Isnin, 9 September 2019 | 12:33pm
- Foto Hiasan

Tangani isu warga asing sebelum terlambat

BARU-BARU ini BH mendedahkan Bandar Nilai yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai antara kawasan perniagaan terkemuka didominasi peniaga tempatan, kini berubah menjadi lubuk perniagaan warga asing.

Tujuan pendedahan bukan disebabkan hasad dengki melihat kejayaan peniaga asing mendirikan perniagaan masing-masing, sebaliknya ingin membuka mata semua pihak supaya tidak memandang remeh isu kehadiran warga asing di negara ini.

Perbandaran Nilai, terutama sekitar Nilai 2 dan Nilai 3 sebelum ini disifatkan sebagai lokasi yang meriah dibanjiri pengunjung tempatan dan luar negara, berikutan tawaran harga menarik terhadap pelbagai barangan rumah dan tekstil.

Malah, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2001 untuk menjadikan kawasan itu sebagai lokasi pelancongan terkemuka di Negeri Sembilan, di samping memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk meraih keuntungan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah pembinaan Pasar Borong Nilai 3 yang mempunyai lebih 200 lot premis perniagaan khas untuk peniaga tempatan merancakkan lagi aktiviti perniagaan di situ.

Boleh dikatakan inisiatif itu berjaya mencapai sasarannya dalam tempoh 2004 hingga 2012 apabila Nilai terus menjadi lokasi tumpuan pelancong. Ini sekali gus memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

Namun, keadaan itu tidak berkekalan apabila jumlah kehadiran warga asing dilihat semakin bertambah sejak 2013, malah ada yang sudah mula mendirikan perniagaan sendiri untuk bersaing dengan peniaga tempatan.

Disebabkan peningkatan peniaga asing di situ, ia sekali gus memberi tekanan kepada peniaga tempatan untuk terus bersaing menyebabkan mereka terpaksa gulung tikar dan beralih ke lokasi baharu.

Lebih menyedihkan, kawasan perniagaan itu kini menjadi sendu, selain didominasi peniaga asing yang turut mengambil pekerja dalam kalangan warga Pakistan, Bangladesh dan Nepal.

Malah, tinjauan penulis di sekitar kawasan itu turut merasakan seolah-olah berada di negara asing apabila tidak ramai warga tempatan melainkan mereka yang berniaga secara kecil-kecilan.

Selain aspek perniagaan, masalah ini semakin serius apabila golongan pendatang asing tanpa izin turut mengambil kesempatan untuk bekerja di premis yang dimiliki rakan senegara, selain menjadikan Nilai sebagai tempat persembunyian mereka.

Perkara ini didedahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan, apabila bilangan rekod tangkapan pendatang asing di perbandaran itu semakin meningkat pada tahun ini berbanding 2018.

Kos sara hidup lebih rendah berbanding di ibu negara, menjadi faktor utama peningkatan PATI di Nilai menyebabkan agensi itu terpaksa menggiatkan lagi usaha mengesan dan menahan pendatang di situ.

Berdasarkan statistik, 710 tangkapan membabitkan pendatang direkodkan antara Januari hingga Julai tahun ini. Ia melebihi jumlah keseluruhan tangkapan pendatang pada 2018, iaitu 629 orang.

Ini sekali gus membuktikan bilangan pendatang di perbandaran itu sememangnya meningkat, justeru kerajaan negeri termasuk agensi penguat kuasa perlu mencari penyelesaian lebih berkesan untuk menangani isu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, turut mengakui isu ini sememangnya berada dalam ‘radar’ kerajaan negeri dan perbincangan sedang dilaksanakan bersama agensi kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Beliau berkata, antara idea yang sedang dipertimbangkan adalah memperkenalkan Pasar Tani di Nilai dalam usaha memikat semula peniaga tempatan untuk kembali berniaga di situ.

Walaupun rancangan itu dilihat positif, usaha untuk menangani peningkatan warga asing harus diberi lebih penekanan kerana bimbang masalah ini akan turut menjejaskan usaha kerajaan negeri.

Namun pastinya ramai, terutama dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan mengharapkan supaya usaha menangani isu ini dapat diselesaikan dan mengembalikan kegemilangan Bandar Nilai sebagai destinasi pelancongan dan lubuk perniagaan peniaga tempatan.

Penulis adalah wartawan Berita Harian Negeri Sembilan

274 dibaca
Berita Harian X