Selasa, 10 September 2019 | 11:02am
GENERASI belia berperanan penting dalam memajukan negara dan bakal menjadi pemimpin pada masa depan, lantas kehadiran mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja. - Foto Hiasan

Tarik belia kembali aktif bermasyarakat

GENERASI belia berperanan penting dalam memajukan negara dan bakal menjadi pemimpin pada masa depan, lantas kehadiran mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Kerajaan perlu menjaga kepentingan belia, malah harus juga memahami kehendak mereka dengan memberi bimbingan supaya generasi pelapis ini dapat menjadi pemimpin yang baik pada masa depan.

Agak malang apabila roh belia dan beliawanis yang begitu kuat ketika era 1980-an serta 1990-an, hilang tenggelam dek zaman. Lambakan gajet dan perkembangan teknologi global menyaksikan jati diri belia kian terhakis.

Ditambah pula kebelakangan ini, semakin jelas kelihatan peningkatan tingkah laku agresif dalam kalangan belia yang terjerumus aktiviti tidak sihat.

Membuang masa dengan melepak, merempit dan tidak kurang juga penyalahgunaan dadah, nyata memberi kesan buruk kepada pertumbuhan kesejahteraan negara.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 (NHMS 2017) mengenai kesihatan mental dalam kalangan belia mendedahkan satu daripada lima remaja mengalami masalah tertekan.

Dua daripada lima remaja pula berasa bimbang, manakala 11.2 peratus mempunyai perasaan untuk bunuh diri dan 10.1 peratus mengambil tindakan cuba untuk bunuh diri.

Bayangkan, apakah belia sebegini akan kita pertaruhkan untuk memimpin negara pada masa akan datang?

Statistik ini membuktikan perlu ada jalan penyelesaian terbaik untuk mereka. Perlu diadakan program intervensi dan rangka kerja bertujuan membantu mereka berada pada landasan selamat, sesuai dengan cabaran hidup semasa.

Langkah pertama, mentaliti lapuk belia harus ditukar atau disesuaikan mengikut keperluan zaman. Mereka tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada orang lain untuk mendapatkan sesuatu.

Belia harus mempunyai sikap berdikari dan sentiasa positif untuk mencapai setiap kejayaan. Perlu ada matlamat hidup yang jelas, bercita-cita tinggi untuk maju, berdisiplin dan berani menghadapi perubahan ke arah kebaikan.

Sikap negatif seperti takut menghadapi risiko, tiada toleransi, kekurangan minat terhadap sesuatu yang boleh mendatangkan faedah, tidak suka bekerjasama dan mementingkan diri sendiri hendaklah dikikis dalam kotak minda mereka.

Pada masa sama, belia perlu aktif bersama orang dewasa dengan menyertai program kemasyarakatan seperti bergotong-royong, keagamaan dan keraian bagi membiasakan diri mereka.

Tidak seperti pada era 1980-an dan 1990-an, kehadiran belia serta beliawanis ini bukan sahaja meramaikan majlis, malah meringankan urusan tuan rumah.

Apabila ada sahaja majlis perkahwinan atau kematian, golongan ini akan tampil menawarkan diri membantu melicinkan pengurusan majlis.

Berbalik kepada soal kenapa belia Malaysia hari ini terjerumus aktiviti tidak sihat, antara punca utama adalah disebabkan keengganan mereka sendiri untuk terbabit aktif dalam berpersatuan, berbanding ibu bapa mereka di era 1980-an dan 1990-an.

Rekod mengesahkan 11,404 persatuan belia bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Daripada jumlah itu hanya 9,142 persatuan masih aktif, manakala 2,262 dibatalkan pendaftarannya kerana gagal menghantar penyata tahunan serta kekurangan ahli disebabkan kurang minat.

Mengapa ini berlaku? Adakah aktiviti dijalankan kurang menarik, tiadanya ilmu kepimpinan atau hanya belia tertentu diangkat dan diberi peluang pemimpin tertentu?

Belia hendaklah memiliki falsafah hidup yang tidak mengutamakan kepentingan diri, kekuatan ukhuwah antara mereka menjadi tunjang kepada pembangunan masyarakat setempat.

Mereka yang mengutamakan kepentingan diri akan merasai nikmat cuma seketika, namun jika negara sudah maju, nikmat yang diperoleh lebih kekal.

Justeru, belia disaran mengambil peluang bersama-sama menyahut panggilan negara dan berusaha bagi membina bangsa serta negara yang dihormati dunia.

Penulis adalah wartawan Meja Gaya Hidup dan Wanita Berita Harian

83 dibaca
Berita Harian X