Isnin, 16 September 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Hari Malaysia, jiwai semangat rakan kongsi bersama

Sejak 2010, tarikh 16 September diiktiraf cuti umum peringkat nasional untuk memperingati ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

Meskipun tarikh bersejarah itu seolah-olah mendapat pengiktirafan hanya selepas 47 tahun penggabungan berlangsung, kira-kira 31 juta rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak menganggapnya hari terpenting dalam pembentukan sebuah negara.

Cuti umum bermula sejak sembilan tahun lalu juga pengiktirafan signifikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, dalam pembentukan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Kemeriahan kian dirasai meskipun lokasi sambutan bersilih ganti antara Sabah dan Sarawak. Tahun ini, Kuching mengambil alih selaku penganjur sambutan.

Namun, sedikit cabaran dihadapi apabila fenomena jerebu memaksa jawatankuasa pengelola mengubah lokasi sambutan, dari Padang Merdeka di pusat bandar raya ke lokasi tertutup di Stadium Perpaduan di Petra Jaya.

Ia terpaksa dilakukan berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching pernah mencecah tahap sangat tidak sihat minggu lalu dan dikhuatiri berulang pada hari sambutan sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai.

Walau di mana sambutan diadakan, semangat rakyat Malaysia di Kuching terus berkobar-kobar untuk memastikan penganjuran kali ini lancar demi membuktikan komitmen, kesetiaan dan solidariti kepada Malaysia.

“Ini acara terpenting bagi kita untuk memperingati pembentukan sebuah negara dan kini kita mengecapi kemakmuran di dalam negara ini yang dibentuk tiga entiti Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang sama rata,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Hari Malaysia Ke-56, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu juga berkata pelbagai acara menarik disusun untuk menyemarakkan sambutan yang akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta barisan Kabinet Persekutuan dan negeri.

Namun, lebih penting untuk membakar semangat rakyat mengukuhkan rasa cintakan negara ini yang dibentuk 56 tahun lalu.

Ringkasnya pembentukan negara pada 16 September 1963 - ketika itu menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara) - bermula melalui ucapan Ketua Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam satu persidangan di Singapura pada 1961.

Beliau membayangkan penubuhan sebuah negara dengan menggabungkan empat wilayah terbabit untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin menular.

Susulan itu, Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada 17 Januari 1962 bagi melaksanakan kaji selidik dan mendapatkan pungutan suara penduduk negeri terbabit mengenai cadangan pembentukan Malaysia.

Hasil pungutan suara diadakan pada Februari hingga April 1962, menyaksikan 80 peratus responden bersetuju dan laporan itu diserahkan kepada kerajaan British pada 21 Jun 1962, seterusnya membawa kepada rundingan antara Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan di London.

Bagaimanapun, hasrat mengisytiharkan sebuah negara baharu bernama ‘Malaysia’ pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditangguhkan berikutan wujud beberapa kerumitan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan kaji selidik semula untuk mendapatkan pandangan lanjut rakyat Sabah dan Sarawak.

Pada 14 September 1963, laporan PBB dikeluarkan yang mengesahkan majoriti rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk sebuah negara dengan gabungan bersama Tanah Melayu dan Singapura.

Akhirnya, pada 16 September 1963, pembentukan Malaysia menjadi kenyataan dan pengisytiharan mengenainya dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Namun, tercetus beberapa masalah politik dalaman yang antara Tanah Melayu dan Singapura menyebabkan negara pulau itu menarik diri daripada Persekutuan dua tahun selepas bergabung.

Kini, selepas 56 tahun sebuah negara terbentuk, pelbagai cabaran dihadapi pemerintah termasuk kedengaran suara kecil yang mahukan negeri Borneo keluar daripada gagasan, kerana didakwa sering dipinggirkan Semenanjung Malaysia khususnya dalam soal pengagihan pembangunan.

Namun, kerajaan Sarawak tidak cepat melatah, sebaliknya memilih cara terbaik dengan terus berada dalam gabungan Malaysia, pada masa sama mahu beberapa perkara berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikaji semula.

Kini, satu Jawatankuasa Khas Kabinet diketuai Perdana Menteri dibentuk bagi menangani isu MA63 itu bagi mengembalikan hak keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Rundingan terus berlangsung dan ramai rakyat Sarawak serta Sabah pastinya mengharapkan lebih banyak keistimewaan yang terlepas sedikit demi sedikit selepas 56 tahun lalu, dikembalikan kepada wilayah yang menjadi dua rakan gabungan Malaysia di Borneo itu.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Sarawak

Berita Harian X