, apa yang keluar daripada mulut saya nanti diputar belitkan. Kita tunggu keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN),” katanya ringkas ketika dihubungi.

Namun, pada masa sama, MCA Bahagian Tanjung Piai menegaskan mereka lebih layak untuk bertanding di situ atas faktor sudah tiga penggal Parlimen Tanjung Piai menjadi kerusi tradisi yang ditandingi mereka.

Rekod menunjukkan MCA menang selama tempoh itu sebelum kerusi itu dirampas Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. UMNO pula dijangka hanya membuat kata putus sama ada akan bertanding atau tidak selepas Biro Politik dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bermesyuarat esok.

Walaupun begitu, UMNO Bahagian Tanjung Piai sudah berani mendesak kerusi Parlimen itu diberikan kepada parti berkenaan kerana yakin mampu memenanginya pada PRK akan datang. Ketua Bahagiannya, Jefridin Atan berkata, sebanyak 88 ketua cawangan dalam bahagian itu meluluskan resolusi supaya calon UMNO dipilih bertanding dalam PRK itu dalam satu mesyuarat pada Sabtu lalu.

Secara tidak langsung, resolusi UMNO Bahagian Tanjung Piai itu tidak selari dengan prinsip dan aspirasi penyatuan ummah antara UMNO-PAS yang antara lain tidak akan meminggirkan kaum bukan Melayu.

Namun, resolusi UMNO Bahagian Tanjung Piai mempunyai asasnya memandangkan majoriti pengundi di Parlimen itu adalah orang Melayu yang merangkumi 56 peratus daripada 52,986 pengundi.

Setakat ini, BN Johor kelihatan senada dengan aspirasi penyatuan ummah apabila tidak menetapkan parti mana yang harus bertanding, sebaliknya hanya mahukan anak tempatan Tanjung Piai menjadi calon PRK Parlimen itu dan menolak cadangan meletakkan calon luar bertanding di kawasan itu.

Soalnya, siapakah calon anak tempatan yang layak untuk diketengahkan pembangkang bagi berdepan dengan calon PH yang juga masih misteri ketika ini. Mungkinkah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin calon anak tempatan yang dimahukan UMNO Bahagian Tanjung Piai.

MCA pula didakwa mahu menonjolkan orang muda, Heng Zhi Li, 28, yang juga Ketua Pemuda MCA Tanjung Piai untuk menjadi calon, namun sehingga kini masih tiada kepastian. Melihat kepada sikap berhati-hati dan berdolak-dalih pembangkang dalam soal calon ketika ini, ia tidak ubah UMNO dan MCA sedang bermain kerusi panas.

Silap hari bulan, kedua-duanya tersungkur ketika cuba merebut kerusi itu. Namun realitinya, PRK kali ini adalah ujian besar kepada PH dan pembangkang. PRK itu akan menjadi penanda aras tahap sokongan pengundi terutama orang Melayu terhadap PH sebagai parti kerajaan dan BN yang kini menjadi pembangkang.

Jika pengundi masih memilih PH, bermakna rakyat masih menaruh keyakinan kepada kerajaan untuk melakukan pembaharuan menerusi konsep Malaysia Baharu. Akan tetapi jika sebaliknya, ia menjadi isyarat kepada PH sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan undi Melayu tetap memihak kepada mereka pada PRU-15.

Bagi pembangkang pula, PRK ini menguji keikhlasan kerjasama politik UMNO dan PAS dengan MCA sama ada memenuhi aspirasi penyatuan ummah atau tidak. Kejayaan pembangkang menguruskan pertikaian soal calon akan dinilai pengundi Tanjung Piai khususnya dan rakyat secara amnya.

Walaupun keputusan PRK itu nanti tidak akan mengubah kedudukan Kerajaan Persekutuan, namun parti yang memenanginya akan mendapat kemenangan moral yang signifikan untuk berdepan PRU-15 nanti.

Penulis adalah Penulis Khas Berita Harian

Berita Harian X