Jumaat, 13 September 2019 | 11:03am
SEMUA pihak perlu berlapang dada pelaksanaan papan tanda tulisan Jawi. - Foto Hiasan

Pahang tekad martabatkan tulisan Jawi

UMUM mengetahui Kelantan dianggap serambi Makkah membuatkan identiti negeri Cik Siti Wan Kembang itu sangat menitikberatkan unsur Islam. Tidak ketinggalan negeri jiran, Terengganu yang turut menerapkan elemen Islamik dalam setiap perkara sehingga kepada sistem pentadbiran negeri.

Faktor itu turut dirasai tempiasnya di Pahang sehinggakan papan iklan yang terpapar di setiap jalan raya dan Persekutuan di negeri ini turut menerapkan nilai Islam. Namun, adakah Pantai Timur sahaja yang mencerminkan nilai keIslaman sehinggakan papan iklan menampilkan model yang menutup aurat dan menerapkan penggunaan tulisan Jawi?

Apatah lagi dengan titah Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyentuh mengenai penggunaan tulisan Jawi pada premis perniagaan di sekitar Kuantan.

Berkuatkuasa 1 Ogos lalu, semua premis perniagaan dan agensi kerajaan di daerah ini perlu meletakkan nama premis masing-masing dengan tulisan Jawi yang berukuran sama saiznya dengan tulisan Rumi.

Ketegasan Tuanku dalam memartabatkan tulisan Jawi jelas kelihatan dengan pelaksanaan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Ketika isu tulisan Jawi dalam silibus bahasa Malaysia diperdebatkan, Tuanku terlebih dulu menekankan mengenai kewajaran mengangkat tulis Jawi ke tahap lebih tinggi bagi mendidik rakyatnya.

Meskipun hanya di daerah Kuantan diberi fokus, pihak berkuasa tempatan (PBT) lain perlu menyambut baik saranan Tuanku bagi mengembalikan tulisan Jawi. Aspek tulisan Jawi di premis perniagaan dilihat sebagai langkah proaktif dalam memartabatkan kembali tulis itu.

Namun, penggunaan tulisan Jawi pada premis perniagaan bukanlah asing di Pahang memandangkan sudah banyak premis menggunakannya sejak sekian lama. Baik peniaga Melayu, mahupun pengusaha Cina dan India menyambut baik saranan Tuanku.

Meskipun ada yang ‘berkicau’ mahukan tempoh masa yang panjang diberikan kepada peniaga menukarkan papan tanda premis, tetapi mereka tidak mengetepikan titah Tuanku. Wajarkah itu dianggap Islamisasi? Sebaliknya, masih teguh berdiri rumah ibadat agama lain di Pantai Timur, bahkan mereka bebas beragama, meskipun didedahkan dengan penggunaan tulisan Jawi.

Keharmonian itu jelas kelihatan walaupun ada campur tangan segelintir pihak yang memikirkan kewajaran penggunaan tulisan Jawi pada premis perniagaan. Apapun, setiap orang perlu berlapang dada kerana apa yang disarankan tidak sedikit pun mengetepikan bahasa ibunda masing-masing yang masih boleh diguna pakai.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Pahang

Berita Harian X