Sabtu, 28 September 2019 | 11:02am
BIDANG pendidikan TVET kini menjanjikan peluang kerjaya yang lebih banyak dengan pelbagai pilihan. - Foto hiasan

Lulusan TVET lebih mudah dapat pekerjaan

PENDIDIKAN Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi terus mampan dan menjana kekayaan kepada negara. Yang lebih utama ialah kekayaan itu dapat diagih dengan lebih rata dan meluas dalam kalangan rakyat.

Bidang kemahiran yang menjanjikan peluang pekerjaan lebih banyak, berbanding bidang akademik dan ini dapat mengurangkan jumlah pengangguran dalam kalangan graduan institusi pendidikan tinggi.

Ketika ini, kadar pengangguran graduan program akademik agak serius dan Kementerian Pendidikan mengambil langkah awal menangani masalah itu. Antaranya dengan memansuhkan, menggabungkan, menstruktur semula, memanjangkan tempoh latihan industri atau apa saja nama lain dengan matlamat menjadikan lulusan institusi pendidikan tinggi lebih berdaya saing.

Nah! Di sini nampaknya TVET sewajarnya menjadi pemacu utama dalam proses pengeluaran sumber manusia mahir pada masa depan bagi mengatasi isu graduan yang dilahirkan tidak memenuhi kehendak industri.

Program ini sejak sekian lama dianggap pilihan kedua hingga dulu, pelajar sekolah vokasional atau pelatih Pusat Giat MARA dipandang sebelah mata oleh masyarakat, walaupun peluang pekerjaan dalam bidang ini begitu banyak. Antaranya industri berkaitan telekomunikasi dan jentera atau automasi yang sentiasa menjanjikan kerjaya yang baik.

Persepsi bahawa latihan kemahiran ini kurang glamor juga punca tiada agensi awam yang mahu menjadi jaguh kepada pemantauan dan penguatkuasaan TVET hingga beberapa kementerian yang menawarkan latihan kemahiran mempunyai standard masing-masing.

Dengan visi bergerak ke depan, semua agensi kerajaan itu bersetuju bernaung di bawah satu bumbung menerusi penubuhan Badan Penyelarasan TVET Negara. Langkah yang tepat ini diambil kerana program kemahiran akan menjadi antara pemangkin kepada agihan kekayaan negara.

Latihan kemahiran ini perlu menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan 2020 dan perancangan pembangunan jangka panjang, demi kepentingan negara dan masyarakat. Modal insan dengan kemahiran tinggi inilah yang akan memacukan industri ke arah teknologi tinggi.

Penggunaan teknologi tinggi juga menjadi serampang dua mata untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh tidak mahir dalam kalangan warga asing dan pada masa sama, memberi pekerjaan kepada warga tempatan. Ini sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang kepada kebanjiran warga asing di negara ini.

Lulusan TVET yang menerima imbuhan tinggi mampu menjadi pengimbang kepada jurang pendapatan di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Agihan kekayaan yang lebih sekata ini akan mengharmonikan hubungan di antara etnik, seperti yang mahu dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama.

Penyusunan semula institusi TVET dengan memberi peluang kepada remaja dan belia dari negeri yang dikategorikan miskin berdasarkan indikator ekonomi, juga akan membantu perkongsian kekayaan negara di antara wilayah.

Lulusan sekolah di Kedah, Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak perlu dibantu dengan insentif, biasiswa dan kuota khas untuk menyertai program TVET kerana mereka dari negeri yang agak mundur, berbanding Selangor atau Pulau Pinang. Remaja dari negeri miskin dan kaya sekarang bersaing di atas padang yang tidak sama rata dan keadaan ini mesti dibetulkan menerusi dasar yang lebih saksama.

Selain menangani isu jurang kekayaan di antara wilayah, latihan kemahiran juga mampu menyelesaikan isu miskin bandar dan miskin pedalaman. Program TVET akan menjadi jalan keluar kepada ahli keluarga kumpulan 40 peratus pendapatan terendah (B40) dan mendapat gaji lebih tinggi.

Remaja dan belia dari kumpulan B40 sudah tentu menunggu berita baik dalam belanjawan yang akan dibentangkan dua minggu lagi, seperti insentif untuk membolehkan mereka menyambung latihan secara percuma selepas persekolahan.

Latihan kemahiran percuma ini akan mengelakkan mereka daripada terus terperangkap dalam kitaran pendapatan rendah, jika perlu membayar sejumlah hutang daripada pinjaman sepanjang mengikuti program vokasional.

Penyusunan dan penjenamaan program TVET akan menjadi antara kaedah menstruktur semula ekonomi negara, agar agihan kemakmuran lebih sekata dan dapat dinikmati bersama.

Inilah sebenarnya harapan rakyat. Peluang perlu diberi secara adil kepada semua kaum dengan mengambil kira latar belakang sosioekonomi mereka untuk bersaing di atas padang yang sama rata.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X