Sabtu, 14 September 2019 | 11:00am
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (dua, kanan) bersalaman dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Ceramah Perdana UMNO dan PAS sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi. Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Naib Presiden PAS Idris Ahmad (kiri). -Foto BERNAMA

Ke mana hala tuju Penyatuan Ummah

Satu lagi detik penting terlakar dalam arena politik negara. Dua parti yang mendakwa menjuarai ‘label’ masing-masing iaitu Melayu dan Islam akan memeterai ikatan kerjasama, kali ini atas nama ‘Penyatuan Ummah’.

Apa hala tuju dan atas gagasan apa penyatuan diikat, sehingga kini kekal ‘rahsia’ dan bersifat eksklusif hanya dalam kalangan arkitek dasar penyatuan kedua-dua parti, PAS dan UMNO. Namun gambaran kasar penyatuan yang akan dimeterai hari ini, dizahirkan sejak awal bahawa agenda kerjasama tidak akan lari daripada kerangka Melayu dan Islam.

Kenapa agenda Melayu-Islam jadi pilihan? Benar naratif perjuangan ini semakin diterima, ketika nasib Melayu dan Islam dilihat sedikit terpinggir. Lantas PAS dan UMNO atas nama perjuangan Melayu-Islam dilihat mengisi tuntutan itu.

Saya gemar melihat kehadiran dua parti yang mewakili kelompok terbesar Melayu dan Islam ini dalam konteks kritis. Persoalan yang ingin dibangkit benarkah penyatuan PAS-UMNO betul-betul untuk memperjuangkan nasib Melayu sebagai kaum majoriti atau Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia, yang khabarnya semakin tertindas?

Harapnya ia tidak sekadar menangguk di air keruh. Kita sudah jelas matlamat perjuangan UMNO dalam penyatuan ummah untuk kembali relevan di persada politik selepas kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Namun PAS apa pula hala tujunya?

Lebih teruk jika PAS-UMNO menggunakan naratif politik Melayu dan Islam ini sebagai batu loncatan’ demi meneruskan kelangsungan siyasah masing-masing. Jika itu realitinya, maka PAS patut malu dengan nama Islam dibawa, begitu begitu juga UMNO dengan label Melayu yang sekian lama digendong.

Yang pasti, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, pernah berkata rahmat Islam kepada alam tidak akan sampai jika umatnya tidak berpolitik atau memerintah negara. Jelas sekali PAS sangat mengidamkan takhta Putrajaya. Tidak hairanlah UMNO yang pernah dilabel musuh sanggup dipeluk kembali. 

Sejauh mana penyatuan ini mampu membawa PAS merasai nikmat kerusi empuk Putrajaya masih menjadi tanda tanya. Harapnya piagam yang akan ditandatangani hari ini mampu memberi pencerahan, bukan mengundang lebih banyak persoalan.

Yang jelas, ramai dalam kalangan ahli PAS masih tertanya-tanya. Bukan sekadar sangsi akibat sejarah ‘digigit’ UMNO ketika tidur sebantal atau status Amanat Haji Hadi yang belum diperjelas, tetapi samar dengan harapan penyatuan ummah khususnya dalam konteks matlamat kelangsungan dan perjuangan politik parti.

Dari kaca mata nasional khususnya Malaysia yang terdiri pelbagai kaum dan agama, tidak dapat dielak konsensus atau kesepakatan dan muafakat dibentuk perlulah membabitkan semua pemegang taruh. Maksudnya tidak boleh ada mana-mana kelompok baik bangsa atau agama yang terkecuali. 

Lantas apakah takrifan 'ummah' dalam modul penyatuan antara PAS dan UMNO ini selari konsensus nasional? Bagi saya tidak, mengambil kira dua faktor ini.

Pertama, perjuangan Melayu dan Islam terhad kepada PAS dan UMNO. Apakah parti lain seperti Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak cukup Melayu dan Islam?

Keduanya, konsep penyatuan ummah disempitkan kepada kelompok Melayu dan Islam semata-mata. Bagaimana pula nasib bukan Melayu dan bukan Islam? Adakah pintu untuk mereka tertutup dalam ruang penyatuan ini? 

Pengecualian dibentuk melalui naratif politik yang kononnya baharu ini, bukankah hanya akan mengundang label rasis?

Pastinya PAS dan UMNO tidak mahu dilabel parti rasis kerana ia akan menyebabkan bukan Melayu dan bukan Islam semakin jauh. Lantas apa peluang mereka jika berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. Cukuplah sekali jolokan ‘taliban’ dilemparkan.

Jika PAS ingin merasai kemanisan nikmat memerintah negara seperti disebut Hadi, maka ia perlu mula melihat lebih jauh berbanding sekadar rangka penyatuan ummah yang bersifat 'mengongkong'. Yang pasti kerangka naratif politik kerjasama berasaskan centripetalisme atau pemikiran politik kesederhanaan membabitkan pelbagai kaum, perlu mula ditinjau.

Bagi perwakilan parti khususnya PAS, jangan biar kepala serabut jika ada kemusykilan, kerana pemimpin politik tiada yang maksum. Tanya atau minta penjelasan jika tidak faham. Tidak setuju bukan bermaksud membantah, tetapi lebih kepada mencari pencerahan ke arah yang terbaik.

Persoalan harus ditanya, apakah jaminan naratif politik Melayu-Islam dibawa relevan dengan kedudukan semasa, baik dari segi politik atau kepentingan konsensus nasional. Kepemimpinan parti khususnya Hadi perlu perjelas apakah ruang untuk bukan Melayu dan bukan Islam secara keseluruhan menerima perjuangan itu? 

Andai kerangka penyatuan hanya disempitkan dalam naratif politik Melayu-Islam, maka ia masih jauh untuk menepati syarat konsensus nasional. Jadi, apakah ia boleh dikatakan relevan?

Kebimbangan paling besar, dalam keadaan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang bangsa dan agama hari ini semakin menipis, Malaysia tidak boleh terus-menerus bersabung nasib dengan sebarang agenda bersifat rasis. 

Tidak kisahlah apa konsep kesepakatan dimeterai, yang pasti ruh kesepakatan nasional dalam masyarakat berbilang bangsa seolah-olah sepi dalam penyatuan ummah PAS-UMNO.

Pokok pangkalnya, naratif politik Malaysia tidak boleh hanya terkongkong kepada rumpun etnik atau kelompok agama tertentu, untuk kekal relevan.

Penulis adalah Penolong Pengarang Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X