Sabtu, 6 Julai 2019 | 11:37am
AIR Terjun Lata Kijang, Jelebu. NSTP/Sairien Nafis
AIR Terjun Lata Kijang, Jelebu. NSTP/Sairien Nafis

NS perlu tingkatkan promosi tempat pelancongan

APABILA menyebut Negeri Sembilan pasti ramai terbayang Port Dickson, iaitu antara pantai peranginan yang sentiasa menjadi pilihan terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang. Tidak hairanlah setiap hujung minggu dan cuti sekolah, kawasan itu sentiasa sesak dengan pengunjung terutama dari luar negeri ini.

Bagaimanapun, apabila ditanya apa lagi lokasi pelancongan menarik yang boleh dikunjungi di negeri ini, pasti ramai yang masih kurang tahu. Manakan tidak, kurangnya promosi daripada agensi berkaitan menyebabkan lokasi pelancongan menarik di Negeri Sembilan sukar mendapat perhatian.

Negeri beradat ini sebenarnya mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi di setiap daerah. Bagi mereka yang berminat dengan sejarah dan mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keunikan Adat Pepatih, boleh mengunjungi Muzium Negeri Sembilan.

Tempat bersejarah lain yang turut boleh dikunjungi adalah Galeri Diraja Tuanku Jaafar, Muzium Diraja Seri Menanti, Muzium Replika Astana Raja Melewar, Muzium Adat, Muzium Tentera dan lokasi pokok getah pertama di negeri ini.

Bagi peminat aktiviti lasak, bolehlah mendaki Gunung Angsi, Gunung Berembun, Gunung Datuk, melakukan pelbagai aktiviti di X-Park atau ke Kampung JKIN untuk meredah hutan dengan ATV (All-terrain Vehicle).

Mereka yang sukakan kedamaian alam sambil mengisi masa dengan pelbagai aktiviti menarik, boleh mengunjungi Taman Negeri Kenaboi di Jelebu yang menampilkan konsep eko pelancongan. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di situ termasuk berkhemah, mandi air terjun, meredah hutan, berkayak tiub, flying fox dan abseiling.

Di Tampin tidak kurang hebatnya seperti Gua Batu Maloi yang menawarkan aktiviti mencabar untuk diteroka seterusnya memberikan pengalaman bermakna. Bagaimanapun, masih ramai yang belum mengetahui mengenai pelbagai lokasi pelancongan dan aktiviti menarik di negeri ini dan ia jelas kerana kurangnya promosi dijalankan setakat ini.

Bagaimanapun kerajaan negeri yang mula menyedari hal ini kini dilihat sedang berusaha untuk meningkatkan kehadiran pelancong dengan mempelbagaikan pakej pelancongan negeri. Antara yang ditawarkan setakat ini adalah beberapa pakej inap desa, persembahan kebudayaan dan pakej permainan sukan air.

Usaha itu dilihat masih belum mencukupi untuk menarik pelancong jika dibandingkan apa yang ditawarkan di negeri lain. Masih banyak yang perlu dilakukan kerajaan negeri dan walaupun jumlah pengunjung saban tahun terus meningkat, ini mungkin kerana pelancong banyak ke Port Dickson sahaja.

Pelancong yang datang ke negeri yang terkenal dengan masak lemak daging salai ini, perlu tahu dan melawat ke lebih banyak tempat menarik yang ada. Justeru, kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu dan usaha itu bukan terletak pada satu pihak sahaja, malah agensi berkaitan pelancongan negeri juga perlu memainkan peranan sama demi memastikan lokasi menarik yang ada turut menjadi tumpuan.

Penulis adalah wartawan, Berita Harian Negeri Sembilan

Berita Harian X