Ahad, 28 Julai 2019 | 11:00am
PINTU utama ke Muzium Topkapi di Istanbul.

Rebut peluang kerjasama pelancongan Turki

SAYA berpeluang melawat Turki baru-baru ini dan melihat sendiri keadaan politik, ekonomi, sosial dan budaya negara itu.

Saya bersama delegasi sembilan wakil media Malaysia, menerima jemputan dan tajaan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Kedutaan Turki di Malaysia dan Turkish Airlines.

Kami berpeluang melawat beberapa tempat pelancongan khususnya Istanbul dan kawasan di tenggara negara itu antara 17 hingga 23 Jun lalu.

Pandangan pertama saya mengenai Turki ialah sebuah negara yang berwarna-warni dan indah. Rakyatnya sangat mesra apabila dimaklumkan saya berasal dari Malaysia. Jelas sekali, mereka tahu mengenai Malaysia, sebuah negara Muslim seperti juga Turki.

Saya berkesempatan ke tempat bersejarah dan muzium seperti Masjid Biru, Istana Topkapi dan Hagia Sophia di Istanbul.

Di sebelah tenggara pula, delegasi kami dibawa ke Citadel dan Tembok Diyarbakir yang mana terdapatnya Taman Hevsel dan Landskap Budaya (Tapak Warisan Dunia UNESCO–tembok kedua terbesar di dunia selepas Tembok Besar China), Gobeklitepe (Rumah Ibadat Tertua Dunia yang juga Tapak Warisan Dunia UNESCO), Kolam Ikan Legenda di Sanliurfa, Gunung Nemrut, Muzium Mozek Zeugma dan banyak lagi tempat menarik.

Tidak diragui, Turki terkenal sebagai negara yang mempunyai sejarah dan tradisi lama serta kaya dengan budaya dan ketamadunan.

Lawatan kami bukan hanya untuk menikmati keindahan, sebaliknya banyak belajar mengenai kehidupan bandar dan luar bandar penduduk Turki, selain sektor pertanian, pelancongan, politik dan ekonominya.

Saya percaya negara itu mempunyai potensi yang mana Malaysia dan Turki boleh terokai kerjasama, lebih daripada sebelumnya.

Rekod Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia melaporkan nilai dagangan kedua-dua negara berjumlah RM12.06 bilion, manakala eksport dan import pula masing-masing mencecah RM10.51 bilion dan RM1.55 bilion.

Syarikat Malaysia mengambil kesempatan daripada Perjanjian Perdagangan Bebas yang ditandatangani kedua-dua negara. Antara barang dagangan Malaysia ke Turki seperti minyak sawit, aluminium mentah, produk elektronik dan tenaga solar.

Kini industri pelancongan Turki pesat berkembang, mengambil kesempatan kelemahan nilai mata wang lira.

Lira jatuh ke 7.23 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2018. Ia susulan keputusan Presiden AS, Donald Trump mengenakan sekatan ekonomi ke atas produk keluli dan sekatan diplomatik kepada menteri Turki, sebagai balasan selepas negara itu memenjarakan paderi AS atas tuduhan pengganas.

Sejak itu, lira meningkat kepada 5.77 berbanding dolar AS pada 24 Jun lalu, sebaik Ekrem Imamoglu, dari parti Republik Rakyat (CHP), memenangi Pilihan Raya Datuk Bandar Istanbul buat kali kedua. Kali pertama kemenangan Imamoglu pada 31 Mac lalu dibatalkan.

Beliau menewaskan calon parti pemerintah yang juga bekas Perdana Menteri, Binali Yildirim dari parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Jelas krisis kewangan dan ekonomi memberi kesan kepada politik Turki dan mengurangkan sokongan rakyat kepada parti AKP dipimpin Presiden Recep Tayyib Erdogan.

Saya sendiri menyaksikan kempen pilihan raya itu di kaca televisyen di Dataran Taksim dan sekitar Istanbul. Bagi saya keputusan mencerminkan bahawa demokrasi Turki adalah kontroversi, tetapi jelas hidup dan segar.

Ia juga menjelaskan bahawa kelas menengah menguasai politik Turki, rakyat yang sama yang menolak revolusi dan kudeta ketenteraan daripada berlaku di Turki pada masa depan.

