Jumaat, 27 September 2019 | 11:00am

Tangani fakta, auta media sosial secara bijak

PADA masa ini ramai yang bersetuju bahawa teknologi internet yang terus berkembang mengubah banyak perkara terutama dalam sektor perniagaan dan media massa.

Teknologi yang amat pantas berkembang itu memberi kesan yang begitu besar kepada gelagat perdagangan dan penyebaran maklumat di negara ini sejak Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITA) dilancarkan ketika Rancangan Malaysia Ketujuh.

Tidak dapat dinafikan Malaysia ketika itu, seperti banyak negara lain di dunia, terpaksa mengikut arus perkembangan teknologi maklumat (IT) khususnya bagi menggantikan ekonomi berasaskan pengeluaran (p-ekonomi) kepada yang berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).

Dalam teori k-ekonomi, secara asasnya, pengetahuan diakui sebagai faktor utama bagi melestarikan pertumbuhan ekonomi selain tanah, buruh dan modal fizikal.

Ia pandangan jauh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi menyediakan negara mengambil bahagian dan merebut peluang dalam perdagangan elektronik (e-dagang), yang mana buktinya kita lihat hari ini.

Konsep penting kepada bidang IT ini ialah ‘pengetahuan’ yang mana ia menunjukkan kaitan rapat dengan maklumat. Maklumat adalah aset jika ikut teori k-ekonomi itu. Persoalannya maklumat yang bagaimana yang benar-benar membawa faedah kepada masyarakat?

Pada hari ini, akibat terlalu pesat berkembang, maklumat yang diperoleh menerusi IT semakin membuat masyarakat keliru dan celaru.

Ini diburukkan dengan kemunculan media untuk bersosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, yang kemudian menjadi tempat luahan emosi, menyebabkan ‘pengetahuan’ itu bercampur baur antara fakta dan auta.

Fenomena ini memberi kesan dan saingan hebat kepada media massa konvensional, yang masih diusahakan oleh syarikat media arus perdana di negara ini. Ramai anggota masyarakat yang keliru di antara kewartawanan sebenar yang diamalkan oleh pemberita di akhbar arus perdana dan ‘wartawan segera’ di media sosial termasuk sesetengah blogger.

Saya pernah ditanya adakah blogger yang tidak ada asas latihan kewartawanan juga seorang wartawan, maka segala penulisannya dianggap berwibawa seperti berita arus perdana. Ini adalah antara kesan kecelaruan masyarakat dalam menilai berita media arus perdana dan ‘pengetahuan’ dalam media sosial.

Jawapannya sudah tentu tidak. Salah satu yang ketara ialah ketika pengamal media konvensional masih mengekalkan aspek terpenting iaitu ‘ketepatan’, ia hampir tidak ada dalam penulisan dalam media sosial.

Dalam media arus perdana, wartawan kadang-kadang terpaksa mengambil masa seharian hanya untuk mengesahkan berita yang hanya beberapa perenggan sebelum disiarkan walaupun maklumat yang diperoleh kononnya ‘amat meyakinkan’ disebarkan pihak tertentu dalam media sosial.

Justeru, pandangan Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, bahawa media arus perdana akan kekal sebagai sumber maklumat sahih adalah gambaran sebenar kepada situasi ini.

Proses penghasilan berita yang ketat yang tidak pernah dikompromi oleh media arus perdana memberi jaminan ketepatan dan kewibawaan maklumat.

Ini boleh diberi jaminan berbanding proses, jika ada, di pihak penulis media sosial yang saya yakin tidak pun melakukan apa-apa pemeriksaan sama ada ia auta atau fakta dan lebih buruk jika ia disebarkan berasaskan emosi.

Sebab itu, dalam kelam-kabut masyarakat menentusahkan sesuatu maklumat, yang biasanya disebarkan di media sosial, akhbar arus perdana juga yang dijadikan rujukan akhir.

Penulis juga menerima banyak pertanyaan daripada rakan yang menerima hantaran tertentu mengenai isu semasa negara. Soalan lazim ialah ‘betulkah ini?’ - sekadar membuktikan masyarakat juga was-was untuk mempercayai banyak sebaran media sosial.

Persoalannya, berapa ramai antara kita yang mahu bertanya begitu? Lebih ramai yang bertanya begitu adalah lebih baik untuk negara dan masyarakat.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X