Sabtu, 28 September 2019 | 11:01am
ALLAHYARHAM Bacharuddin Jusuf Habibie

Pak Habibie - dicintai, mencintai

SUASANA muram dan sugul jelas dapat dirasai sebaik saja udara Jakarta menyapa wajah saya ketika keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Kebetulan, saya tiba di Jakarta untuk membuat liputan Ekspo Francais dan Pelesenan Indonesia (FLEI) 2019 pada 12 September, tarikh sama bekas Presiden Indonesia, Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie, dikebumikan di Taman makam Pahlawan Kalibata, Jakarta.

Pelbagai paparan ucapan takziah terpampang sepanjang jalan dari lapangan terbang ke pusat bandar Jakarta, manakala wajah kebanyakan rakyat Indonesia pula hanya terlukis kesedihan. Jelas Indonesia sedang menangisi pemergian ilmuwan dan bapa teknologi negara itu.

Di Malaysia, nama BJ Habibie tidaklah begitu popular berbanding nama Presiden Indonesia lain seperti Soekarno, Soeharto, Susilo Bambang Yudhoyono atau Joko Widodo (Jokowi).

Selain pencinta dan pejuang demokrasi, namanya hanya mula mesra pada telinga kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan muda, selepas filem mengenainya diterbitkan, Habibie dan Ainun (2012) serta sekuelnya, Rudy Habibie (2016).

Namun, situasinya berbeza di Indonesia. Habibie bukan saja dekat di hati rakyat, bahkan seolah-olah mereka memiliki satu pertalian darah dengan Presiden Indonesia ketiga itu.

Ia membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana seorang Presiden yang hanya memerintah kira-kira setahun, atau lebih tepat 17 bulan bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999, begitu dicintai seluruh rakyatnya? Apakah jasanya dalam tempoh singkat itu hingga meninggalkan kesan mendalam pada rakyat Indonesia?

Selama empat hari di Jakarta, saya mengambil kesempatan berbicara dan bertanya beberapa individu, mengapa kecintaan rakyat Indonesia begitu mendalam pada Pak Habibie.

“Kerana Pak Habibie, Indonesia menjadi seperti hari ini,” kata Indra Diwangkara. Riak wajah dan suara pemandu pelancong itu penuh bersemangat ketika menceritakan jasa besar Habibie dalam tempoh singkat itu.

Satu persatu bakti Habibie diungkap, sekali gus terus merungkai persoalan dari mana datangnya benih cinta yang tulus kepada individu yang tersingkat menjadi Presiden Indonesia itu. Mana tidaknya, Habibie yang menanam benih hingga Indonesia menjadi sebuah negara demokrasi, berbanding Indonesia di bawah Soeharto yang dikenali sebagai diktator selama 31 tahun.

Pelantikan Habibie sebagai Presiden awalnya disambut dingin kerana sebagai anggota menteri di bawah rejim Soeharto, ramai beranggapan beliau akan meneruskan rentak mentornya.

“Namun, sebaik menjadi Presiden, Pak Habibie terus ‘memutuskan komunikasi’ dengan Soeharto,” kata Indra, ketika menggambarkan betapa Habibie tidak mahu langsung terikat dengan corak pemerintahan The Smiling General itu.

Habibie antaranya membebaskan tahanan politik yang ditangkap ketika era Soeharto memerintah, selain membuka seluas-luasnya kebebasan media.

Namun, antara jasa terbesarnya adalah menggubal undang-undang yang membolehkan kewujudan pelbagai parti politik, hingga Pemilihan Umum (PEMILU) 1999 disertai 48 parti politik, berbanding hanya tiga ketika era Soeharto.

Malah, Habibie tidak sedikit pun teragak-agak untuk melaksanakan PEMILU 1999 walaupun berkemungkinan kalah kerana rata-rata sentimen rakyat terhadapnya ketika itu adalah negatif, susulan referendum Timor Timur berakhir dengan wilayah itu berpisah dengan Indonesia menjadi Timor Leste.

Pakatan Harapan (PH) wajar untuk belajar dan mengikut teladan Habibie yang walaupun tidak menjadi Presiden selepas PEMILU 1999, benih reformasi yang ditanamnya terus tumbuh hingga Indonesia mekar seperti ketika ini.

PH tidak boleh teragak-agak melakukan perubahan dasar yang drastik seperti segera memperkasakan Parlimen dan institusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain memisahkan Pejabat Pendakwa Raya dari Pejabat Peguam Negara.

Jangan lagi membelakangkan janji yang membabitkan falsafah reformasi PH seperti melantik Pesuruhjaya SPRM tanpa melalui Parlimen.

Biarlah era Malaysia Baharu dan PH diingati sebagai permulaan sebuah negara yang bebas rasuah dan menjunjung tinggi demokrasi, serta penamat kebobrokan dilakukan pemerintahan lalu yang tidak akan berulang sampai bila-bila.

PH tidak perlu bimbang dengan gelaran ‘kerajaan sepenggal’ dilaungkan segelintir pihak, seperti Habibie tidak gundah menjadi Presiden Indonesia paling singkat. PH, jadilah seperti Pak Habibie, yang mencintai dan dicintai.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Berita Harian X