Kebimbangan utama rakyat Turki adalah kehidupan dan kemakmuran ekonomi mereka yang dilihat memacu kepesatan industri pelancongan negara itu.

Menteri Budaya dan Pelancongan Turki, Mehmet Nuri Ersoy baru-baru ini mengumumkan pakej dasar pelancongan baharu untuk mengalu-alukan kedatangan jutaan pelancong yang mempunyai kuasa membeli besar bagi memenuhi visi 2023.

Turki menyasarkan program ‘70 juta pelancong dengan pendapatan AS$70 bilion’ pada 2023. Ini akan menambah kepesatan ekonomi negara itu dan menamatkan konsep ‘bermusim’ bagi pelancongannya.

Turki juga menyasarkan 500,000 pelancong China untuk melawat negara itu pada 2020. Ahli lembaga kepada Kementerian Budaya dan Pelancongan serta Persatuan Agensi Pelancongan Turki (TURSAB), Ibrahim Halil Kalay, memberitahu majalah TRT World yang Turki menerima kehadiran 40 juta pelancong pada 2018, meningkat 22 peratus berbanding 2017.

Turki sebenarnya mempunyai kapasiti untuk menerima kehadiran 100 juta pelancong tahun ini. Pelancongan perubatan juga sangat popular. Majalah pelancongan perubatan menganggarkan kos rawatan berkualiti kesihatan di Turki adalah 50 hingga 65 peratus lebih murah berbanding di AS.

Pada 2017 Majlis Pelancongan Kesihatan Turki, melaporkan negara itu merawat 765,000 pesakit daripada 144 negara. Turkish Airlines menawarkan harga diskaun bagi penerbangan yang membabitkan pelancong perubatan ini.

Satu lagi industri yang semakin berkembang di Turki ialah industri pelancongan halal. Apa itu pelancongan halal? ‘Halal’ bermaksud yang dibenarkan kepada Muslim di dalam bahasa Arab bukan sahaja membabitkan makanan, malah seluruh aktiviti harian yang mengikut tradisi dan undang-undang Islam.

Misalnya, kolam renang dan pantai yang dipisahkan mengikut gender dan menu tanpa alkohol yang menjadi keutamaan pelancongan halal.

Mengikut TRT World, institusi mesra halal juga menyediakan kitab al-Quran, tikar sembahyang dan pelekat yang menunjukkan arah kiblat di siling hotel. Di Turki, berdozen hotel di kawasan tepi pantai menyediakan perkhidmatan halal.

Langkah ini menarik minat keluarga dari Asia Barat dan masyarakat Muslim di Barat untuk berkunjung ke Turki. Mengikut Majlis Persidangan Halal, industri global mengenai pelancongan halal berada pada jumlah AS$226 bilion pada 2017.

Pengarah Pemasaran halalbooking.com, Ufuk Secgin, iaitu satu platform atas talian yang mengkhusus kepada hotel mesra halal, berbicara kepada TRT World’s Money Talks mengenai pelancongan halal.

Beliau menyatakan pada 2018, pihaknya secara konsisten menerima peningkatan perkhidmatan. Tahun lalu terdapat 35,000 pelancong menempah pusat peranginan mesra halal di Turki dan pada tahun ini, pihaknya menyasarkan jumlah itu mencapai 75,000 hingga 90,000 pelancong.

Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2019 mengeluarkan laporannya pada April lalu meletakkan Turki di tempat ketiga sebagai destinasi pelancongan yang melaksanakan kepatuhan Islam (kepatuhan halal) selepas Indonesia dan Malaysia.

Tidak diragui, Turki pada satu hari nanti akan mengatasi Indonesia dan Malaysia kerana mempunyai potensi pasaran yang lebih besar dan menarik.

GMTI melaporkan industri pelancongan halal menyumbang 35 peratus ekonomi global kepada AS$300 bilion pada 2020 dari AS$220 bilion pada 2016. Banyak negara bukan Islam seperti New Zealand, Jepun dan Thailand menyertai pasaran besar ini.

Apa yang saya dapat lihat Turki mempunyai pasaran pelancongan besar, di mana Malaysia boleh belajar dan bekerjasama untuk dimanfaatkan oleh ekonomi dan industri pelancongan Malaysia kini.

Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X