Khamis, 1 Ogos 2019 | 11:01am
- Foto Hiasan

Kibar Jalur Gemilang, negara ini milik kita

HARI ini bermulalah sambutan kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di seluruh negara. Majlis pelancarannya akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

Mulai hari ini juga kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini bermula dan berterusan hingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Menggunakan tema 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih', Hari Kemerdekaan 2019 pasti dinantikan bagi mengingati detik bersejarah dicapai negara tercinta 62 tahun lalu.

Sekali imbas, ungkapan Malaysia Bersih mungkin memberi gambaran negara ini bebas sampah sarap, sekali gus memberi pemandangan alam sekitar yang selesa dan indah.

Namun, pemilihan tema Malaysia Bersih sebenarnya lebih holistik, bagi memupuk dan menyuburkan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih lagi tinggi.

Perpaduan dan semangat cintakan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat negara ini bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran terus kekal, tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan bangsa.

Malaysia akan menjadi negara dihormati, aman damai dan terus cemerlang jika rakyatnya mengamalkan budaya integriti dan menolak rasuah, mematuhi undang-undang, rajin dan berilmu serta bersih daripada berita palsu.

Komitmen kerajaan membanteras rasuah jelas kelihatan sebaik Pakatan Harapan (PH) memulakan pentadbiran baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri berikrar meneruskan agenda membanteras rasuah walaupun sokongan terhadap kerajaan dan dirinya mungkin merosot akibat tindakan itu.

Demi sayangkan negara, Perdana Menteri berjanji akan terus berusaha membersihkan negara daripada gejala rasuah yang berisiko menghancurkan negara.

Sebenarnya, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi menangani masalah rasuah sama ada penggubalan dasar, penubuhan institusi atau jawatankuasa khas, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, kempen, latihan, penerbitan buku, majalah dan jurnal, falsafah atau ideologi negara dan sebagainya.

Lantas di bawah naungan kibaran Jalur Gemilang, semua rakyat perlu mengekang sebarang unsur negatif yang boleh menggugat Malaysia khususnya rasuah, selain terus bersatu padu menjaga keutuhan negara dan sedia mempertahankannya walau apa sekali pun cabaran mendatang.

Bagi menzahirkan kemegahan dan kebanggaan terhadap negara, Ogos menjadi bulan yang agak berbeza apabila Jalur Gemilang berkibar gah menghiasi rumah, pejabat, premis perniagaan serta kenderaan, bagi menandakan negara ini milik kita sepenuhnya.

Bagaimanapun, menyedihkan apabila kesedaran mengibar Jalur Gemilang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, malah ada bendera yang menjadi lambang maruah negara itu sudah koyak rabak dan dibiarkan begitu saja.

Justeru kempen kibar Jalur Gemilang perlu dipergiatkan ke peringkat akar umbi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat. Jika dulu, kita boleh tersenyum melihat banyak kereta dihiasi Jalur Gemilang yang dipandu ke sana sini, namun kini pemandangan seumpama itu semakin terhakis.

Semangat mengibar Jalur Gemilang terus pudar sedangkan menyemai kebanggaan pada bendera menjadi antara ciri penting dalam pembinaan negara.

Generasi muda yang tidak merasai langsung kepayahan golongan terdahulu mendapatkan kemerdekaan, perlu dididik mencintai Jalur Gemilang yang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme terhadap negara.

Penulis percaya sekolah menjadi medium terbaik untuk mendidik golongan muda belajar memahami pentingnya menghormati, menjaga dan berbangga dengan bendera kebangsaan. Proses ini sepatutnya bukan hanya berlaku pada Bulan Kebangsaan saja, sebaliknya sepanjang tahun.

Kita tidak mahu generasi muda hanya mengaitkan sambutan Hari Kebangsaan dengan cuti umum semata-mata, sedangkan perasaan kecintaan mendalam terhadap tanah air sendiri tidak ada.

Kemajuan dan kemodenan dicapai ketika ini tidak seharusnya melekakan kita kerana tiada jaminan ia akan kekal selamanya.

Tidak dinafikan ledakan teknologi maklumat menyebabkan corak pemikiran masyarakat turut berubah, tetapi sejarah kemerdekaan negara akan terus tercatat utuh tanpa disunting atau ditambah faktanya.

Jika dulu sambutan merdeka dibuat cukup sekadar membawa bendera ke seluruh kampung dan pekan secara beramai-ramai. Sekarang trend semakin berbeza, tetapi tidak sepatutnya menghakis semangat kecintaan kepada negara.

Tanggungjawab menyemarakkan semangat cintakan negara bukan saja dipikul kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama strategik semua pihak. Ibu bapa contohnya berperanan mencorak dan menanam sikap patriotisme dalam diri anak mereka sejak kecil.

Bawalah anak mengikuti aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan untuk menanam sikap patriotisme dalam hati mereka, membeli buku yang menceritakan pemimpin negara tanpa mengira bangsa dan agama yang boleh dijadikan contoh bangsa berjaya.

Ingatlah negara ini milik kita bersama dan hargailah nilai kebebasan, keamanan serta kedaulatan yang dinikmati sekarang. Kibarkan Jalur Gemilang dan bersatulah atas nama Malaysia.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X